Sunday, June 21, 2009

Pewaris revolusi Khomeini

Riak wajahnya nampak lembut dan santun, seiring dengan keperibadian yang perlu ada pada seorang lelaki yang warak. Namun, ketegasan, kepintaran dan kelantangannya bersuara menyerlahkan aura Ahmadinejad sebagai pemimpin sejati.
DALAM satu sidang media antarabangsa, seorang wartawan Jepun melontarkan soalan kepada Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad. "Presiden Ahmadinejad...,kenapa anda masih mempertahankan perkembangan teknologi nuklear Iran yang mengancam kedamaian dunia?" soalnya.

Dalam nada yang perlahan dan bersahaja, presiden berusia 52 tahun itu menjawab: "Anda seharusnya lebih khuatir terhadap negara yang pernah menjatuhkan bom nuklear ke negara anda, berbanding bimbangkan nuklear Iran."

PEMIMPIN Agung Iran kedua, Ayatollah Ali Khomeini berucap selepas membuang undi semasa pemilihan Presiden baru-baru ini.

Demikian ketegasan dan kepintaran seorang pemimpin bernama Mahmoud Ahmadinejad. Walaupun revolusi pemikirannya dikritik serta ditekan hebat Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, ia tidak sedikit pun menakutkan pemimpin itu.

Bahkan, dengan ugutan demi ugutan yang dilemparkan oleh AS, yang mahu menyerang bumi Iran sekiranya Ahmadinejad masih berdegil dengan ujian nuklearnya, ia langsung tidak mengurangkan sokongan rakyat Iran ke atas Ahmadinejad.

Lebih menarik lagi, tanggal 12 Jun lalu menjadi bukti betapa rakyat Iran berdiri teguh di belakang pemimpin itu. Di sebalik harapan Barat yang mahu melihat Ahmadinejad jatuh pada pemilihan presiden ke-10 baru-baru ini, rakyat Iran menutup mulut AS dan sekutunya apabila memberi kemenangan penuh bergaya kepada presiden kesayangan mereka.

Bahkan dengan pelbagai tajuk-tajuk berita negatif serta gambaran buruk tentang Ahmadinejad dari segi cara beliau menggerakkan ekonomi dan hak asasi manusia, Ahmadinejad tetap disanjung oleh rakyat Iran.

Jika pada kali pertama memenangi jawatan presiden pada tahun 2005, Ahmadinejad mendapat 62 peratus undi, kali ini, jumlah itu meningkat kepada 62.63 peratus.

Beliau mencapai kemenangan luar biasa dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Kamran Daneshjoo mengumumkan menerusi televisyen bahawa presiden itu memperoleh hampir 21.8 juta undi daripada jumlah undi di 346 daripada 366 kawasan pengundian.

Yang pasti, ketegasan dan kehebatan pemikiran revolusi bukanlah satu-satunya penyebab mengapa rakyat Iran terus menyokong Ahmadinejad sekali gus menolak pencabar terdekatnya, Mir-Hossein Mousavi, 68, serta kelompok kepimpinan reformis yang lain.

Malah, tambah mengagumkan, beliau bukanlah daripada sebuah keluarga bangsawan, bukan juga seorang tokoh ulama dan juga ahli politik gah pada awal kemunculannya.

Mengenali Ahmadinejad yang kini merupakan pemimpin Islam yang digeruni dan hangat diperkatakan di arena antarabangsa itu, beliau hanyalah anak kepada seorang tukang besi yang dilahirkan pada 28 Oktober 1956 di Aradan, sebuah kawasan di luar Tehran.

TOKOH Revolusi Iran, Ayatollah Khomeini menjadi mentor Ahmadinejad.

Beliau memperoleh ijazah pertama dari Universiti Sains dan Teknologi Tehran dalam bidang Kejuruteraan Awam dan kemudiannya memperoleh ijazah doktor falsafah dalam Kejuruteraan Pengangkutan dan Perancangan dari universiti yang sama. Beliau juga seorang yang sangat sederhana dan warak.

Ahmadinejad datang dari kedudukan keluarga yang sederhana dengan ayah dan emaknya merupakan penyokong kuat Revolusi Islam Iran pada tahun 1979 yang dipimpin oleh Ayatollah Ruhollah Khomeini.

AHMADINEJAD terus kekal sebagai Presiden bumi Iran walaupun AS, sekutunya dan media Barat melontarkan pelbagai berita negatif kepadanya.

Ayatollah Khomeini menjadi pemimpin agung Iran pertama apabila berjaya menjatuhkan monarki Pahlavi yang menindas golongan ulama melalui polisi antiulama manakala Revolusi Putih banyak mempengaruhi gaya kepimpinan Ahmadinejad.

Hakikatnya, figura revolusioner yang sangat diingati dunia inilah yang menjadi mentor kehidupan dan kepimpinan Ahmadinejad yang juga acap kali dilihat bagaikan seekor singa garang apabila mengaum tanpa rasa takut terhadap musuh-musuhnya terutama negara-negara yang menindas masyarakat Islam.

SOKONGAN isteri, Parvin menguatkan semangat Ahmadinejad untuk menjadi Presiden unggul Iran.

Selain tegas melawan anasir-anasir yang menggugat Islam, Ahmadinejad membebaskan dirinya daripada lingkungan kebesaran harta dunia. Beliau membuktikan erti pemimpin berjiwa rakyat yang sejati seperti mana yang dipraktiskan oleh Ayatollah Khomeini.

Semasa Ayatollah Khomeini bergelar pemimpin nombor satu Iran, pernah berlaku bekalan elektrik terputus di kediamannya. Pembantunya kemudian segera membawa minyak ke rumah Ayatollah Khomeini untuk menghidupkan janakuasa bagi membolehkan sistem pemanas berfungsi.

KETEGASAN keputusan dan kesederhanaan hidup Ahmadinejad memikat jutaan rakyat Iran untuk terus setia dengannya.

Namun, Ayatollah Khomeini menolak. "Kalau rakyat menggigil kesejukan, mengapa pula aku harus bersenang-senang memasang pemanas," ungkapnya.

Itulah yang diteladani Ahmadinejad sekali gus menjadikan dia seorang pemimpin yang sangat dikagumi.

Jauh daripada mengagumi jentera Ford, Mercedes atau BMW, Ahmadinejad hanya menggunakan sebuah kereta Paykan buatan Iran.

Dalam kalangan penyokongnya, Ahmadinejad dilihat sebagai seorang lelaki yang sangat ringkas dengan cara hidup sederhana. Sewaktu pertama kali dipilih menjadi presiden pada tahun 2005, lelaki itu seboleh-bolehnya mahu hidup seperti biasa dengan tinggal di kediaman sendiri di Tehran.

Namun, gesaan daripada pasukan keselamatan menyebabkan dia bersetuju berpindah tinggal di istana presiden. Itu pun jauh daripada imej kekayaan yang biasanya dirujuk kepada presiden sebelumnya, Ali Akbar Hashemi Rafsanjani. Sebaik sahaja berpindah, Ahmadinejad mengarahkan karpet istana ditukar.

"Presiden mengarahkan karpet-karpet mewah dan antik Persian digulung dan dihantar ke muzium untuk dijadikan bahan pameran. Beliau meminta karpet murah sebagai ganti di kediaman istana," cerita salah seorang pembantunya.

Ahmadinejad berkahwin dengan Parvin dan mempunyai tiga orang anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.

LOJI kuasa nuklear Iran yang menjadi kontroversi kerana dikutuk hebat AS.

Apa yang menariknya mengenai pemimpin Islam itu adalah, beliau kerap berpakaian baju-T dan jaket berbanding jubah hitam yang dipakai oleh pemimpin-pemimpin ulama Iran.

Paling dikagumi oleh dunia Islam, beliau juga merupakan pemimpin negara Islam yang bebas rasuah, tidak mempunyai pakatan sulit, mengamalkan ajaran Islam dengan baik, malahan merupakan seorang yang soleh dan amat menjaga pergaulan.

Ahmadinejad juga mempunyai komitmen yang tinggi kepada negara, bangsa dan ideologinya sehingga dia tidak pernah panik menangani ancaman asing khususnya AS.

Saturday, June 20, 2009

Surat Terbuka Kepada Tuan Guru Presiden PAS

Ahmad Fawwaz Abdul Aziz
Sat | Jun 20, 09 | 4:00:52 am MYT
DENGAN Nama Allah Yang Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Saat saya menulis untuk meluahkan hati tika ini, saya tidak tahu Tuan Guru berada di mana. Tapi, jauh di sudut hati saya tetap berkata Tuan Guru akan membaca surat terbuka ini kerana saya tahu Tuan Guru adalah seorang yang rajin membaca dan sensitif dengan perkembangan Harakahdaily. Jadi, saya utuskan surat terbuka ini selepas saya hiba dengan keadaan PAS pada hari ini.

Tuan Guru yang dihormati.

Saya anak muda yang berada dalam PAS untuk memperjuangkan Islam. Dari sekolah menengah saya mengenali PAS. Saya kenal bukan melalui usrah. Saya kenal bukan melalui pimpinan PAS. Tapi, saya kenal PAS ketika saya bergembira menaiki lori menggantung bendera PAS di tiang-tiang lampu dan pokok-pokok.

Uncang-uncang duit

Saya meminati PAS selepas saya diminta membawa uncang-uncang duit untuk memungut derma ketika ceramah PAS berdekatan dengan sekolah saya.

Maahad saya uzur. Pelajar-pelajarnya pada waktu itu tidaklah sebijak rakan-rakan lain yang berada di SMKA, Sekolah Agama Kerajaan Negeri mahupun di Kolej Islam. Tapi, apabila saya kenang sekolah itu, saya yakin di tanah itulah Allah memberkati orang-orang yang menuntut ilmu kerana-Nya.

Di situlah Almarhum Abu Bakar Al-Baqir berpangkalan untuk memperjuangkan Islam. Sehinggalah saya berazam mengiltizamkan diri dengan perjuangan yang suci ini ketika saya di bangku universiti. Hari ini pun saya masih lagi belajar memahami dan bekerja untuk memaknakan perjuangan Islam ini.

Ketika Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat ke-50 baru-baru ini, saya telah membeli sebuah buku yang dikarang oleh Riduan Md Nor. Buku mengenai kisah hidup Tuan Guru. Saya ralit membaca buku itu kerana saya berasa tenang dengan peribadi dan ketokohan Tuan Guru seperti yang digambarkan.

Saya turut mengikuti Ucapan Dasar Presiden selepas Muktamar Tahunan PAS Ke-55 malah saya baca berulang-ulang kali untuk menjiwai intipati ucapan itu. Apa yang saya dapat rumuskan ialah hanya Islam yang akan menyelesaikan masalah manusia terutamanya di Malaysia ini. Tidak ada walau satu masalah pun yang tidak boleh ditangani oleh Islam sebagai agama Allah.

Alhamdulillah atas nikmat Iman dan Islam ini. Saya yakin!

Ungkapan Tuan Guru

Sebelum muktamar hati saya sedih melihat pimpinan PAS. Saya tidak mahu ceritakan mengapa saya sedih sebab saya tidak tahu siapa yang paling benar pada percakapannya. Tetapi, semuanya ini berlaku kerana ungkapan Tuan Guru mengenai Kerajaan Perpaduan. Sebahagian pimpinan mengatakan Tuan Guru tidak cerdik politik. Sebilangan yang lain menegaskan Tuan Guru berjiwa besar bak Sang Negarawan.

Hanya Allah Maha Mengetahui hati-hati mereka yang ikhlas memperjuangkan agama Allah ini. Media pula menggembar-gemburkan pelbagai isu yang keluar dari setiap bibir pimpinan PAS. Bukan sekadar media perdana, bahkan media alternatif. Sehinggakan yang tulen menjadi kabur, terang berubah gelap.

Tuan Guru yang disegani.

Saya yakin ramai lagi ahli seperti saya gundah melihat perkembangan ini. Tambahan, apabila pandangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sering bercanggah dengan Tuan Guru. Bahkan, media melaporkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebut boneka Umno dalam PAS yang ingin menjual parti Islam ini kepada Parti Nasionalis.

Sedih. Saya benar-benar sedih. Benarkah ada orang-orang ini dalam parti yang mulia ini? Saya percaya Tuan Guru sudah menerangkan berkali-kali mengenai Kerajaan Perpaduan.

Pintu rundingan

Hari ini, saya membaca tulisan Wan Abdul Rahman Wan Ab Latif, Pengarah Penyelidikan PAS mengenai idea politik tersebut. Segar hati saya. Apa yang saya faham adalah Kerajaan Perpaduan bukan tahalluf siyasi antara PAS dan Umno. Tetapi, PAS membuka pintu rundingan dengan sesiapa sahaja untuk memulihkan krisis politik, ekonomi dan kebejatan rakyat yang melanda negara.

PAS mahu mengajak Umno, KeADILan, DAP, MCA, MIC, Gerakan, PPP dan parti-parti di Sabah dan Sarawak untuk membentuk sebuah kerajaan asalkan meletakkan al-Quran dan As-Sunnah sebagai tunjang. Mesti Islam sebagai asas pembentukan.

Tuan Guru yang dikasihi.

Saya merayu pada Tuan Guru, bertemu matalah dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Saya tahu Tuan Guru seorang yang setia. Malah, apa yang saya dengar, Tuan Guru akan berpeluk dan mencium dahi Tuan Guru Nik Abdul Aziz apabila bertemu. Bermuqabalah dan bermuzakarahlah dengan beliau.

Saya sendiri melahirkan rasa terkilan apabila kenyataan beliau terlalu keras seperti pemimpin yang tidak pernah maklum mengenai Kerajaan Perpaduan. Hanya Tuan Guru yang boleh menasihatinya. Leraikanlah kekusutan beliau.

Bertemu Husam Musa

Saya mohon sebagai pemimpin yang besar jiwanya, bertemulah dengan Dato' Husam Musa. Bincanglah dengan dia mengenai perkara ini dan dapatkanlah kata sepakat. Walaupun beliau adalah AJK PAS Pusat, sebagai pemimpin yang dihormati, Tuan Guru akan terus bersemuka untuk menyelesaikan polemik bersama. Itu adalah cara yang terbaik untuk seorang AJK menghargai dan memahami siapa sebenar dirinya.

Saya juga berharap kepada Tuan Guru untuk memanggil semua komponen parti Pakatan Rakyat.

Beritahulah kepada mereka bahawa Kerajaan Perpaduan ini bukan perkongsian kuasa antara PAS dan Umno. Saya benar-benar memahami bahawa PAS tidak akan mengkhianati persahabatan ini meskipun mereka seringkali membuat PAS sedih. Tuan Guru kena buktikan bahawa betapa mulianya sifat pemaaf dan ibrah di sebalik Sahifah Madinah. Saya yakin Tuan Guru seorang perunding politik yang hebat.

Tuan Guru berilah nasihat yang lembut kepada pemimpin Umno, MCA dan MIC bahawa Kerajaan Perpaduan bukan antara PAS dan Umno sahaja. PAS akan berbincang dengan sesiapa sahaja untuk memulihkan negara walaupun dengan parti politik yang kecil. Inilah jiwa Tuan Guru yang besar tetapi seringkali disalahertikan dengan propaganda musuh.

Tuan Guru yang dimuliakan Allah.

Sentiasa bermunajat

Seringkali saya berfikir bahawa Tuan Guru sentiasa bermunajat kepada Allah untuk memandu diri dalam setiap saat. Saya kagum dengan kenyataan Tuan Guru ketika meletakkan Abdul Wahid Endut sebagai calon di Kuala Terengganu meskipun ramai berpendapat pemimpin-pemimpin yang lain adalah lebih layak.

Kenyataan Tuan Guru melegakan hati apabila Tuan Guru menyebut bahawa ini adalah ilham daripada Allah. Saya juga berpendapat begitu. Walaupun idea Kerajaan Perpaduan ini dicemuh, diremeh malah dipertikai oleh sebahagian yang lain, Tuan Guru teruskan niat yang mulia ini.

Hati kecil saya sentiasa beringat bahawa Tuan Guru mendapat petunjuk dan ilham daripada Allah. Sudah pasti petunjuk Allah itu benar walaupun ujiannya berat dan pedih. Tuan Guru, idea revolusi itu selalunya lewat untuk dicernakan.

Mungkin Tuan Guru akan meninggalkan idea ini dalam legasi politik PAS dan Malaysia. Tidak mustahil ia akan diungkap kembali daripada generasi kepimpinan PAS yang lain dan pada waktu itulah gagasan politik ini akan menjadi satu realiti yang sangat mahal harganya. Inilah hikmatullah yang mulia. Hanya optimis dan positif melatari perjuangan Islam ini.

Tuan Guru yang dikagumi.

Saya hanya aktivis PAS yang menghiasi persada perjuangan ini. Tuan Guru adalah inspirasinya. Saya memohon maaf andai kata surat terbuka ini tidak memberikan apa-apa makna buat semua. Tapi inilah rayuan saya.

Inilah luahan saya setelah beberapa kali menangis di hadapan Allah. Tidak ada apa-apa yang saya ingin lafazkan lagi melainkan saya mencintai Tuan Guru kerana Allah Taala.

Saya berbai'ah dengan Allah dan Rasul serta Tuan Guru bahawa saya mewakafkan diri kepada perjuangan Islam yang mulia ini. Doakanlah saya agar tsabat dan istiqamah hingga syahid bertemu Rabbul 'Izzati.

Maafkan saya Tuan Guru. Maafkan saya. Moga Allah memberikan taufik dan hidayah kepada Sang Murabbi yang saya cintai. Ya Allah, bantulah kami. _