Friday, February 27, 2009

Kenaikan Tol Ditangguh Hingga Akhir Tahun Ini - Utusan Meloya

KUALA LUMPUR: Kabinet hari ini menangguhkan kenaikan kadar tol di lima lebuh raya yang sepatutnya berkuatkuasa Ahad ini, kepada akhir tahun, menurut pengumuman Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed di Kuala Lumpur. - Bernama

Anakanda Jebat: Korang ni biar betul! Atau gimik untuk pancing undi je nih! Tapi jangan lupa duhai rakyat jelata! Mereka hanya menangguhkannya sahaja. Macam mana sekali pun mereka tetap akan menaikkannya juga. Jangan kita mudah tertipu dengan janji manis mereka ini.

Thursday, February 26, 2009

Kenaikan Tol Bebankan Rakyat: Guan Eng

GEORGETOWN: Kenaikan kadar tol di lima lebuh raya menjelang 1 Mac ini adalah tidak wajar dan akan menambah beban rakyat terutama di tengah krisis ekonomi global semasa, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Beliau berkata sekarang ini bukan masa sesuai menaikkan kadar tol kerana rakyat semakin tersepit dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil dan sudah pasti kenaikan itu akan memburukkan lagi keadaan.

"Kerajaan sepatutnya menunggu keadaan ekonomi kembali stabil atau setahun dua lagi untuk menaikkannya," katanya kepada pemberita semasa mengulas kenaikan tol yang diumumkan Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohamad Zin Mohamad, di sini hari ini.

Mohamad Zin hari ini mengumumkan kadar tol di Lebuh Raya Utara Selata (Plus), Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuh Raya Sungai Besi (Bestraya) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) akan dinaikkan bermula 1 Mac, selaras dengan terma perjanjian konsesi yang ditandatangani antara kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya itu.

Lim berkata sebaiknya Kerajaan Pusat membeli Plus seperti yang beliau cadangkan sebelum ini, sebagai usaha membantu rakyat. - Bernama

Naik Lagi! Kadar Tol Naik 0.68 Sen Hingga 50 Sen

KUALA LUMPUR: Kadar tol di lima lebuh raya akan dinaikkan di antara 0.68 sen hingga 50 sen berkuatkuasa 1 Mac ini selaras dengan terma perjanjian konsesi yang ditandatangani antara pihak kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, berkata kenaikan kadar tolitu membabitkan Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur(Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

"Bagi Plus, kadar kenaikan tol untuk sistem kutipan tol tertutup Plus( Lebuhraya E1 dan E2) akan dinaikkan sebanyak 0.68 sen sekilometer bagi kenderaan Kelas 1, bagaimanapun kenaikan itu tidak membabitkan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar," katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, Sprint-Kerinchi dan Damansara Link, kadar tol dinaikkan antara 30 sen dan 50 sen bagi kenderaan kelas satu manakala bagi Akleh, kadar tol dinaikkan sebanyak 50 sen bagi kenderaan Kelas 1.

"Kadar tol di Lebuhraya Besraya dinaikkan sebanyak 10 sen bagi kenderaan Kelas 1 dan bayaran hanya dibuat di Plaza Tol Mines berikutan Plaza Tol Salak Jaya ditutup pada 24 Februari lalu.

Sementara itu bagi Lebuhraya NPE pula, kadar tol dinaikkan sebanyak 40 sen bagi kelas kenderaan yang sama," katanya. - Bernama

Anakanda Jebat: Aduhai!Malang sungguh rakyat Malaysia...Kerajaan yang tak berhati perut. Ekonomi dunia meleset tapi mereka sempat lagi mengambil kesempatan dari kesusahan rakyat. Phtui!

Thursday, February 5, 2009

KENYATAAN MEDIA PEJABAT D.Y.M.M. PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.

Setelah menemui sendiri semua 31 ahli Dewan Negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.

YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK itu dianggap telah dikosongkan.

Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.

Anakanda Jebat: Rakyat marhean faham maksud kenyataan di atas? Tamat sudah episod luka bagi Pakatan Rakyat. Usah gentar! PRK-13 masih ada! Takbir! Jadikan pengajaran buat kita semua.

Sultan Minta MB Undur, Nizar Enggan - Mkini

kemaskini 3.28pm Speaker DUN V Sivakumar mendakwa dipujuk menyertai BN dengan sejumlah wang dan jawatan penting peringkat negeri dalam MIC.

Lobi agar mereka meninggalkan Pakatan Rakyat bermula sejak selepas pilihanraya umum Mac tahun lepas.

kemaskini 3.20pm Pemimpin-pemimpin atasan ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat berada di dalam kediaman rasmi menteri besar Perak.

Datuk Seri Nizar Jamaluddin - yang diarahkan meletakkan jawatan serta-merta bersama barisan exconya - dijangka mengadakan sidang media tidak lama lagi.

Difahamkan beliau akan mengumumkan enggan melepaskan jawatannya itu.

Suasana di luar kediaman itu kelihatan tenang dengan sekumpulan kecil penyokong dan wartawan.

Kira-kira 30 anggota Unit Amal PAS mengawal kediaman tersebut. Tiada anggota polis berpakaian seragam kelihatan.


kemaskini 2.33pm Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak perkenan dewan undangan negeri dibubarkan, demikian menurut kenyataan Pejabat Sultan Perak hari ini.

Baginda juga menitahkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai menteri besar Perak berkuatkuasa serta-merta dan jika tidak, jawatan itu dianggap dikosongkan.

kemaskini 2.14pm Tempat perhimpunan 100,000 orang untuk menyokong kerajaan Pakatan Rakyat telah dipindahkan dari kediaman menteri besar ke Stadium Ipoh.

kemaskini 2pm Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di kediaman Menteri Besar, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Beliau dijadual mengadakan sidang akhbar bersama menteri besar dan Lim Kit Siang pada 3 petang.

Naib presiden PKR, Azmin Ali turut hadir.

kemaskini 1:33pm Difahamkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatannya selepas menghadap Sultan Perak kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Malaysiakini difahamkan DUN Perak tidak akan dibubarkan.

Keputusan lanjut kedudukan beliau dan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak belum jelas.

kemaskini 1:30pm Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin meninggalkan istana Kinta jam 1.05 tengah hari tadi selepas menghadap Sultan Perak 15 minit kemudiannya.

Menteri besar itu bersama Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang dan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan sidang media jam 3 petang.

kemaskini 1:26pm Datuk Seri Najib Razak tidak mengadakan sidang media selepas bermesyuarat dengan badan perhubungan Umno negeri di pejabatnya di Ipoh.

Beliau kelihatan masuk sejurus selepas tengah hari ini.

kemaskini 11:54pm Semua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak serta tiga Adun Bebas hari ini menghadap Sultan Perak untuk membuat pengakuan yang mereka menyokong Barisan Nasional, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan perdana menteri berkata kesemua mereka turut memberi pengakuan menyokong calon menteri besar baru yang akan dikemukakan oleh BN.

"Tuanku dijangka akan membuat keputusan sama ada bubar Dewan Undangan Negeri Perak atau meminta Menteri Besar Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan dengan secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar selepas menghadap Sultan Perak kali kedua di Istana Kinta.

kemaskini 11:48pm Menteri Besar Perak dipanggil menghadap Sultan menjelang tengah hari ini, dipercayai berkaitan penyerahan kuasa kepada BN untuk pembentukan kerajaan baru.

Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin meninggalkan satu majlis bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Bagan Serai pada kira-kira 11.40 pagi tadi.

kemaskini 11:00pm Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memasuki Istana Kinta pada jam 9.50 pagi tadi untuk mengadap dan mendapat perkenan Sultan Azlan Shah untuk Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan baru di Perak.

Beliau yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Hamidi Hamid.

Ahmad Zahid merupakan timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Perak.

Najib meninggalkan istana pada jam 10.35 pagi, dan sambil tersenyum, melambaikan tangan kepada wartawan tanpa berhenti di pintu masuk istana.

Bagaimanapun, beliau kembali semula ke Istana Kinta dengan empat wakil rakyat yang keluar Pakatan Rakyat semalam - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, Mohd Osman Jailu (Changkat Jering), Hee Yit Foong (Jelapang) dan Datuk Nasaruddin Hashim (Bota) - untuk mengadap baginda pada jam 10.55 pagi ini.

Semalam, Najib mengumumkan bahawa BN negeri cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru selepas empat Adun berkenaan menyokong BN secara terbuka.

Berikutan perkembangan tersebut, BN kini mempunyai 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Pakatan juga 28 dengan tiga bekas Adun PKR dan DAP yang kini wakil rakyat bebas yang telah menyatakan sokongan kepada BN.

'Situasi Tidak Menentu'

Manakala Adun Bota, Nasarudin - yang mengumumkan melompat kepada PKR selama 10 hari - kembali semula kepada Umno dan memberi sokongan kepada kerajaan BN negeri.

Selepas mengadap Sultan Perak, Najib akan mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan Umno negeri.

Agenda utama mesyuarat tersebut dijangka adalah mengenai pemilihan calon untuk jawatan menteri besar yang baru.

Sebelum ini, Najib telah membatalkan satu majlisnya di Putrajaya pagi ini untuk berlepas ke Perak untuk mengadap Sultan Azlan Shah.

Anakanda Jebat: Sabar bebanyak YB Datuk Nizar! Allah pasti akan menolong orang2 yang dizalimi. Insya-Allah! Takbir!

SOLAT HAJAT UNTUK KEPIMPINAN KERAJAAN PERAK

PERHIMPUNAN 100 RIBU RAKYAT
MENYOKONG
KEPIMPINAN MB PERAK
DATO SERI MOHAMMAD NIZAR
TEMPAT:
STADIUM IPOH, PERAK
TARIKH:
5 FEBRUARI 2009
WAKTU:
7 MLM HINGGA 11 MALM
MULA SOLAT MAGHRIB,
BACA YASIN, SOLAT ISYAK,
SOLAT HAJAT & CERAMAH
TURUT HADIR :
DS ANWAR IBRAHIM
SEMUA MENTERI BESAR & KETUA MENTERI
PAKATAN RAKYAT
SEMUA MUSLIMIN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR

Perutusan Mursyidul Am PAS - Tok Guru

RAJA DAN DEMOKRASI

1. Menteri Besar dalam sesebuah negeri adalah mewakili rakyat dalam sesebuah negeri untuk disembah kepada Raja. Orang lain, walau PM sekalipun adalah orang luar. Kalau tidak begitu maka akan timbul bermacam-macam krisis dan huru hara. Ini termasuklah siri-siri jenayah dan pencolekan seperti yang berlaku ke atas Menteri Besar Terengganu, Daud Samad dan beberapa Wakil Rakyat di Negeri Kelantan di tahun 1960an.


2. Status Institusi Raja akan terjejas di mata rakyat kalau Raja mendengar dan akur menerima nasihat (advise) dari orang lain. Di zaman Tun Dr. Mahathir, Institusi Raja terjejas teruk dan jangan-jangan ia terjejas lagi di kali ini. Ucapan saya ketika di Parlimen di masa itu antara lain berbunyi: “Orang politik akan menjadi Raja/Presiden di masa hadapan. Puncanya kerana peribadi sebahagian Raja-Raja itu sendiri.”

3. Sistem Beraja tidak menjadi semakin bertambah. Hendaklah diingati benar-benar bahawa sistem Beraja semakin hari semakin berkurangan. Bertambah tidak. Dunia boleh saksikan sendiri bagaimana Raja Nepal di Katmandu, Sultan Hussein di Singapura, Hamingkubuwono di Indonesia, Sultan Kudrat di Filipina, Al-Malik Farouk di Mesir, Shah Iran di Iran, Maharaja China di Negeri China, Maharaja Yaman di Yaman, Iraq, India dan seluruh Benua Eropah. Kini, mereka hanya tinggal sejarah.

4. Jadi, Institusi Raja di Malaysia perlu berhati-hati benar.

5. Saya sayangkan Institusi Raja kerana saya tahu bahawa rakyat hormatkan Rajanya. Saya sendiri dapat merasakannya kerana saya sendiri juga daripada keturunan Raja Jembal. Selain daripada menghormati saya dari aspek-aspek yang lain khususnya dari hal agama, mereka hormat saya kerana saya juga datang dari keturunan ini.

6. Tegasnya semua pihak perlu berhati-hati dalam menangani krisis yang cuba dicetuskan oleh pihak-pihak yang berkepentingan di luar dari Negeri Perak. Ingatlah, Allah Maha Berkuasa diatas segala sesuatu dan Allah tidak akan berpihak kepada pihak yang berbuat kezaliman. Sebaliknya, Allah akan menurunkan bantuan kepada mereka yang dikhianati dan mereka yang ditindas. Firman Allah S.W.T. bermaksud : “Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. Segala Puji Bagi Allah Tuhan semesta Alam.” (Surah Al An’aam: Ayat 45).

Wallahua’lam.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Mursyidul Am PAS
Bertarikh : 9 Safar 1430
5 Februari 2009.