Thursday, August 7, 2008

Debat Antara Tsu Koon vs Guan Eng Pada 20 Ogos di Shah Alam

KUALA LUMPUR: Debat terbuka antara Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan tetap diadakan.

Ia akan dianjurkan portal berita Agenda Daily pada 20 Ogos di Shah Alam, dengan tempatnya akan diumumkan kemudian.

Debat itu akan disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen milik Kumpulan Media Prima, akan menyentuh mengenai pelbagai isu semasa dengan menumpukan kepada isu di Pulau Pinang kecuali isu “kontroversi penipuan tanah" yang sedang dibicarakan di mahkamah.

“Kedua-dua pihak bersetuju dengan lokasi itu (Shah Alam). Mereka bersetuju yang debat itu diadakan dalam Bahasa Melayu berdasarkan format debat presiden Amerika Sysrikat dan Datuk Johan Jaafar sebagai perantaranya,” kata editor berita Agenda Daily Hanafiah Man hari ini.

Bagaimanapun, mereka masih belum mencapai kata sepakat mengenai tajuk debat itu walaupun mereka bersetuju yang topiknya ada mengenai isu semasa dan berkaitan Pulau Pinang.

Protal berita itu sebelum ini menganjurkan debat mengenai kenaikan harga minyak dan implikasinya terhadap sosioekonomi antara Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Bernama

No comments: