Monday, July 14, 2008

Filem Hang Jebat (1961)


Filem Hang Jebat mengisahkan pengorbanan seorang sahabat yang menuntut bela atas kematian sahabatnya Hang Tuah. Kisah ini juga menceritakan lagenda Hang Tuah dan sahabat-sahabat karibnaya iaitu Hang Jebat, Hang Lekiu, Hang Kasturi, dan Hang Lekir. Hang Jebat merupakan sahabat yang paling rapat dan dianggap saudara kandung oleh Hang Tuah. Pada suatu masa Hang Tuah Telah difitnah atas angkara Tun Teja dan Pateh Karmawijaya seterusnya dihukum bunuh oleh sultan. Oleh kerana itu, Hang jebat telah bersumpah akan menuntut bela atas kematian Hang Tuah. Beliau telah melakukan apa sahaja yang disukainya kerana menuntut keadilan daripada sultan dan seterusnya telah dibunuh oleh sahabatnya karibnya sendiri yang disangka sudah mati.

Dari segi pengolahan cerita, Filem Hang Jebat ini merupakan genre drama dan aksi. Merupakan filem pertama arahan Hussein Hanif. Pelakon-pelakon yang dibintangi oleh Nordin Ahmad sebagai Hang Jebat, M. Amin sebagai Hang Tuah, Latifah Omar sebagai Dang Baru, Mahmud June sebagai Pateh Karmawijaya, Rosnani Jamil sebagai Pemaisuri serta dibantu oleh Abdullah Sani dan Siput Sarawak. Corak filem ini ialah hitam putih dan disampaikan dalam bahasa melayu. Filem ini cuba menggambarkan kisah sejarah Zaman Kesultanan Melayu Melaka dan Zaman Kegemilangan Laksamana Hang Tuah. Filem ini juga mempunyai pertalian cerita dengan filem Hang Tuah pada Tahun 1956 yang dibintangi oleh P. Ramli tetapi filem ini mengetengahkan watak Hang Jebat sebagai watak utama berbanding dengan filem Hang Tuah.

Terdapat banyak persoalan-persoalan yang dibangkitkan dalam kisah Hang Jebat ini antaranya keadilan, kesetiaan, percintaan dan tanggung jawab. Hang Jebat berasa marah terhadap sultan dan menganggap sultan tidak adil. Hal ini disebabkan sultan telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Tuah tanpa usul periksa yang mana pada asalnya Tuah telah difitnah melakukan kesalahan. Hang Jebat telah menunjukkan kesetiaan persahabatannya dengan Tuah walaupun beliau sendiri dibunuh dengan rela oleh Tuah. Tuah pula menunjukkan kesetiaannya pada sultan walaupun dihukum bunuh. Percintaan antara Jebat dan Dang Baru menimbulkan persoalan dan pada akhir kisah, persoalan ini terjawab dimana mereka telah bernikah secara rahsia. Hang Jebat merupakan seorang yang amat bertanggungjawab. Hal ini ditunjukkan semasa pemergian Tuah, beliu sering menjenguk keluarga Tuah. Selain itu beliau juga amat mengasihani orang-orang miskin kampung dan membantu mereka dalam apa jua perkara. Beliau telah memanggil orang-orang miskin dan mengagih-agihkan harta sultan dan mengadakan jamuan serta hiburan semasa ketiadaan sultan.

Personaliti Jebat.
Hang Jebat merupakan watak utama dalam siri tersebut. Perwatakannya ialah seorang yang gagah, kacak, berani baik hati serta sopan santun. Hal ini terbukti dimana beliau memainkan peranan sebagai "super hero" yang memperjuangkan keadilan dan menuntut hak-hak kemanusiaan daripada sultan. Beliau juga mempunyai sopan santun dimana beliau menghormati tetamu dan sanggup menangguhkan pertarungannya dengan Tuah semata-mata menyuruh orang-orang yang berada di dalam rumah supaya keluar.Hang Tuah merupakan watak pembantu dalam siri ini. Perwatakannya hampir sama dengan Jebat, tetapi kesetiaannya kepada sultan amat kurang disenangi oleh penonton. Beliau sanggup menerima hukuman yang dijatuhkan oleh sultan walaupun menyedari dirinya tidak bersalah. Selain itu, beliau sanggup menerima arahan yang diberikan sultan supaya membunuh Jebat walaupun menyedari bahawa Jebat merupakan sahabat karibnya yang sudah dianggap saudara kandung.Watak Dang Baru dalam siri ini telah mengisi ruang kepada watak heroin. Perwatakannya yang lemah lembut dan sanggup berkorban demi orang tercinta menyebabkan Jebat jatuh hati kepadanya seterusnya menjalinkan hubungan secara rahsia.

Watak sultan dalam siri ini merupakan simbul kepada Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Perwatakannya juga kurang disukai penonton kerana beliau mudah percaya kepada sesuatu perkara dan selalu terburu-buru. Hal ini ditunjukkan semasa beliau menjatuhkan hukuman bunuh terhadap tuah tanpa membuat usul periksa terlebih dahulu.

Pateh Karmawijaya merupakan watak jahat dalam siri ini. Perwatakan yang bengis, pendengki dan penghasut telah menimbulkan kekacauan dalam negeri melaka. Beliau telah menfitnah Hang Tuah sehingga dijatuhkan hukuman bunuh dan menimbulkan kekacauan dalam kampung.

Selain itu watak-watak lain dalam siri ini bertujuan sebagai penyokong kepada watak-watak utama untuk mewujudkan suasana cerita.

Pemaparan masyarakat sekitar dalam kisah Hang Jebat ini, terdapat tiga golongan masyarakat iaitu Sultan, golongan pembesar dan rakyat biasa. Sultan merupakan orang yang paling disanjungi oleh rakyat dan tugasnya memerintah negeri samada secara adil atau pun sebaliknya. Dalam siri Hang Jebat ini, sultan memerintah dengan tidak adil kerana mudah terpengaruh dengan hasutan dan membuat keputusan dengan tergesa-gesa.

Selain itu golongan pembesar-pembesar turut memainkan peranan dalam masyarakat, misalnya menjaga keselamatan dalam negeri. Mengikut sejarah, negeri Melaka memang terkenal pada masa dahulu dimana negeri ini merupakan sebuah pusat perdagangan. Oleh itu, pembesar-pembesar dilantik supaya dapat mentadbir segala urusan negeri. Dalam siri Hang Jebat ini terdapat pembesar yang iri hati dengan pembesar lain. Hal ini ditunjukkan dimana Pateh Karmawijaya iri hati dengan jawatan Laksamana yang disandang oleh Hang Tuah.Golongan rakyat biasa memainkan peranan penting dalam sesuatu kelompok masyarakat. Mereka ini terdiri daripada golongan petani, nelayan, pandai tukang dan sebagainya. Dalam siri ini terdapat banyak latar lokasi dan visual yang menggambarkan mayarakat pada masa itu. Antaranya, menunjukkan lokasi pantai yang berlumpur dan terdapat beberapa perahu, ini menunjukkan masyarakat pada masa itu menjalankan kegiatan menangkap dan memungut hasil laut.Selain itu, bangunan istana yang indah dihiasi dengan ukiran-ukiran pada kayu menunjukkan pada masa itu wujud pandai-pandai kayu yang terdiri daripada golongan rakyat biasa. Selain itu, ukiran kayu yang menunjukkan kalimah ALLAH menunjukkan masyarakat pada masa itu sudah menerima ajaran Islam. Menurut sejarah, ajaran Islam telah dibawa ke Melaka semasa kegiatan perdagangan yang begitu pesat oleh pedagang-pedagang dari Asia Timur. Pemaparan latar ruang dan masa. Latar ruang yang ditunjukkan dalam siri Hang jebat ini, banyak menunjukkan ruang lebih kepada kawasan istana dan sedikit sebanyak dikawasan kampung. Hal ini banyak ditunjukkan misalnya, semasa majlis perlantikan Jebat sebagai Laksamana dan upacara-upacara hiburan di istana seperti tarian. Selain itu, tempat pertarungan antara Jebat dan Tuah juga berlaku di istana. Terdapat juga pemaparan latar ruang di kawasan perkampungan. Semasa adegan amuk Jebat, beliau mengelilingi kampung dan membunuh sesiapa sahaja yang menghalangnya. Di sini dapat digambarkan bahawa latar ruang sebuah kampung mempunyai rumah yang dibuat daripada kayu dan beratapkan nipah.

Terdapat unsur-unsur visual yang mempekuatkan olahan cerita ini. Antaranya, watak Hang Jebat diberi watak sebagai "super hero". Hal ini dapat dikesan beberapa kali, apabila kamera berada di sudut bawah Hang jebat. Ini menampakkan Hang Jebat besar mengatasi unsur-unsur alam yang lain. Selain itu, kekerapan pergerakan kamera ke arah kanan semasa memfokuskan watak Hang Jebat. Hal ini menunjukkan watak Jebat dalam siri ini merupakan watak yang suci dan tiada pengaruh jahat dalam dirinya. Antaranya ialah, semasa pertarungannya dengan Hang Tuah, pergerakan kamera berterusan ke arah kanan, ini menunjukkan watak Jebat merupakan watak suci serta tiada unsur-unsur jahat yang mempengaruhi pertarungan mereka dan daripada dialog semasa pertarungannya, beliau sering menyatakan beliau menuntut bela ke atas diri Tuah dan pengorbanannya selama ini adalah sia-sia.

Selain itu, kekerapan memaparkan senjata seperti tombak dan keris. Hal ini menunjukkan tombak sebagai simbol keselamatan kerana senjata ini merupakan senjata bagi pengawal. Pemaparannya kerap di tunjukkan semasa di istana, ini menunjukkan sultan merupakan orang tidak akan diancam oleh sesiapa pun kerana golongan ini mempunyai pelindung yang cekap dan kuat. Turut di perbesar-besarkan juga Keris Taming Sari yang merupakan simbol kekuatan kepada pemiliknya. Hal ini ditunjukkan semasa pertarungan antara Tuah dan Jebat, Tuah telah menyatakan bahawa beliau tidak mampu membunuh Jebat selagi keris itu tidak berada pada genggamannya.Pemaparan ukuran-ukiran pada dinding istana juga merupakan unsur yang menunjukkan orang melayu merupakan masyarakat yang kreatif. Kesenian melayu ini dapat dilakukan oleh pandai kayu yang mahir. Motif-motif pada ukiran yang mempunyai makna yang tersendiri misalnya 'motif awan larat' memberi pengertian bersatu padu dalam masyarakat Melayu.

Pemaparan cuaca mendung di waktu pagi semasa pertarungan antara Jebat dan Tuah telah menunjukkan sesuatu yang buruk akan berlaku. Hal ini ditunjukkan selepas Jebat terkena tikaman Taming Sari, beliau telah amuk satu kampung dan menyebabkan ramai yang terbunuh kerana cuba mengancamnya.

Montaj Pemaparan air laut semasa Jebat dan Dang Baru berdua-duaan pada waktu malam secara rahsia. Pemaparan ini membayangkan semasa mereka berdua sedang bermesra diibaratkan mereka sedang berlayar dilautan.

Pemaparan watak Jebat semasa mengalami kecederaan yang parah selepas ditikam oleh Tuah. Tubuh dan pakaiannya dibasahi dengan darah, tetapi beliau masih mampu berjalan menuju ke rumah Tuah semata-mata ingin memohon kemaafan yang telah dilakukan semasa mereka bersama.

Kesimpulannya.
Mesej yang cuba disampaikan dalam siri Hang Jebat ini ialah, "tiada kuat yang takkan patah". Hal ini ditunjukkan melalui watak Jebat yang handal, akhirnya diikalahkan oleh Tuah. Selain itu ungkapan "buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali" turut digambarkan melalui watak Tuah yang membuat kebaikan dan berjasa kepada sultan akhirnya terfitnah, dianggap sultan sebagai membuat perkara yang jahat seterusnya di hukum bunuh. Mesej yang cuba disampaikan juga ialah berfikir sebelum bertidak, dapat digambarkan melalui watak sultan yang terburu-buru menjatuhkan hukuman terhadap Hang Tuah tanpa membuat usul periksa. Peribahasa "sesal dahulu pandapatan, sesal kemudian tiada gunanya", digambarkan melalui watak Hang Tuah yang telah terburu-buru menunaikan arahan sultan yang mengarahkannya membunuh Jebat, dab pada akhirnya menyesal yang teramat sangat.

Kekuatan persembahan ini ialah pada pelakon yang membawa watak sebagai Hang Jebat. Beliau berjaya dalam membuat segala emosi dan ekspresi yang cuba digambarkan. Misalnya, semasa beliau menggambarkan keadaan cedera parah, beliau mampu berjalan dengan keadaan yang terhuyung-hayang tetapi masih mampu bertarung dengan musuh. Selain itu penggunaan skrip yang menarik, merupakan kekuatan filem ini. Skrip yang ditulis berupa pantun dan gurindam yang menunjukkan ketinggian martabat dunia dan bahasa melayu. Setiap dialog yang diperkatakan oleh mana watak berupa pantun atau gurindam yang mempunyai "rima" pada hunjung ayat. Pengguanaan set yang menarik juga merupakan kekuatan persembahan ini. Hal ini ditunjukkan melalui set istana sultan yang dipenuhi dengan ukiran-ukiran dan kraftangan-kraftangan, menggambarkan keagungan senibina dan seni pertukangan melayu pada masa itu. Penggunaan tatacahaya yang baik juga merupakan kekuatan persembahan ini. Pengolahan filem ini mampu membandingkan masa,misalnya pada waktu siang dan malam dengan begitu sempurna.

Namun persembahan ini juga mempunyai kelemahan. Kelemahan persembahan yang dapat dikesan melalui koreograf silat yang ditunjukkan oleh watak. Watak tidak melakukan gerak dan langkah yang menarik dan sempurna. Pergerakan silat yang ditunjukkan seperti berlawan bersahaja, unsur silat yang diterapkan hanya sedikit.

Kesan yang saya rasai ialah marah dengan tindakan Tuah yang terlalu mengikut kehendak sultan yang mengarahkannya membunuh Jebat walaupun Jebat sudah banyak berkorban membela hak dan keadilan selama ketiadaannya. Saya turut berasa sedih dengan watak Jebat yang merayu-rayu supaya Tuah mempercayai penjelasannya walaupun beliau sanggup dibunuh. Saya juga turut berasa keliru dengan perhubungan antara Jebat dan Dang Baru semasa di awal persembahan ini, dan pada akhirnya persoalan ini terjawab dimana mereka sudah bernikah secara rahsia. Saya juga turut tertarik dengan penggunaan dialog yang disampaikan dimana berupa pantun dan gurindam.
Anakanda Jebat - Takkan Melayu ISLAM Hilang Di Dunia.

No comments: