Sunday, November 2, 2008

Khairy, Melayu dan UMNO

Aib! Aib! Aib! Itulah yang boleh diperkatakan tentang Khairy Jamaluddin menantu Perdana Menteri apabila Pemuda MCA Perak, rakan sekutu paling rapat dengan UMNO dalam Persidangan Pemuda MCA pusat baru-baru ini supaya pemuda yang bercita-cita tinggi dalam politik negara ini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana kelantangannya membangkitkan isu biasiswa JPA.

Khairy terperangkap dalam kerakusannya menunjukkan kuasa sebagai pemimpin pemuda hingga lupa sentiviti bangsa lain. Naib Ketua Pemuda UMNO yang sentiasa celupar dan berlagak besar dengan kuasa yang ada padanya selama ini dilihat oleh Pemuda MCA Perak sebagai musuh negara hingga sanggup menyarankan perkara berkenaan.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara bila rakan yang berbeza bangsa dalam BN bertindak sebegini berani. Pemuda MCA dilihat cukup marah kepada Khairy hingga sanggup menghumbankan Ahli Parlimen Rembau itu ke dalam ISA.

Sebagai pemerhati politik saya melihat Khairy memang cukup pakar dalam menimbulkan kemarahan kemudian menaikkan dirinya untuk mendapatkan kuasa dalam politik. Tetapi kali ini kita juga melihat bagaimana kecundangnya Khairy di tangan pemuda MCA.

Kalaulah usul pemuda MCA itu menjadi kenyataan pasti Khairy akan disoal siasat selama berjam-jam lamanya, diberi makanan tidak berkhasiat dan pelbagai tekanan lagi. Ketika itulah nanti kita akan melihat Khairy menjerit keseluruh dunia tentang ketidakadilan yang dihadapinya.

Kemudian dari isu ISA ini, ketika persidangan Dewan Rakyat berlangsung pada 21 Oktober lalu Khairy yang bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO PADA Mac nanti cuba bersikap lembut dan rasional dengan membangkitkan isu AUKU. Khairy menuntut supaya penuntut universiti berpolitik. Khairy berlawan pendapat dengan Idris Harun Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Syabas Khairy. Pakaian kamu sekarang kelihatan cukup mempersonakan. Tetapi dia mesti sedar bahawa kita cukup curiga dengan kelunakan sikapnya ini.Dia perlu tahu bahawa pelajar universiti telah cukup matang dalam menilai sesuati keadaan. Kita tahu Khairy cuba main selamat dalam politik. Dia mahu pembangkang menilai baik terhadapnya. Jangan-jangan apabila bapa mertuanya tumbang selepas Mac depan, Khairy yang takut lingkup mahu berpaut pada KeAdilan pula.

Politik semua boleh jadi. Bukan mustahil bila bapa mertuanya tumbang dia mengintai pintu keadilan, Kalau dia tersungkur di tangan Mukriz untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO, maka akan berakhirlah zaman keluarga Abdullah Badawi dalam politik negara.

Mustahil pasukan Mukriz sekutu Najib Razak yang dididik Mahathir akan menabalkan Khairy kali ini. Khairy jangan mimpi nak lekat dalam haraki pemuda UMNO lagi. Duduklah kamu di Rembau hingga pilihanraya umum akan datang. Lepas itu kamu akan tergolek lintang pukang tak seorang pun pandang. Nasib kamu tak lebih dari nasib Ezam dalam politik negara. Itulah padahnya orang yang naik meloncat pasti terjun menjunam dalam politik.

Ingatlah sesungguhnya kejahatan dan kebaikan tidak pernah bersatu. Ia berada di satu titik selari yang tidak mungkin bertemu walau pada satu titik sekalipun. Kejahatan tidak pernah menang. Jangan kamu lupa pada tanah yang kamu menampung langkah, pada langit yang mencurah rahmat selama ini.

Malangnya Melayu Johor

Kebangkitan rakyat Johor tidak pernah sejuk dalam mempertahankan politik tanah air. Rakyat terus bangkit menentang ketidakadilan dilakukan pemerintah. Rakyat Johor melihat kedaulatan dan ketuanan mereka telah dihumban ketepi oleh pemimpin UMNO tanpa sedikit pun rasa belas kasihan.

Nilai kemanusiaan dan kasih sayang telah dibakar oleh UMNO sendiri. Ketelusan dan kekeramatan UMNO telah bertukar menjadi kejam, ganas dan penuh kehaiwanan. Beberapa hari lalu kita dihidangkan dengan ratahan kemusnahan kemanusiaan di Plentong Tengah. Rumah-rumah rakyat diruntuhkan tanpa sedikit simpatipun. Orang-orang Plentong Tengah telah dipentong hati, perasaan dan roh kehidupan mereka oleh jentolak, polis dan pasukan FRU.

Ini arahan siapa? Ini kehendak siapa? Itu persoalannya.Kenapa parti pemerintah beraja di mata bersultan di hati dalam soal ini. Bukankah setiap nyawa dan harta benda penduduk di situ anugerah tuhan. Kenapa kamu langsung tidak menghargainya. Buruk sangatkan bentuk muka bumi Johor di peta dunia jika rakyat terus menghuni bumi Plentong itu. Mana janji-janji BN yang berslogankan TRADISI MEMBELA RAKYAT.

Jika orang Johor nak tahu ini semua kerja pemimpin parti pemerintah. Menteri Besar pertanggung jawab penuh dalam soal ini. Pemimpin UMNO telah memijak-mijak orang melayu Plentong yang cukup kuat menyokong UMNO dalam pilihanraya lalu. Nasib orang-orang Plentong Tengah cukup malang, mereka mengharapkan pagar bukan saja pagar makan padi tetapi lalang turut berisi. Harapkan telunjuk bukan saja telunjuk mencucuk mata malahan kelingking mereka turut berkait.

Demokrasi dan patroitisme telah dimuntahkan secara jelas oleh kerajaan negeri. Yang ada hanya penderitaan lara penduduk yang teramat sangat. Tanpa belas kasihan mereka dipukul, ditangkap hanya semata-mata untuk mempertahankan hak sendiri. Pemimpin UMNO negeri ketawa besar dengan tragedi ini. Pemuda UMNO negeri di bawah Razali Ibrahim diam tak berbunyi. Mereka akur pada kekejaman walaupun itu nyata salah.

Jerit tangis anak-anak kecil dan wanita tak berdaya menjadi nyanyian cukup merdu bagi melenakan polis dan FRU ketika itu. Roboh! Roboh! Roboh!. Walau tragis tangan-tangan ghaib pemimpin UMNO negeri terus menghambat rakyat tidak berdosa. Penduduk bagai bola permainan pemerintah. Dikejar bila bergolek ditendang ketika berhenti.

Sedarlah rakyat Johor, jika dulu kita tak kisah nasib malang yang menimpa rakyat Selangor sebelum Pakatan Rakyat memerintah. Jika dulu rumah mereka ditolak jentolak kita menutup mata, kita pekakkan telinga, sekarang keadaan itu telah menimpa kita.Tak seorang pun pemimpin UMNO datang membela.

Hari ini rakyat Johor telah diletak di atas pancang, diregang dan didera. Hati dan perasaan mereka disimbah api kebencian oleh UMNO sendiri. Jika UMNO ditolak selepas ini, usah salahkan rakyat. Kamu telah mengkhianati mereka. Rakyat Johor perlu menilai manusia yang memerintah berdasarkan peri kemanusiaan. Janganlah kita terjebak dalam sangkar setia kepada UMNO ,jika akhirnya sangkar itu akan menghilang lenyapkan kebebasan kita sebagai warga merdeka.

Wajah UMNO yang dikenali dulu telah jadi asing dan perlu disisih. Mungkin hari ini kita tidak menjadi mangsa tetapi percayalah bahawa penduduk Plentong Tengah juga adalah sebahagian daripada kita. Ayuh kita tanamkan kekuatan, kita tiupkan semboyan perjuangan di hati mereka. Rakyat perlu bangkit mempertahankan ketuanan mereka kerana di situ ada maruah manusia.

Kita tidak perlu tunduk pada kekejaman. Jadilah rakyat yang kritis dalam analisis hidup bernegara. Jangan lagi membiarkan rakyat menjadi tidak berkuasa. BN boleh melakukan apa saja. Tetapi ingatlah, mulai sekarang rakyat Johor perlu membangunkan pandangan mental mereka. Sekali terkena dengan tragedi Plentong Tengah, selamanya terasa. Susila dan sopan orang-orang Melayu Plentong Tengah telah dibelakangkan pemimpin UMNO.

Pemimpin UMNO Johor telah menipu rakyat yang dipimpinnya. Rakyat Johor jangan lagi menjadikan diri mereka persinggahan untuk kuasa pemimpin UMNO. Carilah pohon rendang yang ada dahan kukuh tempat bergantung bukan pada UMNO yang semakin rapuh.

http://johorpkr.wordpress.com/

1 comment:

Unknown said...

Salam kunjungan balas buat Hulubalang Melaka.

Ummm... nampaknya Melaka masih berhulubalang menyebabkan BN Melaka tidak tidur lena dan hidup selesa.

Lain pula di Johor. Kemana perginya Hulubalang Johor yang perkasa suatu ketika dulu? Atau semua hulubalang Johor telah dikepit celah ketiak Ghani Othman? Bermarwahkah hulubalang Johor bila WI tergadai? Bermarwahkah hulubalang Johor bila jambatan yang menguntungkan Johor tidak jadi bina? Bermarwahkah Pahlawan Johor bila Pulau Batu Puteh berpindah tangan? Bermarwahkah Pahlawan Johor bila menjual air kepada Singapura dengan hanya sekumit sen?

Yang diungkit itu hanyalah perkara-perkara yang besar. Masih berpuluh dan beratus lagi kebaculan sekiranya diungkit kebaculan Pahlawan Johor. Fikir, renung dan timbanglah wahai bangsaku rakyat Johor!

Tapi aku ini bercerita atau membuat fitnah? Atau sengaja mengungkit perkara lampau yang memang tidak disenangi oleh segelintir orang. Atau aku ini menghasut? Nilailah sendiri....