Saturday, November 29, 2008

Petronas Untung RM63 BILLION - Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) mencatat kenaikan keuntungan sebelum cukai sebanyak 48.6 peratus bagi enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2008 kepada RM63.26 BILLIAN berbanding RM42.57 bilion untuk tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Perolehan bagi syarikat petroleum itu bagi tempoh kewangan tersebut adalah sebanyak RM157.20 BILLION berbanding RM102.86 bilion untuk tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, Petronas dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai faktor kenaikan dalam prestasi kewangannya.

Untung bersih bagi tempoh berkenaan juga meningkat sebanyak 46 peratus kepada RM38.64 bilion berbanding RM26.47 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Penyumbang terbesar kepada perolehan bagi tempoh kewangan berkenaan adalah daripada segmen perniagaan minyak sebanyak 49.8 peratus dengan nilai sebanyak RM78.22 bilion," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, daripada jumlah tersebut, produk petroleum yang ditapis menyumbang sebanyak RM60.72 bilion manakala bakinya daripada dagangan minyak mentah.

Penyumbang kedua terbesar kepada perolehan kumpulan pula adalah daripada segmen penerokaan dan pengeluaran yang menyumbang sebanyak 19.7 peratus bernilai RM30.87 bilion, tambah kenyataan itu.

Daripada jumlah berkenaan, minyak mentah menyumbang sebanyak 18 peratus bernilai RM28.19 bilion manakala gas asli sebanyak 1.7 peratus berjumlah RM2.68 bilion.

Menurut kenyataan itu, perniagaan gas pula adalah penyumbang ketiga terbesar kepada perolehan Petronas sebanyak 17.9 peratus, yang mana gas asli cecair (LNG) menyumbang 14.4 peratus dengan nilai berjumlah RM22.67 bilion manakala gas yang diproses pula menyumbang 3.5 peratus bernilai RM5.49 bilion.

Selain itu menurut kenyataan itu, segmen perniagaan domestik telah menyumbang sebanyak RM31.53 bilion (20 peratus) kepada perolehan syarikat, pasaran eksport sebanyak RM56.70 bilion (36.1 peratus) manakala operasi luar negara berjumlah RM68.95 bilion (43.9 peratus).

Kenyataan Petronas itu menjelaskan, lebihan baki tunai bagi tahun kewangan tersebut adalah sebanyak RM72.23 bilion berbanding RM71.45 bilion tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, syarikat petroleum itu memberitahu, perbelanjaan modal bagi tempoh kewangan berkenaan adalah sebanyak RM23.18 bilion berbanding RM13.29 bilion untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, daripada jumlah berkenaan, segmen penerokaan dan pengeluaran membabitkan peruntukan RM18.53 bilion, minyak sebanyak RM1.15 bilion, gas dan petrokimia masing-masing RM604 juta dan RM501 juta manakala peruntukan untuk segmen perkapalan adalah RM2.07 bilion.

Perbelanjaan modal untuk segmen demografik bagi tahun kewangan tersebut adalah sebanyak RM23.18 bilion berbanding RM13.29 bilion.

Petronas berkata, daripada jumlah tersebut, perbelanjaan modal untuk segmen domestik adalah sebanyak RM10.72 bilion manakala pasaran antarabangsa berjumlah RM12.45 bilion.

Anakanda Jebat: Untung berbillion2 tapi rakyat tetap hidup menderita. Kerna apa? Kerna Si Kaya hanya tahu mencari wang tetapi tidak tahu bagaimana cara untuk memberi wang kepada rakyat jelata. Nasib kamulah wahai rakyat marhaen...

Tugas Terakhir Razali - Utusan Meloya

GENTING HIGHLANDS 28 Nov. – Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail meninggal dunia secara mengejut ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IAB) di sini petang ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, Allahyarham tiba-tiba rebah ketika bermain badminton bersama beberapa kakitangan IAB di pusat rekreasi institut tersebut.

Razali, 59, yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berada di institut itu bagi menghadiri mesyuarat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dan mengambil kesempatan bermain badminton di luar acara rasminya itu.

Jenazah Allahyarham dihantar ke Hospital Bentong (HB) untuk pemeriksaan dan bedah siasat kira-kira pukul 9.30 malam ini.

Bersama mengiringi jenazah ialah isterinya, Datin Noraini Lob Yusoff, 51, dan dua daripada lima anak Allahyarham, Asrul Shah, 27 dan Muhammad Nurazli, 30.

Tiga anaknya yang lain ialah Khairul Amar, 23, Khairul Anuar, 21, dan Khairul Ariff Razali, 15.

Turut berada di IAB membantu menguruskan jenazah ialah Men teri Pelajaran, Datuk Seri Hisham muddin Tun Hussein serta para pegawai Kementerian Pelajaran dan IAB.

Setiausaha Kerajaan Negeri Te rengganu, Datuk Mokhtar Nong turut berada di samping jenazah di IAB dan HB.

Hishammuddin dalam reaksi nya sangat sedih dengan pemergi an mengejut Allahyarham.

“Pemergian beliau kehilangan besar kepada saya, Kementerian Pelajaran serta negara,” katanya.

Selepas urusan bedah siasat di HB malam ini, jenazah Allahyar ham akan dibawa ke rumahnya di Batu Burok, Terengganu untuk di kebumikan.

Difahamkan, permainan bad minton adalah sukan kegemaran Allahyarham selain beliau juga memegang tali pinggang hitam da lam seni mempertahankan diri ju do.

Razali pernah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) se lama 10 hari, tiga bulan lalu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, beliau mewakili Barisan Nasional (BN) memperoleh 32,562 undi mengalahkan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu (31,562) dan calon bebas seorang wanita berusia 89 tahun, Maimun Yusof (685).

Razali sebelum ini merupakan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PT PTN).


Dibawah Ini Adalah Petikan Dari Artikel : BACA DISINI»

Timbalan Menteri Tolak Sajak Kematian, Tetapi Tidak Mampu Menghalang Kematiannya

AlFatihah buat Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Razali Ismail yang disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 petang semalam di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

Seingat ana, pada bulan September lalu Allahyarham telah mengeluarkan arahan agar semua guru dan kakitangan sekolah tidak dibenarkan soal politik ketika berada dalam kawasan sekolah walaupun pada waktu berehat dikantin. Ramai guru yang tidak puas hati tetapi isu itu tetap berlalu pergi.

Namun yang tak boleh ana lupakan adalah tentang Sajak Kematian yang begitu hangat diperkatakan pada awal bulan ini. Allahyarham merupakan antara orang pertama yang mendedahkan perkara ini dan membuat bantahan awal agar ianya tidak dibenarkan berlaku lagi.

Kuasa Allah menentukan, belum sampai sebulan isu ini berlegar dipikiran rakyat, Allahyarham pergi menemui ajalnya yang telah ditetapkan. Ada yang menganggap ini suatu kebetulan, tetapi ada juga yang menganggap ianya sebagai peringatan dari Allah yang sesungguhnya senantiasa memerhati tingkah laku hambanya.

Kita tidak boleh menolak kematian, tetapi apakah persiapan kita ke arah itu. Allahyarham telah pergi menemui penciptanya, bagaimana dengan kita.

Kita boleh tolak sajak kematian itu, tetapi kita tidak boleh menolak kematian yang dijanjikan Allah! Semoga Allah mengasihani dan menampuni dosa-dosa beliau…..

Maaf, artikel ini bukan untuk menjatuhkan maruah Allahyarham dan keluarga. Kalau itu membuatkan mereka tersinggung ana minta maaf, bagi ana ini hanyalah sekadar satu peringatan buat diri ini dan sahabat-sahabat kerana sesungguhnya, bagi setiap kematian itu ada pengajaran yang perlu kita fikirkan.

“Cukuplah kematian itu sebagai penasihat.” ( Riwayat Ath-Thabrani dan Baihaqy )

WAJIB BACA : Bala Dan Sikap Orang Mukmin

Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat

Allah ini suka menguji. Orang miskin pun Dia datangkan bala. Orang kaya pun Dia datangkan bala. Negeri dan negara pun sama. Orang baik pun kena. Orang jahat pun kena.

Sebelum kita membicarakan persoalan bala dan ujian dengan lebih lanjut, mari kita sama-sama teliti terlebih dahulu pengertian Ayat Allah SWT seperti di bawah:

“Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” - (Surah Al-Anbiya: 35)

Ertinya di sini, apa saja yang buruk atau baik adalah bala dan ujian yang datang ditentukan oleh Allah SWT.

Malang sedikit, dalam kamus kehidupan orang Melayu, bala cuma dirujuk kepada kesusahan. Sebut saja bala, ia hanya dikaitkan dengan malapetaka dan musibah. Mari kita lihat apa yang disebut di dalam buku-buku kamus Melayu.

Bala bermakna kejadian buruk yang menimpa diri seseorang (seperti kemalangan dan sebagainya) atau sesuatu tempat (seperti gempa bumi, banjir besar, kemarau dan sebagainya), bencana, malapetaka. ? di petik dari Kamus Dewan Edisi Keempat muka surat 113.

Dari segi Islam, bala ini bererti ujian, bukan kemusnahan. Ia satu tajuk besar. Dalam rezeki yang semakin bertambah dan pangkat yang semakin naik pun ada bala dan ujian.

Dalam kaya, miskin, sakit, sembuh, berjaya atau gagal dalam peperiksaan - semuanya adalah ujian. Ia bertujuan untuk menguji keimanan dan kesabaran seseorang. Tahap ilmu dan istiqamah seseorang itu boleh diukur melalui pelbagai sikapnya ketika diuji oleh bala Allah SWT.

Bagi orang kaya, bala kekayaan itu disusuli dengan membayar hutang atau mengeluarkan zakat ataupun tidak. Bagi orang miskin, bala kemiskinan itu akan menyebabkan dia mencuri atau merompak ataupun tidak?

Untuk memperkayakan dimensi kefahaman kita mengenai bala, mari kita renung erti bala atau lebih tepat, ujian seperti yang dipandu oleh Al-Quran dalam ayat-ayat yang lain:

i) Orang kaya diturunkan bala (diuji) dengan orang miskin:

“Dan demikianlah telah Kami uji sebahagian mereka (orang-orang yang kaya) dengan sebahagian mereka (orang-orang miskin), supaya (orang-orang yang kaya itu) berkata: “Orang-orang semacam inikah di antara kita yang diberi anugerah oleh Allah kepada mereka?” (Allah berfirman): “Tidakkah Allah lebih mengetahui tentang orang-orang yang bersyukur (kepadaNya)?” - (Surah Al An’am: 53)

ii) Bala (diuji) bagi orang yang ingin masuk Syurga:

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: ‘Bilakah datangnya pertolongan Allah?’ Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” - (Surah Al Baqarah: 214)

iii) Kaya dan miskin sebagai bala yakni ujian:

“Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata: ‘Tuhanku telah memuliakanku.’ Adapun bila Tuhannya mengujinya dengan cara membatasi rezekinya maka dia berkata: ‘Tuhanku menghinakanku.’ Sesekali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim. (ertinya kalah dalam ujian).” - (Surah Al Fajr: 15?17)

Dari beberapa petikan Ayat Al-Quran seperti di atas, Insya Allah, kita akan menjadi semakin jelas hakikat bala yang sebenarnya. Ia lebih bersifat ujian.

Bagi si kaya, bagaimana dia boleh menangani bala apabila rezeki perniagaannya semakin melimpah. Benar-benar sedarkah dia bahawa dia sedang diuji oleh Allah SWT. Bagi si miskin, bagaimana dia dapat sabar menangani bala apabila dia diuji dengan keadaan hidup semakin sempit. Atau bagaimana pula keadaannya apabila si kaya tadi ditimpa bala (yakni ujian sebenarnya) apabila dengan tiba-tiba misalnya perniagaannya tiba-tiba jatuh bankrap?

Begitu juga dengan kemelesetan ekonomi dunia yang sedang melanda semua negara kini. Saham jatuh. Inflasi melambung. Nilai mata wang merudum. Dengan tiba-tiba pula pengeluaran makanan berkurangan. Harga bahan api yang tidak menentu. Kepanasan global dan krisis moral yang cukup kritikal. Ini semua bala yang menguji keimanan dan kesabaran.

Inilah yang saya selalu tekankan tentang kepentingan takwa. Ia satu jenis brek yang dapat mewaraskan setiap manusia. Baik dicuba dalam waktu aman atau krisis, orang beriman yang sentiasa dipupuk oleh kesedaran takwa akan sentiasa yakin bahawa dalam keadaan miskin dia tidak akan menipu, mencuri atau merompak.

Atau dalam keadaan yang (katakan) dia menjadi kaya, dia juga akan mengeluarkan zakat, membantu orang miskin, menubuhkan tabung-tabung dan yayasan-yayasan kebajikan segera. Orang yang memiliki takwa tidak akan terganggu dengan bala yang ditakdirkan ke atas diri dan keluarganya.

Bagi sesebuah negara pula, selain dari bersabar dan memahami punca dan fenomena bala, negara itu sendiri perlu menjalani proses muhasabah. Muhasabah boleh jadi wajar dimulakan dengan pertanyaan-pertanyaan ringkas seperti berikut:

i) Tidak ada kena mengenakah negara ini dengan Allah SWT, selaku Tuhan yang menjadikan dan memiliki kerajaan langit dan bumi? Mustahil kita semua ini tidak ada kena-mengena dengan Allah SWT.

ii) Benarkah amalan negara ini yang memisah agama dari pemerintahan? Bila negara membuang agama dari pemerintahan, maka Islam yang telah dibuang itu mahu diganti dengan apa? Dengan isme ciptaan manusia? Dengan nafsu? Dengan agama lain?

iii) Tidakkah segala nikmat di atas langit yang diturunkan, disediakan di atas, di permukaan bumi dan di dalam perut bumi itu adalah dari anugerah Allah SWT?

iv) Tidakkah Dia yang mampu memberi akan juga turut mampu mengehad, menyekat atau merampasnya?

v) Apakah sekadar ikhtiar berupa meminjam duit KWSP untuk disuntik ke dalam pasaran saham dan hal-hal yang seumpamanya sahaja yang perlu dilakukan?

Jika saya menyebut tentang takwa sebagai ‘brek’ di peringkat individu, maka takwa jugalah jawapannya untuk negara. Di atas nama takwa, negara harus elakkan kerja-kerja membazirkan wang rakyat kerana membazir itu “saudara kepada syaitan”.

Hentikan salah guna wang rakyat. Lepaskan tahanan-tahanan yang dizalimi di bawah ISA. Hentikan serta merta amalan rasuah, tumbuk rusuk, dan pemberian tender yang tidak didasarkan kepada merit.

Beri tempat yang sewajarnya kepada hukum dan peraturan Allah SWT. Perbanyakkan majlis-majlis yang menyuburkan maaruf, majlis-majlis ilmu, tazkirah dan tazkiyah. Jangan ditaja kerja-kerja mungkar.

Yakinlah kepada kandungan ayat al-Quran yang bermaksud: “Sebanyak mana benda halal, semuanya akan mendatangkan guna kepada manusia. (Sebaliknya) tiap-tiap benda haram, ia akan memudaratkan manusia”.

Inilah saja jalan penyelesaian yang boleh mengeluarkan individu atau negara daripada kegelapan kejahilan. Jika tidak, bala akan hanya menjadi kita semakin hanyut.

Tanpa mengambil iktibar dari panduan ayat-ayat Allah, kita dikhuatiri menjadi kebingungan. Lebih malang apabila kita tidak dapat memanfaatkan ujian dan bala daripada Allah itu secara orang yang berfikir.

Ini mungkin “kerana sesungguhnya, bukanlah mata itu buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada”. - (Surah Al-Hajj: 46)

Akhirnya orang yang malang ini akan terperangkap dalam penyakit “penafian” (denial syndrome). Setiap yang dilakukan oleh orang lain akan dipandang sebagai tidak betul. Nau’zubillah minta dijauhkan Allah.- tajdid

http://syukran.wordpress.com/

Monday, November 24, 2008

Sisters In Islam Pertikai Keputusan Majlis Fatwa - Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Sisters In Islam (SIS) menolak keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan amalan senaman yoga kerana tiada sebarang bukti dikemukakan bagi mewajarkan yoga diharamkan.

Pengurus Program SIS, Norhayati Kaprawi berkata, sehingga kini negara tidak pernah menerima apa-apa aduan atau bukti yang mengatakan ada individu beragama Islam bertukar kepada agama Hindu selepas mengamalkan senaman yoga.

''Jadi, mengapa perlu ia diharamkan? Mengapa terburu-buru untuk meletakkan undang-undang terhadap aktiviti senaman itu sedangkan ia tidak mengancam kedudukan agama Islam setakat ini?" soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Majlis Fatwa Kebangsaan semalam, yang mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga secara sistematik kerana dibimbangi akan menghakis akidah jika pengamalnya meneruskan amalan itu ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Norhayati, pihaknya mempunyai alasan kukuh mengapa pengharaman itu tidak patut dilakukan memandangkan amalan yoga tidak lebih daripada sekadar satu senaman untuk kesihatan.

''SIS tidak nampak ia boleh memesongkan akidah seseorang pengamalnya sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam.

''Ini kerana yoga tidak lebih dari sekadar senaman untuk kesihatan jasmani, sama juga seperti senaman Tai Chi dan Qigong, '' katanya.

Sambil menyifatkan ia sebagai satu pengajaran, beliau bagaimanapun meminta supaya Majlis Fatwa lebih peka sebelum membuat sebarang tindakan membabitkan isu-isu sensitif seperti itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, SIS juga akan memberi sokongan penuh sekiranya Majlis Fatwa mengambil langkah untuk mengkaji semula perkara tersebut bagi mengelak kekeliruan masyarakat.

Anakanda Jebat: Mereka ini sepatutnya disula saja hukumannya macam cerita "Semerah Padi". Sudahlah jahil agama tetapi masih mahu mengulas bab agama. Tak ke bangang namanya itu? Baghal ke ape?

32 NGO Melayu Buat Laporan Polis - Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Kira-kira 500 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman di Balai Polis Jalan Tun Razak di sini hari ini, sebelum membuat enam laporan polis berhubung isu perkauman, kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam.

Antara enam isu yang dilaporkan ialah Melayu sebagai pendatang, pengkid, Hindu Rights Action Force (Hindraf), isu hina Islam dan dua isu berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Laporan itu dibuat sejurus berakhirnya forum Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) di Wisma Sejarah, Ampang di sini pada pukul 1.50 petang.

Mereka yang mewakili 32 NGO Melayu itu berhimpun di Balai Polis Jalan Tun Razak pada pukul 3 petang sebelum membuat laporan kira-kira 15 minit kemudian.

Timbalan Pengerusi Pewaris, Rahmuddin Mat Harun berkata, NGO terbabit mahu pihak berkuasa lebih tegas menangani isu pertikaian hak Melayu yang sering diperkatakan kebelakangan ini.

"Kami mendesak pihak yang cuba mengapi-apikan dan mempertikaikan kedudukan istimewa bangsa Melayu serta kedaulatan agama Islam agar berhenti berbuat demikian.

"Kami juga menyelar pihak yang cuba menggugat keamanan masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini dengan kenyataan yang mencabar bangsa Melayu serta umat Islam," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis tersebut.

Semasa piket secara aman itu, penyokong Pewaris dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) membawa pelbagai sepanduk antaranya bertulis, Bersatulah demi perpaduan ummah, Kekalkan ISA demi keamanan dan Melayu tidak akan biarkan agama Islam dan keutamaannya dipersendakan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan telah menerima keenam- enam laporan polis tersebut.

Selain Rahmuddin Mat Harun, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman turut hadir pada perhimpunan tersebut.

Anakanda Jebat: Agenda UMNO lagi untuk mencetuskan huru-hara perkauman. Hati2 saudara sekalian!

Pewaris Anjur Jelajah Pertahan Hak Bumiputera - Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi meminta pihak berkuasa mempertahankan kedaulatan agama Islam serta hak kaum Melayu dan bumiputera seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jurucakapnya, Datuk Dr. Maamor Osman berkata, siri jelajah yang akan bermula bulan depan di Selangor sebelum diperluas ke seluruh negara itu, bertujuan menjamin kesejahteraan hubungan kaum dan keamanan di Malaysia.

Menurutnya, siri jelajah itu penting bagi menyedarkan semua pihak bahawa terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab kini cuba menggugat keistimewaan Islam, Melayu dan bumiputera, seterusnya mengancam keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Kata beliau, siri jelajah itu bertujuan mendapatkan persefahaman di antara semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bagi mengadakan resolusi dan memberi penjelasan kepada rakyat mengenai ancaman-ancaman tersebut.

''Selepas itu, memorandum dan resolusi yang terhasil akan dihantar kepada Perdana Menteri dan wakil Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada pemberita selepas pelancaran siri jelajah itu di sini hari ini.

Dalam majlis itu, kira-kira 500 ahli gabungan Pewaris berarak dari Wisma Sejarah ke balai polis Jalan Tun Razak di sini, bagi membuat laporan polis meminta siasatan dijalankan ke atas lima perkara antaranya Hindraf dan penghinaan ke atas Islam.

Laporan penghinaan ke atas Islam itu dibuat apabila sebelum kumpulan itu mula berarak kira-kira pukul 1.50 petang tadi, seorang wanita berdiri di atas jejantas di situ sambil melemparkan kata-kata kesat ke atas agama Islam dan bangsa Melayu.

Kekecohan berlaku dan beberapa anggota polis yang berada di situ terpaksa mengiringi serta melindungi wanita berkenaan ke kenderaannya.

Sementara itu. menjawab satu soalan, Maamor berkata, Sisters in Islam patut bermuhasabah diri sebelum membuat sebarang teguran ke atas perkara yang ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai isu pengkid.

''Ketetapan majlis itu mengikut lunas Islam, al-Quran serta hadis dan Allah sendiri melaknat golongan perempuan yang membawa perwatakan lelaki dan sebaliknya," tegasnya.

Laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan semalam menyebut, Pengurus Acara Sisters In Islam, Norhayati Kaprawi mendakwa, pengharaman pengkid dikhuatiri bersifat diskriminasi terhadap golongan perempuan beragama Islam di negara ini.

Anakanda Jebat: Hati2 semua ini agenda UMNO demi menjaga kuasa yang mereka miliki sekarang.

Isu ISA: GMI Cabar PEWARIS, Dr. Maamor

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Hrkh) - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mencabar Majlis Permuafakatan Ummah atau Pewaris untuk bersemuka bagi membincangkan isu-isu berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA.

Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata, GMI terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakapnya, Dato' Dr Maamor Osman yang tidak mendapat maklumat tepat mengenai Akta drakonian itu.

"Mungkin maklumat tersebut tidak tepat, hanya mendapat info daripada sebelah pihak sahaja. Sepatutnya mereka kena pergi bertemu sendiri dengan tahanan ISA dan keluarga mereka," katanya.

Tambahnya, Pewaris perlu menyemak terlebih dahulu sesuatu kes sebelum mengenakan tindakan ISA bagi menjamin keadilan dan hak semua bangsa terpelihara.

"Saya juga sedih dengan penglibatan Presiden Persatuan Pengguna Islam (PPIM) dalam Pewaris yang memperjuangkan isu yang menindas masyarakat umum melalui akta yang zalim ini," katanya.

Dalam Islam, tidak ada sesiapa yang bersalah sehingga dibuktikan ianya bersalah yakni menerusi siasatan dan perbicaraan bagi memberikan haknya untuk seseorang membela diri, kata Syed Ibrahim.

Terdahulu, Maamor yang juga merupakan Setiausaha Agung PPIM mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan supaya mengekalkan penggunaan ISA bagi menjamin keharmonian negara ini daripada diganggu-gugat oleh anasir-anasir jahat.

"ISA masih relevan dan melalui ISA, keharmonian negara dapat dikekalkan, dan dalam prinsip Islam pencegahan adalah lebih baik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Pewaris di Wisma Sejarah semalam.

Selepas mesyuarat itu, Maamor dan 100 anggota Pewaris berarak dari Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak menuju ke Balai Polis Jalan Tun Razak, di Jalan Ampang untuk membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas pihak yang memainkan isu-isu perkauman.

Maamor bagaimanapun enggan memberikan nama-nama individu yang didakwa mereka memainkan isu perkauman yang dinyatakan dalam laporan polis itu.

Dilaporkan kekecohan juga tercetus pada awal perhimpunan apabila peserta perhimpunan bertindak memukul beberapa individu yang lalu lalang di kawasan perhimpunan iaitu di Wisma Sejarah.

Pihak polis didakwa hanya duduk berehat di perkarangan jalan bangunan Bernama yang terletak berhampiran bangunan Wisma sejarah itu.

Insiden tersebut menimbulkan rasa kurang senang apatah lagi sepanduk dan kain rentang yang dipamerkan menyebabkan mereka yang melalui kawasan tersebut bertindak mengeluarkan kata-kata yang tidak sesuai.

Antara kata-kata pada sepanduk tersebut yang mengundang provokasi adalah 'Bubarkan Majlis peguam', 'Yes to ISA', 'bebaskan Dato' Ahmad Ismail' dan 'tanah Malaysia tidak perlukan babi import sahaja babi daripada luar'.

Selain itu turut kelihatan sepanduk 'pengkid haram : bukan Islam jangan masuk campur hal Islam', 'jangan sentuh ketuanan melayu', 'surau dan masjid dirobohkan atas kesan pembangunan - kenapa kuil tidak?' dan jangan gadaikan maruah melayu demi kepentingan politik peribadi.

Terdapat juga sebuah kain rentang yang paling besar berbunyi:'kekalkan ISA demi keamanan, keselamatan dan kemakmuran' dipasang menutupi bangunan Wisma Sejarah.

Kebanyakan peserta yang berarak memakai kemeja-t berbunyi yes to ISA dan kain pengikat dahi berwarna kuning bertulis 'Hidup Melayu, Hidup Islam'. - HarakahDaily

Anakanda Jebat: Hamba tahu semua ni agenda UMNO demi menjaga kuasa yang mereka ada. Duhai puak2 UMNO jangan jadikan negaraku yang tercinta ini sebagai medan perkauman kalian. Huru-hara yang tercetus akan menyusahkan rakyat jelata yang kehidupan mereka sekarang ini sememangnya susah. Turunkan harga minyak tapi harga barangan tidak juga turun. Bukankah susah namanya itu?

Harga Minyak Sepatutnya RM1.52!

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Hrkh) -Ketua Menteri Pulau Pinang,Lim Guan Eng menyeru Menteri Kewangan, Dato' Seri Najib Tun Razak agar menurunkan harga petrol kepada RM1.52 seliter memandangkan harga minyak dunia ketika ini adalah AS$50 setong.

"Ini ialah harga di pam apabila harga minyak berada berada di bawah AS$50 setong pada tahun 2005,"kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, penurunan ini wajar,adil dan bertanggungjawab daripada menunggu dua minggu lagi untuk melaksanakannya.

"Selain daripada membayar subsidi kerajaan juga akan dapat jimat lebih RM10 bilion jika harga kekal stabil,"dakwanya.

Tambahnya, kegagalan untuk menurunkan harga minyak hanya akan menimbulkan persoalan iaitu kenapakah kerajaan boleh bertindak cepat untuk menaikkannya tetapi agar sukar untuk menurunkannya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Shahrir Samad semalam berkata, harga minyak mungkin akan turun 15 sen lagi menjelang akhir bulan ini berikutan dengan penurunan harga minyak dunia. -Mohd Khalil Abdullah (HarakahDaily)

Saturday, November 22, 2008

Lim Guan Eng Kurangkan Kedai Judi, Pemimpin UMNO Bila Lagi?

Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam agak kecoh semalam apabila ADUN dari BN ( Umno) mempertikaikan cadagan Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng untuk mengurangkan cabutan nombor ekor dari 10 kepada 6.

Tindakan wakil rakyat dari DUN Berangan, Dato' Shahbudin Yahya yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang ( MAIPP) seperti mendedahkan pekung di dada sendiri.

Menurut Shahbudin, mencegah kemungkaran perlu dilakukan dengan sepenuhnya dan bukan separuh-separuh seperti cadangan Lim Guang Eng.

"Judi adalah haram dan memang tidak boleh kompromi. Ia memang perlu dihapuskan ke tahap zero (sifar) dan bukan hanya mengurangkan bilangannya". Shahbudin dipetik sebagai berkata dalam meminta penjelasan dari Lim Guan Eng dalam sidang DUN semalam.

Dari satu sudut saya bersetuju dengan pandangan Shahbudin tetapi dalam sudut yang lain ternyata kata-kata Shahbudin umpama meludah ke langit yang jatuh ke muka sendiri. Apa yang Shabudin lakukan semasa BN dan Umno masih berkuasa untuk mengurangkan atau mengatasi masalah judi di Pulau Pinag? Malah sehingga hari ini beliau masih menjadi YDP MAIPP yang mempunyai kuasa dan pengaruh untuk mengatasi atau mengurangkan pusat perjudian di Pulau Pinang. Sikap beliau tidak kena masa dan tempat. Shahbudin sengaja nak memalukan diri sendiri dan Umno di Pulau Pinang dengan sikap yang ditunjukkan.

Shahbudin patut merasa malu kerana ada pemimpin bukan Islam yang ada inisiatif untuk mengurangkan kadar perjudian tidak seperti negeri yang masih dikuasai oleh BN dan Umno seperti apa yang berlaku di Genting Higlands dan Bukit Tinggi di Pahang pusat perjudian di situ semakin berkembang pesat ala Macau dan MontleCarlo.

Inflasi 7.6 Peratus Pada Oktober - Berita Hari2 Tipuan

KUALA LUMPUR: Kadar inflasi Malaysia menurun kepada 7.6 peratus pada Oktober dengan pengurangan dalam harga petrol dan diesel, adalah antara faktor penyumbang, kata Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan hari ini.

Harga petrol dan diesel dikurangkan buat kali ketiga oleh kerajaan pada 15 Oktober.

Pada September, kadar inflasi menurun kepada 8.2 peratus daripada tahap tertinggi untuk tempoh 26 tahun iaitu pada 8.5 peratus pada Ogos, dengan potongan harga bahan api juga menjadi penyumbang.

Berbanding bulan sama tahun lalu, Oktober menyaksikan indeks bagi makanan dan minuman tanpa alkohol meningkat sebanyak 12.1 peratus manakala indeks bagi item bukan makanan bertambah sebanyak 5.5 peratus, kata jabatan berkenaan.

Kenaikan tinggi dicatatkan bagi pengangkutan yang menokok 13.9 peratus apabila dibandingkan dengan bulan yang sama pada 2007, kata jabatan itu.

Apabila dibandingkan dengan September tahun ini, Indeks Harga Pengguna merosot sebanyak 0.4 peratus, katanya.

Dibandingkan sekali lagi dengan September, makanan dan minuman tanpa alkohol meningkat 0.2 peratus tetapi item bukan makanan susut 0.7 peratus.

Bagi tempoh Januari - Oktober, katanya makanan dan minuman tanpa alkohol merekodkan peningkatan 8.5 peratus dan item bukan makanan naik 4.1 peratus. - Bernama

Anakanda Jebat: Inilah nasib yang perlu ditanggung oleh rakyat jelata. Nasib kamu le..

Senaman Yoga HARAM: Majlis Fatwa Kebangsaan

PUTRAJAYA: Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini mengharamkan umat Islam daripada melakukan senaman yoga secara sistematik kerana boleh memesongkan akidah.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata senaman yoga yang sistematik mengandungi tiga perkara iaitu amalan fizikal, unsur keagamaan, mentera dan pemujaan yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan umat Islam menjauhi dan menghentikan amalan itu kerana tujuan dan matlamat untuk mendapatkan ketenangan serta kemuncaknya konon memperoleh penyatuan diri dengan tuhan boleh merosakkan akidah muslim.

Harga Petrol RM1.60 seliter? - Utusan Meloya

PUTRAJAYA 21 Nov. - Rakyat dijangka menikmati harga petrol yang lebih rendah sehingga paras RM1.60 seliter, berbanding RM1.92 seliter sebelum kenaikannya jika kerajaan mempertimbangkan satu mekanisme pengapungan harga secara terurus berasaskan harga pasaran.

Ini berikutan buat pertama kalinya, harga runcit minyak di pam sekarang adalah lebih tinggi berbanding harga di pasaran ekoran penurunan mendadak harga minyak mentah dunia di bawah AS$50 setong.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, sekiranya terdapat mekanisme tertentu bagi menetapkan harga minyak, kadar yang sewajarnya adalah bergantung kepada harga pasaran.

Ini katanya, supaya harga runcit minyak dapat mencerminkan harga minyak mentah di pasaran dunia.

''Kalau ikut pasaran, sehingga 20 November lalu, harganya adalah RM1.60 seliter (tanpa subsidi) ketika harga purata minyak mentah di bawah AS$60 dolar setong.

''Buat kali pertama kita lihat harga runcit di pam lebih tinggi daripada harga pasaran, ini adalah satu keadaan yang baru," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet bagi kementeriannya di sini hari ini.

Sebelum ini, Shahrir dipetik sebagai berkata, kerajaan akan berbincang dengan Majlis Ekonomi Negara bagi memutuskan sama ada harga lantai untuk petrol perlu dilaksanakan dengan ketetapan RM1.92 atau diturunkan lebih rendah lagi.

Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan harga minyak petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.

Ia merupakan penurunan kali kelima harga bahan api itu selepas mengalami kenaikan tertinggi pada Jun lalu apabila kerajaan menaikkan harga runcit petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.

Menurut Shahrir, berdasarkan keadaan terbaru itu, Kabinet hari ini membincangkan mengenai mekanisme yang membolehkan kerajaan menentukan satu sistem pengapungan harga runcit minyak secara terurus.

Justeru katanya, keputusan mengenai mekanisme yang perlu digunakan akan dibincangkan pada mesyuarat Exco Majlis Ekonomi pada 1 Disember ini.

Beliau yang turut membayangkan akan terdapat keputusan untuk menurunkan harga minyak selepas mesyuarat itu menyatakan, mekanisme pengapungan harga itu akan digunakan secara berterusan dan bukannya bersifat sementara.

Ini katanya, termasuk jika harga minyak mentah di pasaran dunia melambung naik sekali gus memerlukan kerajaan menetapkan kadar subsidi yang perlu disediakan.

''Ia akan digunakan untuk sepanjang masa dan akan melibatkan fakta subsidi serta berpandukan pada harga purata di pasaran.

''Apabila sampai harganya yang begitu rendah dan tak perlu subsidi ia pun boleh dinikmati harganya oleh rakyat dan negara tetapi dalam keadaan itu mungkin ada pertimbangan bagi kerajaan untuk mengambil sebahagian daripada pendapatan," katanya.

Pada masa yang sama katanya, mekanisme penurunan harga minyak setiap dua minggu akan dikekalkan sekiranya terdapat penurunan harga minyak mentah di pasaran.

Jelas beliau, keperluan penetapan harga lantai juga akan dibincangkan pada mesyuarat majlis itu memandangkan trend penurunan harga minyak sekarang menyebabkan satu harga minimum sukar ditentukan.

''Kalau letak harga lantai pun kita tidak tahu kerana harga minyak mentah turun begitu cepat, kita tidak tahu apa yang menjadi harga lantai.

''Kalau katakan RM1.92 sen seliter dengan subsidi sekarang sudah menjadi RM1.60 seliter tanpa subsidi, itu persoalan yang perlu diambil kira dengan pengapungan," katanya. - Utusan Meloya

Anakanda Jebat: Pada firasat hamba sekiranya kita membuat pengiraan matematik, harga sebenar minyak lebih rendah dari RM1.60. Tak percaya cuba saudara tanya pakar. Sekarang pun gov sudah tidak menanggung subsidikan? Maknanya rakyat jelata yang menanggung bebannya. Bukankah begitu?

Perkasa Kerjasama Pakatan Rakyat, Ragui Obama

Presiden PAS tetap yakin dalam negara ini, pemimpin negara adalah dari kalangan orang Melayu dan Islam memandangkan mereka golongan majoriti. Maka realiti ini sudah disepakati semua.

Menyusur segala isu, tokoh karismatik PAS ini mahu PAS mengukuhkan kerjasama dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.
Pada masa yang sama kita mengambil sikap terbuka dengan pihak-pihak lain seperti NGO-NGO dan parti-parti di luar Pakatan Rakyat seperti Umno dalam perkara yang memberikan kebaikan kepada Islam, rakyat dan negara. Turut mempersoalkan bakal Perdana Menteri ke 6 dan beliau tidak yakin dengan Obama.

Ikuti interbiu eksklusif Pengarang Berita Harakah, TARMIZI MOHD JAM dan Wartawan, IRWAN MUHAMAD ZAIN bersama Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang di Pejabat Ketua Pembangkang, Parlimen Malaysia, 10 November lalu.

HARAKAH: Boleh kita mulakan Dato' Seri. bercakap tentang Retreat PAS Pusat yang baru diadakan Jumaat dan Sabtu lalu, di Langkawi. Apa tujuan dan objektif sebenar retreat sebigin diadakan?

DATO' SERI HJ ABDUL HADI: Retreat yang diadakan di Langkawi baru-baru ini bukanlah yang pertama diadakan pada tahun ini. Kita telah mengadakan beberapa kali dan saya rasa ini adalah yang kedua untuk tahun ini.

Yang pentingnya, retreat ini diadakan untuk mengemaskan lagi pentadbiran dan pengurusan parti selain kita mengkaji strategi yang lalu dan juga mengatur strategi yang akan datang.

Retreat ini menumpukan kepada tiga aspek yang dibincangkan dalam ucapan dasar yang saya bentangkan iaitu mengukuhkan parti kita sendiri yang semakin berkembang dan mendapat sambutan yang baik seperti yang kita lihat dalam pilihanraya umum yang lalu, di mana kita diamanahkan untuk mengetuai tiga buah negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak.

Ini merupakan satu amanah yang besar dan mesti dilaksanakan sebaik-baiknya. Kita meminta ketiga-tiga buah negeri yang kita terajui ini mengukuhkan kerjasama sebaik-baik mungkin berpandukan siasah syariah.

Kelantan kita memerintah sepenuhnya. Kedah dengan cara yang tersendiri dan Perak dengan cara tersendiri. Begitu juga Selangor dan Pulau Pinang. Dimana pelaksanaan siasah syariah perlu difahami oleh pemimpin-pemimpin di negeri-negeri yang saya sebutkan tadi. Kita melaksanakannya mengikut sejauh mana kekuasaan kita di negeri-negeri terbabit.

Kita juga bincang tentang strategi untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang. Kita membincangkan bagaimana caranya untuk kita mengekalkan kerusi-kerusi yang telah kita menangi. Negeri-negeri yang telah kita perintah.

Kita juga mengenal pasti dimana kelemahan kita setakat ini dan kita juga berbincang tentang strategi untuk menawan kerusi-kerusi yang tidak kita menang, tapi kita berpotensi untuk menang dalam pilihanraya akan datang.

Apa yang boleh dilakukan pada Kelantan, Kedah dan Perak, negeri-negeri yang PAS menang?

Bagi negeri-negeri yang kita menang, kita bincang untuk mengurus dan mentadbir dengan lebih baik serta kita juga berbincang untuk mendapat dan meningkatkan sokongan rakyat dinegeri-negeri tersebut selain kerusi yang kita mampu menangi.

Dalam hal ini, kita juga akan mengukuhkan kerjasama dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan dalam masa yang sama kita mengambil sikap terbuka dengan pihak-pihak lain seperti NGO-NGO dan juga parti-parti yang tidak berada dalam Pakatan Rakyat seperti Umno dalam perkara yang memberikan kebaikan kepada Islam, kepada rakyat dan kepada negara. Kita akan bersama jika menghadapi masalah dalam soal ini.

Hasil retreat ini, apa keputusannya?

Rumusannya seperti yang saya katakan tadi, saya minta Menteri-Menteri Besar di negeri-negeri Pakatan Rakyat ini mengadakan pertemuan dan PAS akan menyelaraskan pertemuan ini, Insya-Allah.

Yang kedua, Jabatan Pilihan raya PAS Pusat (JPPP) akan mengkaji dengan lebih teliti berdasarkan 'post mortem' pilihanraya yang lalu dengan kita melihat perkara-perkara yang positif yang perlu kita pertingkatkan lagi dan perkara-perkara yang negatif yang perlu kita baiki untuk mencapai kemenangan.

Yang ketiga, kita bersetuju untuk meningkatkan lagi Kelab Penyokong PAS kerana kita lihat dalam pilihan raya yang lalu sokongan dari masyarakat bukan Islam kepada calon PAS mencapai peningkatan dari segi undi.

Malah kita lihat peningkatan undi yang kita terima ini juga disebabkan oleh penerimaan masyarakat bukan Islam terhadap dasar-dasar yang diperjuangkan oleh PAS iaitu Islam.

Mereka ini memberikan sokongan kepada kita bila melihat kejayaan PAS memerintah Kelantan yang terbukti Islam tidak meminggirkan penganut agama lain.

Kita bersetuju untuk meningkatkan fungsi Kelab Penyokong PAS ini menjadi sebuah badan yang penting dalam parti bukan kerana jumlah undi yang kita terima tetapi kerana kita lihat mereka memainkan peranan yang penting dalam usaha mengukuhkan parti dan mendapatkan kepercayaan dari masyarakat bukan Islam.

Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada PAS Kedah khususnya PAS Langkawi yang banyak membantu menjayakan retreat baru-baru ini.

Apa yang mereka lakukan merupakan satu latihan pengurusan yang baik dan saya ucapkan terima kasih serta tahniah.

Macamana pula dengan keputusan yang sudah diputuskan oleh Majlis Syura tentang membuka keahlian kepada masyarakat bukan Islam?

Sehingga hari ini masyarakat bukan Islam sudah selesa menjadi ahli Kelab Penyokong PAS. Itu merupakan satu kemajuan di mana kita perlu kegiatan-kegiatan untuk memperkasakan Kelab Penyokong PAS tersebut.

Mutakhir ini, banyak isu-isu yang dikatakan berbau perkauman dicetuskan oleh pemimpin-pemimpin BN. Ia ditujukan kepada Umno khususnya dan menjurus kepada mempersoalkan isu sosial kontrak antara kaum. Apa sikap PAS dalam perkara ini?

Sikap PAS adalah jelas melalui kenyataan-kenyataan saya dan ucapan-ucapan saya iaitu ketuanan ini bukan hanya milik orang Melayu tetapi milik semua kaum.

Kalau kita bincang soal ketuanan, ia mestilah ketuanan semua kaum, tak kira Melayu, Cina dan India atau kaum-kaum lain kerana mereka ini juga rakyat negara ini. Jadi PAS lebih ke arah memperjuangkan ketuanan rakyat bukan ketuanan satu kaum sahaja.

Oleh kerana majoriti rakyat adalah Islam maka dalam soal ini PAS tetap dengan pendirian kepimpinan Islam. Tetapi bukan bermakna kita akan meminggirkan agama lain. Kita menghormati agama lain dan penganutnya cuma kepimpinan yang PAS perjuangkan adalah kepimpinan Islam kerana ianya sudah menjadi dasar kita.

Sebagaimana yang disebut oleh ulama-ulama fekah, yang membincangkan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang telah dihuraikan oleh Ibnu Khaldun yang dianggap bapa kepada ilmu sosiologi, yang menjadi rujukan kepada ilmu politik, ilmu ekonomi dan ilmu yang berkaitan dengan kemasyarakatan.

Beliau mengatakan di zaman awal Islam, kaum yang paling ramai menganut Islam adalah kaum Quraisy jadi pemimpin yang dipilih adalah dari kaum Quraisy.

Jadi bila sudah ada kaum lain yang menganut Islam dan kaum Arab pula semakin lemah, maka kaum lain pula dipilih menjadi pemimpin tetapi masih lagi penganut Islam.

Sebagai contohnya Sallehuddin Al-Ayubi daripada kaum lain. Ada juga pemimpin yang dipilih dari kalangan kaum yang menjadi hamba. Amerika baru sekarang melantik Obama yang datang dari bangsa yang menjadi hamba sedangkan Islam seribu tahun dulu sudah pun mengangkat golongan hamba menjadi pemimpin.

Maknakan Tuan Guru menegaskan orang yang layak untuk memimpin negara ini mesti dari kalangan Melayu beragama Islam... Begitu?

Ya. Begitulah dalam negara ini, kerana Islam dan Melayu merupakan yang majoriti maka pemimpin Islam dan Melayu yang diangkat menjadi pemimpin negara.

Perkara ini telah diterima oleh semua pihak, kita lihat MCA, MIC dan Gerakan pun menyokong pemimpin Umno yang beragama Islam dan berbangsa Melayu menjadi Perdana Menteri.

Cuma Umno meletakkan Islam di belakang tak seperti PAS yang meletakkan Islam menjadi keutamaan, di depan. Itu yang tak betul dengan Umno.

Islam diletakkan di belakang dan hanya memperjuangkan ketuanan Melayu sahaja sedangkan kalau kita bercakap tentang ketuanan mesti untuk semua kaum kerana mereka juga rakyat negara ini.

Jadi, kaum lain selain Melayu tak boleh memimpin negara ini? Itu dalam konteks sekarang. Bagaimana pada masa akan datang, masyarakat dan lanskap politik berubah?

Di Malaysia ini, kalau satu masa nanti orang Melayu sudah semakin kurang menguasai ilmu termasuk ilmu Islam dan kaum lain pula semakin ramai memeluk Islam dan menguasai semua bidang ilmu, maka tidak menjadi masalah lagi untuk diangkat kaum lain menjadi pemimpin dengan syarat mereka adalah Islam.

Jadi konsep ketuanan Melayu tidak selari dengan ketuanan Islam. Begitu?

Ya. Jelas sekali ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh Umno itu tidak serasi dengan ketuanan Islam.

Sebagai Parti Islam terbesar dan duduk bersama dalam Pakatan Rakyat, bagaimana apa yang dikatakan ketuanan Islam ini dapat membantu dan memandu Pakatan Rakyat membentuk sebuah kerajaan yang adil?

Ini dapat dilihat sendiri apabila rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat menerima PAS memimpin tiga buah negeri iaitu di Kelantan, Kedah dan Perak.

KeADILan di Selangor, DAP di Pulau Pinang. Yang uniknya adalah di Perak, biarpun DAP mempunyai 18 buah kerusi Dun, KeADILan tujuh kerusi dan PAS hanya enam buah kerusi sahaja tetapi rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat menerima pemimpin PAS untuk menerajui Kerajaan Negeri Perak dengan menjadi Menteri Besar.

Yang lebih menarik lagi ianya juga diterima oleh Raja-raja Melayu. Di sini kita melihat Tuanku Sultan lebih memahami konsep ketuanan Islam berbanding dengan pemimpin Umno.

Ini suatu keadaan yang sangat menarik. Bukan PAS mahu menonjolkan diri tetapi hakikat politiknya Raja-raja Melayu menerima Islam kerana tuanku sebagai ketua agama Islam telah memainkan peranan yang besar.

Tidakkah penglibatan Istana ini dengan politik, suatu yang dilarang?

Peranan yang besar ini perlu diteruskan biarpun Sultan atau Istana tidak boleh terlibat dalam politik tetapi mereka boleh campur dalam urusan politik.

Pemisahan politik dan agama merupakan ajaran barat bukan ajaran Islam. Kalau dalam ajaran Islam, politik dan agama tidak boleh dipisahkan dan ini lebih difahami oleh Raja-raja Melayu berbanding dengan pemimpin Umno itu sendiri.

Baru-baru ini, semua ahli parlimen Pakatan Rakyat mengambil keputusan untuk keluar dari dewan kerana memboikot Menteri Kewangan, Dato' Seri Najib Tun Razak kerana enggan memberi ruang penjelasan ketika beliau menggulung perbahasan bajet 2009. Bagaimana Dato' Seri melihat sikap tidak demokratik Najib itu sedangkan beliau bakal menjadi Perdana Menteri keenam Mac depan?

Saya rasa di situ ada yang tak kena dengan apa yang telah dilakukan. Sepatutnya peruntukan tambahan dibahas dalam ruang yang lain bukan dibahas dalam bajet yng telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan terdahulu iaitu Perdana Menteri.

Kalau ada penambahan ia ada peruntukan untuk membahaskan peruntukan tambahan bajet dalam sesi yang lain. Bila bahas tentang bajet ini jangan campur dengan peruntukan tambahan kerana ianya satu perkara yang berbeza.

Yang keduanya, saya difahamkan kerana saya tak dapat hadir disebabkan masalah kesihatan; Najib tidak memberikan ruang untuk dikemukan soalan penjelasan. Sepatutnya jika ada soalan penjelasan, beliau perlu memberikan ruang untuk soalan itu ditanyakan.

Beliau sepatutnya berani untuk memberi ruang kepada soalan penjelasan sepertimana yang telah dilakukan oleh Menteri Kewangan sebelum ini iaitu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan juga Tun Mahathir.

Sepatutnya Najib perlu berani dan mengambil contoh Abdullah dan Mahathir yang memberikan ruang kepada pemimpin pembangkang untuk bangun meminta penjelasan.

Apa sikap PAS terhadap "Belanjawan Tambahan" Najib itu?

Saya berpendapat, kerajaan BN telah menunjukkan kelemahan sendiri. Di masa mengalami krisis harga minyak, kerajaan menaikkan harga minyak dengan tergesa-gesa dan tinggi serta membuat bajet seolah-olah harga minyak akan terus naik.

Ini menunjukkan kerajaan BN tidak mempunyai pandang yang jauh, bukan hanya jauh, dekat pun tidak ada. Sepatutnya bajet yang dibentangkan mestilah fleksible yang boleh mengalami naik turun.

Tetapi ianya bajet yang jumud. Bila dunia mengalami krisis ekonomi, kerajaan BN menjadi gelabah dan tidak bersedia untuk menghadapi krisis ekonomi global ini.

Bagaimana Dato'Seri melihat "Belanjawan Alternatif" yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat mampu untuk memulihkan ekonomi negara masa kini?

Pada saya, kita mempunyai hak untuk memberikan pandangan kita sebagaimana pihak lain berhak untuk memberikan pandangan mereka.

Ini kerana kita merupakan sebuah negara demokrasi. Jadi kita mempunyai tanggungjawab kepada negara bukan hanya kerajaan tetapi juga pembangkang kerana sebarang kebaikan kita akan terima bersama dan sebarang keburukan kita akan tanggung bersama.

Dengan sebab itu kita berhak mengemukakan cadangan bajet ini dari sudut pandangan kita. Dan kerajaan sewajar mengambil kira cadangan yang dikemukan oleh pembangkang untuk memperbaiki bajet yang telah dibentangkan. Ini merupakan amalan demokrasi yang sebenarnya.

Sekalipun harga minyak sudah turun beberapa kali. Tetapi harga barangan keperluan masih cukup menyenakkan rakyat. Adakah ini bukti salah urus tadbir dan tidak peka kerajaan BN?

Memang ini salah urus tadbir. Ia merupakan satu pandangan yang amat singkat. Memang bukan mudah untuk menurunkan harga barang apabila harga minyak turun kerana semasa harga minyak naik, dengan sendiri harga barang akan naik kerana penjual-penjual ini membeli barangan mereka pada kadar harga ketika harga minyak yang sudah naik.

Bila harga minyak turun, barangan yang mereka beli ketika harga minyak tinggi tentunya masih ada dalam simpanan. Jadi bagaimana mereka hendak menurunkan harga?

Takkan kita nak paksa mereka turunkan harga dengan serta merta. Ianya juga merupakan satu bebanan kepada rakyat. Ini yang berlaku bila salah urus negara dan ekonomi kerana gelabah dan tidak mempunyai pandangan yang jauh.

Harapan yang tinggi diberikan oleh rakyat kepada pengganti Perdana Menteri. Namun umum melihat, soal wibawa dan integriti bakal Perdana Menteri ke 6 ini terus dipertikai. Apa komen Dato' Seri?

Syarat untuk menjadi pemimpin dalam Islam yang harus menjadi contoh semua pihak adalah seseorang itu bukan hanya seorang yang beriman tetapi seorang yang berakhlak, seorang yang mempunyai kewibawaan besar.

Oleh kerana itu, kitab-kitab politik Islam dan kitab-kitab hadis Islam membenarkan pendedahan terhadap ketokohan seseorang dan pendedahan tentang keburukan seseorang.

Ini dibenarkan dalam Islam supaya seorang pemimpin negara yang akan dipilih mesti diadakan pendedahan itu bagi memastikan beliau dapat memikul tanggungjawab dan amanah yang besar.

Kita dapati disesetengah negara barat, pendekatan ini dilaksanakan seperti di Amerika, seorang calon itu akan dihadapkan kepada kongres untuk mengetahui latar belakang pemimpin itu.

Oleh sebab itu saya rasa perlu seorang pemimpin itu dibuktikan bahawa mereka bersih dan mempunyai wibawa untuk memimpin negara.

Perkembangan selepas pilihanraya umum lalu, seolah-olah rakyat sudah mahukan perubahan kepada sistem dua parti seperti di Amerika dan Britain. Tetapi di negara ini, Umno seolah-olah mahu terus berkuasa dan Perdana Menteri pula mestilah dari Presiden Umno. Apa komen Dato' Seri dalam soal ini?

Saya tidak mahu campur urusan Umno. Tetapi Umno yang mengakui mereka berjuang untuk agama dan bangsa perlu melakukan apa yang saya sebutkan sebelum ini.

Umno hari ini semakin reput dari dalam. Dengan pelbagai masalah seperti amalan politik wang dan skandal pemimpin. Umno sudah memerintah dari dulu sampai sekarang.

Sepatutnya, sudah bertukar. Kita lihat di Amerika contohnya, pemerintah bertukar dari Repubulikan kepada Demokrat atau Demokrat kepada Republikan. Begitu juga di Britain, bertukar-tukar dari parti Buruh kepada Konservatif dan sebaliknya.

Jadi kita harap di Malaysia juga akan mengalami perubahan seperti ini.

Barrack Obama telah memenangi jawatan Presiden Amerika Syarikat yang ke 44. Apa harapan PAS dengan kemenangan tokoh kulit hitam ini?

Saya tidak mempunyai harapan yang tinggi kepada Obama biarpun saya kagum dengan amalan demokrasi di Amerika yang menyebabkan seorang pemimpin kulit hitam berjaya menduduki Rumah Putih.

Saya juga akui dari segi kempen yang dijalankan oleh Obama lebih berjaya menarik lebih ramai pengundi muda berbanding McCain. 67 peratus berjaya ditarik. Ini berdasarkan apa yang saya baca di internet.

Mereka mahukan perubahan. Dan Obama telah mengemukakan agenda masa depan. Bukan masa kini. Perubahan untuk menangani krisis ekonomi yang berlaku di Amerika.

Tetapi, dari segi pengurusan dasar luar dan kententeraan, Obama tidak mempunyai kuasa untuk membuat penentuan. Jadi saya tidak ada harapan yang tinggi Obama akan mampu membuat satu perubahan besar dalam hubungan dengan Asia Barat, menyelesaikan isu Palestin, Iran, Iraq dan Afghanistan.

Bahkan di sana ada kenyataan-kenyataan yang beliau mahu meraih undi Yahudi, Zionis untuk menang pilihan raya. Ini kerana budaya pilihan raya di Amerika mestilah menyokong Israel barulah seorang itu mendapat dokongan yang kuat.

Kalau kita lihat ketika kempen juga, Obama begitu terdesak untuk mendapatkan sokongan dari kalangan Yahudi untuk menang pilihanraya kerana budaya pilihanraya Amerika perlu mendapat sokongan Yahudi.

Maknanya harapan dunai Islam untuk melihat Obama memulih dan membetulkan pandangan jahat Barat terhadap islam sepertiu yang ditanamkan oleh Bush selepas peristiwa serangan WTC itu tidak akan berhasil.

Tak boleh berhasil. Ini kerana dia lebih menumpukan perhatian isu dalaman untuk pulihkan ekonomi dalam pilihan raya. Saya tidak yakin Obama mampu memulihkan keadaan di Palestin bahkan mungkin ianya akan menjadi lebih teruk.

Selepas menang jawatan Presiden Amerika yang ke 44, Obama telah melantik Pengarah Urusan White House dari kalangan yang begitu fanatik dengan Yahudi. Ayahnya bekas pengganas yang melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Di mana individu ini dari keturunan yang pernah melakukan keganasan terhadap mereka yang tidak sehaluan dengan Yahudi.

Jadi kesimpulannya, saya tidak menaruh harapan yang tinggi terhadap Obama dalam politik antarabangsa khususnya untuk memulihkan hubungan dengan negara-negara Islam.

Saya difahamkan, beliau bukanlah orang yang berpengalaman dengan dasar luar. Sedangkan kita berkait dengan antarabangsa. Dan kita bersedia untuk hadapi cabaran, mungkin lebih hebat.

Maksud Dato' Seri "mungkin lebih hebat tu macam mana"?

Saya bimbang, kita tidak boleh anggap satu uslub damai. Mungkin kita akan berdepan dengan uslub yang lebih keras di masa akan datang. - HarakahDaily.net

Tuesday, November 18, 2008

TOL: Diskaun 10% Pada 1 Januari 2009

KUALA LUMPUR: Mulai 1 Januari depan, pemandu pemandu kenderaan kelas 1 yang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) dan Elite antara jam 12 tengah malam hingga 7 pagi akan menikmati diskaun tol 10 peratus.

Menteri Kerja Raya, Datuk Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata langkah Plus dan Elite itu sejajar dengan hasrat kerajaan membantu merigankan beban pengguna dalam keadaan ekonomi sekarang.

Katanya, tempoh diskaun itu akan berakhir 31 Disember 2010.- Berita Harian

Anakanda Jebat: Hairan bin Ajaib. Pelik betul pemberian diskaun ni.

Negara Selamat Walau Tiada PM Dan TPM Dalam Negara: Najib

KUALA LUMPUR: Malaysia berada dalam keadaan selamat walaupun ketiadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas urusan ke luar negara.

Bercakap kepada pemberita di sini petang ini, Najib berkata beliau terpaksa menghadiri mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) ke-20 di Lima, Peru malam ini, manakala Abdullah kini sedang dalam rangka lawatan ke Uzbekistan.

"Biasanya salah seorang akan berada di dalam negara, tapi kali ini tidak dapat dielakkan. Namun, kami berdua akan sentiasa berkomunikasi," katanya.- Berita Harian

Anakanda Jebat: Selamat ke Malaysia? Dah kedua2 orang keluar negara, siapa yang nak memerintah negara? Macam mana kalau semua pendatang asing (warga Indon,Bangla,Vietnam dan sebagainya) memberontak? Jumlah mereka ini pun bukan sedikit, sudah mencecah berapa juta entah. Tak ke haru-biru dibuatnya. Hendak harapkan bapak polisi di Malaysia ni. Kes jenayah semakin meningkat ada lah. Puak2 UMNO pilih korang berdua adalah untuk mentadbir dan menjaga negara. Tahu2 hari ni korang berdua pergi melancong keluar negara. Kalau tak nak memerintah bagi saja dekat orang lain yang tahu memerintah.

Harga Minyak Dan Beras Sudah Turun

PUTRAJAYA: Harga runcit petrol dan diesel turun 15 sen seliter lagi berkuat kuasa hari ini, manakala harga siling beras Super Tempatan (ST) 5% dan 10% hancur dikurangkan antara 20 dan 30 sen sekilogram, mulai kelmarin.

Penurunan harga bahan api itu adalah yang KE-LIMA sejak Ogos lalu, manakala pengurangan harga siling beras pula yang PERTAMA dilakukan sejak harga barangan makanan berkenaan dikawal kerajaan Mei lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata harga petrol RON97 kini RM2/liter, RON92 pula RM1.90/liter, manakala diesel RM1.90/liter.

Dalam kenyataannya semalam, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan mengambil keputusan mengurangkan lagi harga runcit petrol dan diesel sejajar dengan penurunan harga minyak dunia yang berterusan.

Beliau berkata, kerajaan turut berharap peniaga mengambil langkah untuk terus mengurangkan harga barang supaya rakyat mendapat manfaat sepenuhnya berikutan penurunan terbaru harga bahan api itu.

"Kita juga berharap pengguna akan terus mengamalkan sikap berhemah dalam penggunaan petrol dan diesel walaupun harganya sudah menurun beberapa bulan lalu. Ini selaras dengan hasrat kita memastikan penggunaan tenaga yang efisien," katanya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed, dalam kenyataannya mengumumkan harga siling baru beras ST lima peratus diturunkan daripada RM2.80 kepada RM2.60 sekilogram, manakala ST 10 peratus hancur dikurangkan kepada RM2.40 sekilogram berbanding RM2.70 sekilogram sebelum ini.

(Kambing pun dah tak nak senyum kalau macam ni punya gaya)
Beliau berkata, penurunan harga itu diwartakan kelmarin dan berdasarkan pemantauan kementerian, pengusaha pasar raya sudah pun menurunkan harga beras berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, masih ada beberapa kedai runcit yang menjual beras itu pada harga lama.

Beliau memberi amaran tindakan tegas akan diambil mengikut Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) 1992 terhadap peruncit yang menjual beras berkenaan melebihi harga siling itu.

Harga beras ST5 dan ST10 mula dikawal pada Mei lalu berikutan kenaikan harga beras di pasaran dunia. Sebelum itu, kerajaan hanya mengawal harga beras ST15 sejak 1998.- Berita Harian

Anakanda Jebat: Duhai Rakyat Jelata! Cepat2 lah isi minyak kenderaan kalian penuh2 kerna esok lusa harga minyak di Malaysia belum tentu lagi turun...

Monday, November 17, 2008

Kerajaan Empat Negeri Digesa Contohi Negeri Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Hrkh) - Hujah bahawa "apa yang kami lakukan adalah mengikut peraturan" hendaklah dihentikan oleh para pemimpin dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) untuk mewajarkan tindakan mereka menggunakan penerbangan kelas pertama atau kelas perniagaan, menginap di hotel empat atau lima bintang dan mengadakan majlis-majlis di hotel mewah.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menegaskan perkara itu ketika mengalu-alukan keputusan mesyuarat exco kerajaan Pulau Pinang yang memutuskan bahawa semua pegawai tertinggi kerajaan, termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng, tidak boleh menggunakan penerbangan kelas pertama atau kelas perniagaan, menginap di hotel empat atau lima bintang dan mengadakan majlis-majlis di hotel mewah.

Keputusan itu dibuat sebagai salah satu langkah berjimat cermat.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu malah menggesa mesyuarat exco kerajaan Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor menyegerakan keputusan seperti yang dibuat oleh mesyuarat exco kerajaan Pulau Pinang itu.

"Jangan lagi gunakan hujah 'apa yang kami lakukan adalah mengikut peraturan' seolah-olah ia tidak boleh diubah. Hanya al-Quran dan undang-undang Allah s.w.t. sahaja yang tidak boleh diubah," katanya.

Baru-baru ini, katanya lagi, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa parti-parti lawan Barisan Nasional (BN) sedang memberikan 'preview' jenis pemerintahan yang akan didirikan.

"Kita bertanggungjawab memberikan 'preview' yang menyenangkan hati rakyat dan bukan 'preview' yang menyebabkan mereka meluat untuk melihatnya," Mahfuz mengingatkan.

Walaupun Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menunjukkan contoh yang baik dengan kehidupan sederhananya, kata beliau, ia tidak akan memberikan apa-apa makna jika tidak diikuti dengan bersungguh-sungguh oleh para pemimpin yang lain.

"Hakikatnya, menggunakan penerbangan kelas ekonomi tidaklah menjatuhkan martabat seseorang sama seperti tidak bertambah hebat martabat seseorang jika menggunakan kelas pertama atau kelas perniagaan.

"Lebih dari itu, tidak benar kononnya menggunakan kelas ekonomi memenatkan dan mengganggu kecergasan dan kecerdasan untuk berkerja.

"Jemaah haji ke Mekah menggunakan kelas ekonomi sehingga berjam-jam tidak pula penat dan boleh terus beribadat apabila sampai di Tanah Suci," katanya ketika menolak dakwaan sesetengah pihak untuki mewajarkan tindakan mereka menggunakan penerbangan kelas pertama atau kelas perniagaan.

April lalu, Mahfuz menggesa semua kerajaan PR yang memerintah lima negeri menubuhkan badan Hisbah "untuk memastikan ketelusan yang disandarkan kepada sistem yang dipercayai".

"Bukan pengisytiharan harta Exco-exco sahaja yang boleh meningkatkan keyakinan umum terhadap kerajaan-kerajaan tersebut, tetapi yang lebih penting lagi ialah kepada siapa harta diisytiharkan dan adakah perisytiharan itu disiasat oleh badan yang bebas," kata beliau.

Beliau berharap badan tersebut yang dipanggil ombudsman oleh umum akan ditubuhkan dengan segera oleh kelima-lima kerajaan negeri yang berkaitan.

"Kita tidak mempersoalkan kejujuran sesiapa. Tetapi hukum alam seolah-olah menetapkan kejujuran sahaja tanpa sistem yang memelihara kejujuran itu boleh menyebabkan individu-individu yang jujur juga terperangkap dengan situasi yang mereka hadapi," jelas beliau.

Sebab itulah, satu sistem yang memelihara dan memastikan kejujuran individu yang berkaitan mesti diwujudkan melalui badan hisbah tersebut.

"Dengan adanya badan hisbah, Menteri Besar, Exco-Exco dan pegawai-pegawai kerajaan boleh mengisytiharkan harta mereka kepada badan itu.

"Bukan setakat isytihar sahaja, tetapi boleh disiasat jika badan itu berpendapat ada keraguan yang mesti dijelaskan dan seterusnya mengambil tindakan susulan," kata Mahfuz. -Abdul Aziz Mustafa

www.harakahdaily.net

Rencana Khas Sempena 18 Tahun Nik Abdul Aziz Jadi MB

Bahagian 1: Sejarah dan Kehebatan Seorang Agamawan

OKTOBER lepas genap 18 tahun Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 77 menjadi Menteri Besar Kelantan. Usianya ketika beliau mengangkat sumpah sebagai MB 59 tahun. Beliau dilantik menjadi MB Kelantan pada 21 Oktober apabila PAS berjaya menumbangkan kerajaan BN pimpinan Muhammad Yaacob pada pilihan raya umum ke - 10. PAS yang bergabung dengan Parti Melayu Semangat 46, Hamim dan Berjasa membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) menyapu bersih kesemua 39 kerusi DUN dan 13 Parlimen.

Kedudukan kerusi mengikut parti ialah, kerusi DUN, PAS 24, Parti Melayu Semangat 46 13, masing-masing satu Hamim dan satu Berjasa. Manakala untuk kerusi Parlimen, PAS, 6 kerusi dan Semangat 46, 7 kerusi.

Perlantikan itu sesuai dengan kedudukannya sebagai Pesuruhjaya Pas negeri Kelantan. Nik Abdul Aziz mengambil alih jawatan itu pada tahun 1978 daripada Allahyarham Datuk Mohd Asri Muda yang melepaskan jawatan berkenaan dalam keadaan terdesak. Beliau menguasai parti sepenuhnya pada tahun 1982. Dengan kedudukan itu beliau mengemudikan PAS Kelantan.

Perlantikan Nik Aziz itu melakar sejarah buat dirinya sendiri, kepada PAS dan rakyat negeri Kelantan seluruhnya kerana beliaulah satu-satunya Menteri Besar yang berlatar belakangkan pendidikan agama bergelar ustaz. Beliau mendapat pendidikan peringkat tertinggi di Darul Ulum Deobond India dan Azhar Mesir dengan memperolehi ijazah dan master dalam bidang Bahasa Arab dan Perundangan Islam.

Perlantikan Nik Aziz itu merupakan Menteri Besar Kelantan yang ke-7 dan yang pertama dari kalangan agamawan atau berpendidikan agama yang mampan. Menteri Besar Kelantan pertama ialah Tengku Hamzah Zainal Abidin, (1947- 1953) kedua, Nik Ahmad Kamil, (1953- 1958), kedua mereka merupakan Menteri Besar sebelum Merdeka dan dari Perikatan.

Menteri Besar ketiga ialah Ishak Lotfi Omar (1959 – 1964), keempat, Mohd Asri Muda (1964 – 1974), kelima, Muhammad Nasir (1974 – 1978), manakala keenam Muhammad Yaacob (1978 – 1990). Keenam-enam MB ini berlatar belakangkan sekular dan tidak bergelar ustaz.

Jika dibandingkan dari segi jangkamasa (tempoh) ternyata Nik Abdul Aziz mengatasi ke semua bekas MB itu. Keenam MB tersebut berkhidmat tidak sampai tiga penggal atau mencecah lebih sepuluh tahun. Mungkin rekod yang dimiliki Nik Abdul Aziz kini sukar untuk dipecahkan oleh sesiapa saja menjadi MB Kelantan selepas ini.

Perkhidmatan Nik Abdul Aziz kini sudah memasuki tahun ke 19 dan jika beliau berhajat untuk meneruskan perkhidmatannya sehingga pilihan raya akan datang beliau mungkin akan menyamai rekod perkhidmatan Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.

Sekiranya beliau akan mengundur diri menjelang pilihan raya ke -13 yang dijangka pada 2011 atau 2012 bermakna beliau akan menjadi MB selama lebih tiga dekad dan akan menjadi MB kedua yang lama berkhidmat selepas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang kini sudah berkhidmat selama 27 tahun.

Dalam pada itu kemunculan Nik Abdul Aziz menjadi MB ia juga secara tidak langsung memartabatkan golongan agamawan dan ulama. Kapasiti beliau sebagai ustaz yang kemudian dinobatkan dengan panggilan “tok guru” menjawat jawatan itu secara tidak langsung menaikan martabat dan darjat golongan agama di mata masyarakat.

Apa lagi kejayaan dan keberkesanan kepimpinan dan pentadbirannya membuktikan bahawa golongan agama – berpendidikan Islam, berbudaya jubah dan serban juga mampu mentadbir dengan baik. Sesungguhnya golongan agamawan tumpang merasa bangga atas kejayaan dicapai Nik Abdul Aziz.

Justeru kedudukan ataupun pandangan seorang kepada golongan ulama sebelum ini sudah berubah. Dengan kejayaan dan sejarah dicatat Nik Abdul Aziz, ulama sudah dilihat sebagai golongan yang mampu untuk menjadi pemimpin ataupun duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan golongan sekular dan profesional duniawi yang memonopoli jawatan dalam politik.

Tanpa disedari kedudukan dan kejayaan Nik Abdul Aziz juga telah menyuntik semangat kepada golongan Islam tradisional untuk menjadi lebih yakinkan diri sendiri dan bersaing sama dengan golongan sekular yang sering mengakui mereka lebih layak dan pakar mentadbir.

Dalam konteks ini kejayaan Nik Abdul Aziz itu bolehlah dianggap MB itu adalah tokoh pencerahan semula era ulama dan Islam yang sekaligus merungkaikan ikatan rasa rendah diri dan inferiority compleex dari kalangan lulusan agama.

Rahsia Kejayaan Dan Keutuhan Pengaruh.

Kejayaan dan ketahanan Nik Abdul Aziz menduduki kerusi itu tanpa pergolakan ialah hasil gabungan dua unsur; personalitinya dan polisi dan dasar Islam yang dibawanya. Nik Abdul Aziz tidak hipokrit dengan Islam dan tegas serta mengemukakan pendekatan Islam dengan mudah (bukan paksaan) yang dicerminkan menerusi akhlaknya sendiri. Beliau seorang hamba yang muslim dan pratikal, pemimpin yang mutaqim.

Kehidupannya yang zuhud, bersifat tawaduk, merendah diri dan tidak bertukar bulu selepas menjawat jawatan MB, menyebabkan rakyat teruja dan terpesona serta melihat beliaulah pemimpin yang memimpin dengan akhlak dan bukan dengan slogan. Yang bersedia mengkesampingkan kepentingan diri dan taqwa kepada Allah.

Ini sesuai dengan fitrah Islam dan juga apa yang ditunjuki oleh Junjungan Agung Nabi Muhammad s.a.w. yang menawan dan menakluki musuh dengan akhlak dan bukan harta benda, kehebatan, kuasa dan keegoaan dengan duniawinya.
Sebaik beliau menjadi MB beliau terus memperkenalkan beberapa polisi dan pendekatan baru ala beliau – stail Nik Abdul Aziz. Beliau merubah secara perlahan-lahan sehingga mereka yang tidak fokus kepada pentadbirannya tidak akan merasai perubahan demi perubahan yang dilakukan oleh beliau secara evolusi yang mengesankan.

Perubahan itu bermula dari bawah; dari perkara sekecil-kecilnya seperti amalan tidak membazir eletrik dengan menutup suiz lampu sewaktu rihat sehinggalah kepada melarang pemberian hadiah atau cenderamata dan seterusnya kepada penghapusan judi dan maksiat dan pemansuhan pemberian kawasan balak secara tertutup.

Dalam menerapkan stail pemerintahannya, Nik Abdul Aziz seorang yang bijak dan bangkit (responsif) kepada suasana semasa. Tindakannya juga halus dan bersahaja menyebabkan masyarakat tidak ditimpa satu kejutan budaya yang dibawa itu kandatipun sesetengahnya agak baru dan kontras dengan nilai semasa. Ini berlaku kerana sebelum beliau menerapkan sesuatu pendekatan baru kepada diri orang lain, baik rakan politik atau kerajaan beliau terlebih dahulu mengamalkannya untuk menjadi teladan kepada umum.

Mengingati kepada tindakan atau kaedah Nik Abdul Aziz ini samalah dengan apa yang diperlakukan oleh Rasulullah s.a.w. sewaktu baginda ingin menyuruh para sahabat mencukur rambut sebagai meraikan kejayaan termaterainya perjanjian Hudaibiyah. Rasulullah tidak menyuruh sahabat berbuat demikian sebaliknya beliau terlebih dahulu membotakkan kepalanya sehingga ianya kemudian diikuti oleh semua sahabat.

Antara perubahan awal yang dilakukan Nik Abdul Aziz pada tahun-tahun awal beliau menjadi MB ialah;

i. Tidak menerima sebarang pemberian hadiah atau cenderamata sewaktu mengadakan lawatan. ii. Tidak membeli kereta rasmi yang baru dan terus gunakan yang telah sedia ada.
iii .Memotong elaun MB sebanyan 45 peratus iaitu 40 peratus untuk kerajaan dan 5 peratus untuk parti.iv. Menghapuskan elaun berbuka puasa sebanyak RM15,000 setahun.
v. Menghapuskan elaun hari raya sebanyak RM30,000.
vi. Menjimatkan elaun keraian kedua timbalan MB sebanyak RM18,000.

Manakala mengenai polisi dan dasar kerajaan untuk menjamin keadaan sosial yang harmoni dan menepati kehendak agama tindakan hapuskan judi dan maksiat dilakukan dengan segera. Sebulan selepas menjadi MB, beliau mengumumkan bahawa perjudian toto, loteri dan nombor ekor dan apa juga bentuk perjudian dan maksiat diharam.

Selain itu beliau juga merombak tradisi sebelum ini dengan melantik bukan Islam / Melayu dalam PBT dan mengundang bukan Islam menghadiri majlis anjuran kerajaan atau parti. Cara ini adalah dakwah secara tidak langsung kepada bukan Islam untuk melihat keindahan, keadilan dan kesyumulan Islam.

Tindakan ini kecil dan bukan memerlukan proposal yang berjela-jela namun ia memberi impak besar dan menyebabkan orang melihat perubahan besar dalam pentadbiran. Dengan pendekatan itu juga menyebabkan masyarakat Kelantan dan diluar mengenali diri dan akhlak Nik Abdul Aziz. Pemotongan elaun keraian, hari raya, pengharaman judi, maksiat, arak dan sebagainya tidak dibuat oleh mana-mana MB tetapi dilakukan oleh beliau.

Sudah pasti dengan teladan itu menyebabkan ia memberi kesedaran atau menjadikan orang lain malu untuk berlebih-lebih dalam soal itu. Hasil dari tindakan itu hasratnya untuk membawa kebaikan kepada rakyat ternyata tercapai. Jika diperhatikan tindakan beliau berhikmah dan mempunyai mesej agar ia menjadi ikutan orang lain.

Adilnya Nik Abdul Aziz sebelum beliau melakukan perubahan ke atas diri orang lain beliau terlebih dahulu mengubah dirinya sendiri. Perubahan di luar dilakukan ke atas pemimpin Pas atau wakil rakyat kemudaian kepada kakitangan Kerajaan yang seterusnya akan terlaksanakan dalam komuniti.

Tarbiayah ke dalaman diusahakan. Pembentukan modal insan ataupun pembangunan insan telah lama diterapkan beliau malahan menjadi keutamaanya. Seperti mengadakan tazkirah di pejabat, majlis tadarus Quran di jabatan-jabatan atau agensi kerajaan, progam Ihya Ramadhan, sembahyang Terawih di lapangan terbuka dan sebagainya adalah program membersih dan menyucikan jiwa.

Nik Abdul Aziz seorang yang berkeyakinan kepada falsafah kebersihan perbuatan seseorang itu bermula dari jiwa yang bersih.

Dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan dan hubungan beliau sebagai pemimpin politik dan selaku MB dengan rakyat beliau senantiasa turun ke bawah. Lawatan demi lawatan bukan saja dalam waktu rasmi pejabat tetapi di luar pejabat. Jika dihitung waktu beliau berada di luar rumah (berjuang) lebih banyak daripada waktu di rumah. Hakikat ini jelas apabila setiap kali beliau keuzuran, demam, sakit dan sebagainya beliau merungut atau terkilan kerana tidak dapat memenuhi tanggungjawabnya sebagai seorang hamba.

Sikap ini menjelaskan beliau seorang yang konsisten kepada tugas dan tanggungjawabnya. Beliau juga jarang sekali mengambil cuti untuk berihat dan menggunakan peruntukan untuk melancung ke luar negeri. Kalau pun beliau mengambil cuti hanya untuk menunaikan umrah.

Beliau seorang juga tidak suka kepada protokol. Tidak ada protokol untuk menemuinya melainkan protokol itu ditetapkan oleh para pegawainya atas tujuan tertentu atau sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Kerana itu pintu pejabatnya terbuka seperti mana terbukanya pintu rumahnya. Dan pintu rumahnya pula terbuka seperti mana terbukanya pintu suraunya yang berdepetan (berhampiran) dengan rumahnya. Datanglah pada bila-bila masa beliau akan memberi ruang dan kesempatan menemui sesiapa saja atas apa juga tujuan. Ada kalanya mereka yang ke pejabat bukan saja untuk urusan kerajaan dan parti tetapi urusan peribadi seperti untuk mengambil air tawar (air doa) daripadanya.

Itulah antara rahsia ataupun fatwa mengapa beliau disenangi, pengaruhnya terus hijau melebar dan sekaligus dapat bertahan sehingga kini sebagai MB Kelantan.

www.msomelayu.blogspot.com

Thursday, November 6, 2008

Ahli Parlimen Islam Bersatu - Utusan Meloya

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Ahli- ahli Parlimen beragama Islam daripada Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang telah mencapai persetujuan untuk memastikan keluhuran dan kedudukan agama Islam di negara ini terus terpelihara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pertemuan itu diadakan pada 13 Oktober lalu di Parlimen dan empat perkara dipersetujui bagi memastikan kedudukan Islam tidak tergugat.

Menurutnya, walaupun beberapa langkah itu hanya boleh dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan, tetapi Ahli Parlimen Islam daripada pihak pembangkang telah bersetuju agar ia diteruskan.

Kata beliau, pertemuan itu diatur atas dasar Islam.

"Langkah pertama yang dicapai semua Ahli-Ahli Parlimen Islam tanpa mengira parti boleh memberikan pandangan atau cadangan bagi meminda serta menambah mana-mana perkara berkaitan Rang Undang-undang Islam yang akan dibentang di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

"Ia bagi dikemaskinikan mengikut pandangan-pandangan yang berasaskan kaedah-kaedah Islam," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar dan Mahasiswa di sini hari ini.

Ahmad Zahid memberitahu, rang undang-undang baru itu kini berada di pihak Jabatan Peguam Negara.

Katanya, perkara kedua yang dipersetujui ialah penubuhan sebuah institusi fatwa yang dikenali sebagai Darul Iftaq.

"Semua perintah Majlis Raja- Raja, aduan orang awam dan kajian-kajian yang dibuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan di salurkan kepada Darul Iftaq untuk mencari hukum-hukum terdahulu atau kini yang difatwakan di negara Islam lain untuk diguna pakai di Malaysia," katanya.

Jelas beliau, semua pihak yang terbabit dalam pertemuan itu telah bersetuju agar Darul Iftaq diletakkan di bawah Jakim.

Kata Ahmad Zahid, langkah ketiga yang dipersetujui adalah untuk Ahli-ahli Parlimen Islam tanpa mengira parti yang diwakili untuk mengadakan aktiviti berkaitan keagamaan secara bersama.

Langkah terakhir pula, katanya, adalah agar bulan dakwah yang pernah dibuat satu masa dahulu diwujudkan semula.

"Bulan dakwah akan diadakan pada setiap bulan Januari dan Februari di semua negeri termasuk yang diperintah oleh pembangkang," katanya.

Menurut Ahmad Zahid, satu lagi perkara yang turut dipersetujui adalah mengadakan bersama Kongres Ekonomi Islam pada 24 hingga 26 Disember depan.

"Beberapa resolusi yang dicapai dalam kongres itu akan dijadikan dasar dalam sistem ekonomi Islam,'' katanya.

Anakanda Jebat: Begitulah ragam manusia "Bila Dah Terhantuk Baru Nak Tergadah! Selama ini UMNO fikir ke soal Ugama Islam nih. Takde pun. Masalah murtad, remaja rosak akhlak dan pelbagai lagi masalah masih belum selesai sehingga kini. Pada hal siapa yang memerintah dan mentadbir negara? Non-Muslim ker yang memerintah negara? Pimpinan PAS sentiasa meberi buah fikiran untuk menyelesaikan masalah ini. Tetapi pimpinan UMNO hanya memekakkan telinga sahaja. Hamba berharap pimpinan PAS jangan tertipu dengan mainan politik UMNO.

Henti Guris Perasaan Orang Melayu - Utusan Meloya

KUALA KANGSAR 5 Nov. – Sultan Perak, Sultan Azlan Shah meminta rakyat supaya berfikiran rasional dan segera menghentikan tindakan-tindakan bersifat politik secara berlebihan dan keterlaluan yang mengguris hati dan emosi orang Melayu.

Bertitah semasa menerima memorandum daripada Gabungan Melayu Perak (GMP) di Istana Iskandariah di sini hari ini, baginda menegaskan, apa yang penting pada masa ini ialah menjaga kepentingan rakyat yang telah memilih kerajaan.

Titah baginda, ini bermakna, keamanan dan kerukunan warga tidak harus dikorbankan hanya kerana perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.

‘‘Hari ini, jika berlaku kesilapan dan kepincangan di peringkat pelaksanaan dasar tertentu, yang perlu diperbetulkan adalah mekanisme pelaksanaan.

‘‘Oleh itu, dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali.

‘‘Perbuatan demikian jika tidak dihentikan dibimbangi akan mengguris hati dan emosi orang-orang Melayu,” titah baginda.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, Raja DiHilir Perak; Raja Jaafar Raja Muda Musa serta ahli-ahli Dewan Negara Perak.

Memorandum itu disampaikan oleh Presiden Gabungan Melayu Perak, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail.

Kira-kira 2,000 wakil pertubuhan bukan kerajaan, ahli persatuan silat dan persatuan dari seluruh Perak dan Kuala Lumpur menyertai perarakan aman yang bermula dari Masjid Ubudiah ke Istana Iskandariah di sini bagi menyerahkan memorandum itu.

Memorandum berkenaan mengandungi hasrat dan perasaan orang Melayu yang menjunjung kasih kenyataan khas Majlis Raja-Raja ke-215 pada 16 Oktober lalu.

Sultan Azlan bertitah, kebimbangan orang Melayu dijawab melalui jaminan perundangan dengan memaktubkannya ke dalam Perlembagaan Merdeka (Perlembagaan Persekutuan).

Titah baginda, ia termasuk klausa- klausa tertentu menyentuh agama Islam, Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Baginda menjelaskan, sebarang pindaan Perlembagaan menyentuh raja- raja serta bidang kuasa raja merangkumi agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak perlu mendapat perkenan raja-raja.

Dalam hubungan ini titah baginda, institusi raja berupaya memberikan keyakinan psikologi untuk melindungi kepentingan bangsa di samping memberikan keadilan kepada warga keseluruhannya.

‘‘Institusi raja berperanan sebagai lambang penyatuan dalam kepelbagaian. Raja-raja memahami bahawa perlembagaan merdeka juga memberi pengiktirafan dan perlindungan kepada warga pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya.

‘‘Persefahaman dan persetujuan yang telah termaktub dalam kontrak sosial berkenaan telah membolehkan negara mencapai kejayaan, kemajuan, keharmonian dan kestabilan.

‘‘Negara yang aman dan warga hidup secara rukun dalam dimensi sosiopolitik yang mengiktiraf fakta dan hakikat sejarah,” titah baginda.

Sultan Perak bertitah, orang Melayu bimbang akan pencapaian taraf sosioekonomi mereka yang jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain.

Titah baginda, untuk itu orang Melayu memerlukan jaminan dan pembelaan demi memastikan kedudukan mereka sebagai pribumi tidak terancam.

‘‘Persekutuan Tanah Melayu masih wujud dalam undang-undang kita atau dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu dan nasionalisme Melayu yang hidup subur dalam kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu.

‘‘Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia,” tegas baginda.

Pengerusi PAC Perjelas Siasatan Eurocopter

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Azmi Khalid menolak dakwaan pembangkang kononnya jawatankuasa itu tidak menjalankan siasatan terperinci berhubung pembelian 12 helikopter Eurocopter EC275 bernilai RM1.6 bilion.

Dalam penjelasannya di Dewan Rakyat hari ini, beliau turut menjelaskan bahawa laporan siasatan PAC mengenai pembelian helikopter itu belum dikemukakan kepada anggota dewan kerana ia belum ditaip sepenuhnya oleh pihak urus setia Parlimen.

“Jadi bukan tujuan kita tidak mahu mengemukakan laporan tetapi akan dikemukakan secepat mungkin kerana memerlukan masa untuk menaip dan sebagainya,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Azmi yang juga Anggota Parlimen Padang Besar daripada Barisan Nasional (BN) berkata demikian sebagai menjawab isu yang dibangkitkan oleh Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2009 kononnya PAC tidak menjalankan siasatan secara terperinci dalam pembelian helikopter itu dan mempersoalkan mengapa PAC belum mengemukakan laporan mengenai pembeliannya kepada Dewan Rakyat.

Azmi berkata PAC tidak sepatutnya berdebat dengan anggota pembangkang kerana jawatankuasa itu hanya menjalankan siasatan mengikut prosedur dan melihat sekiranya terdapat sebarang kelemahan dalam pembelian helikopter itu.

"Saya tidak mahu berdebat dengan Ipoh Timur (Lim) bahawa kami tidak menjalankan tugas dengan sebaik mungkin.

"Kami bukan berdiri di sini untuk menegakkan bagi pihak kerajaan tapi bagi memihak kepada PAC kerana nama PAC sudah dicemarkan oleh Ipoh Timur,” katanya.

Beliau berkata PAC telah membuat keputusan untuk menyiasat pembelian Eurocopter seminggu sebelum Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan supaya PAC melihat isu berkenaan dan ia bukan diarah oleh Kabinet.

Isnin lalu, PAC, yang turut mempunyai wakil pembangkang, memutuskan bahawa tiada penyelewengan daripada segi prosedur dalam pembelian 12 helikopter Eurocopter itu.

Azmi berkata berdasarkan kepada tinjauan selama dua minggu di peringkat teknikal dan kewangan, didapati prosedur pembelian memang mengikut tatacara yang ditentukan dan yang diguna pakai di peringkat antarabangsa. - Bernama

Anakanda Jebat: Boleh percaya ke kata2 kamu ini Duhai Bapak Menteri? Hamba takut kalau2 kamu ada terima habuan sedikit. Ingat2! Manusia tidak hidup kekal abadi. Setiap perbuatan akan menerima pembalasannya...

Obama Diharap Bawa Suasana Baru Politik Dunia - Mursyidul Am PAS

KOTA BHARU, 5 Nov (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kemenangan Barack Obama dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat merupakan satu perkembangan baru politik dunia.

Beliau berkata, perkembangan itu membuktikan rakyat Amerika menolak cara agresif George W Bush yang sebelum ini menindas dengan rakus negara-negara umat Islam.

"Apa yang diharapkan semoga Obama membawa harapan baru rakyat di seluruh dunia, sesuai dengan imejnya yang merupakan orang kulit hitam pertama yang bakal menjadi Presiden Amerika," ujarnya sebagai reaksi pertama ekoran kemenangan Obama yang kini menghampiri White House.

Beliau memberitahu demikian ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Di Washington hari ini Senator Barack Obama berjanji kepada rakyat Amerika Syarikat akan membawa negara itu ke era baru yang diharapkan semua pihak.

Beliau mencipta sejarah sebagai pemimpin pertama daripada masyarakat kulit hitam untuk mengetuai White House setelah ditunggu dalam tempoh begitu lama

"Pilihan raya itu merupakan satu detik yang bermakna ke arah perubahan Amerika," kata Obama ketika berucap di hadapan kira-kira 240,000 penyokongnya di Chicago hari ini.

Manakala lawannya Mc Cain mengaku kalah dalam pemilihan tersebut.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang Menteri Besar Kelantan berkata, sebelum ini Amerika telah meninggalkan kesan yang buruk kepada masyarakat dunia ekoran tindakan agresif yang akan diteruskan McCain dari Parti Republikan.

"Bush sebelum ini 'minum' darah dengan melancar peperangan di Afghanistan, Iraq, Palestin dengan menggunakan kuasa tenteranya," ujar beliau.

Beliau juga mencadangkan Obama menolak fahaman membezakan warna kulit seseorang, sebaliknya dilayan dengan sama rata.

Beliau berkata, semua bangsa di dunia ini sama ada mereka berkulit putih atau hitam sama di sisi Allah, dan apa yang membezakan antara mereka ialah ketaqwaan terhadapNya.

"Sekarang rakyat Amerika dapat menerima seorang pemimpin kulit hitam dan diharap selepas itu serangan terhadap umat Islam juga berakhir tidak sebagaimana dilakukan Bush," ujarnya.

Beliau juga berharap perubahan ke arah itu benar-benar berlaku dan tidak menjadikan Islam sebagai musuh .

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa turut mengucapkan tahniah kepada Obama yang kini mendahului kemenangan dalam pilihan raya Amerika Syarikat.

Menurutnya, kemenangan Obama membuktikan rakyat Amerika sendiri menolak pemimpin yang angkuh serta tidak menerima pandangan rakyat sendirinya.

Katanya, sebelum ini Bush begitu angkuh dan mengenepikan pandangan orang lain terutamanya pemimpin di kalangan negara umat Islam.

"Jadi kita berharap Obama tidak meneruskan gaya berkenaan, sebaliknya lebih bersikap tolak ansur dan berperikemanusiaan," ujarnya. - Salmah Mat Husain

Kemenangan Obama, Moga Hubungan AS Dan Negara Islam Diperbaiki

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Hrkh) - Calon pilihan daripada Parti Demokrat, Barack Obama menewaskan lawannya John McCain daripada Parti Republikan, dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung sejak semalam, demikian menurut laporan awal agensi berita AFP hari ini.

Pengerusi Pengarah Pusat Reformasi Sistem Pilihan Raya (CERI), Dr Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif semasa mengulas kemenangan Obama berkata, petanda kemenangannya dapat dilihat daripada kemenangan awal yang dicapai di dua buah kampung iaitu New Hampshire yang majoritinya adalah penduduk berkulit putih.

"Melihat kepada pengalaman pilihan raya yang lalu, ketika mana George W. Bush turut memperolehi undi majoriti daripada kedua-dua kampung tersebut yang dikatakan menjadi penanda aras awal kemenangan mana-mana calon presiden AS," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Pada kebiasaanya, masalah teknikal yang melanda sistem pengundian secara online atau e-voting tidak akan merosakkan sokongan dan kepercayaan calon dan pengundi dalam pilihan raya kali ini.

"Sebelum ini pun ianya berlaku, namun ia tidak menjejaskan keseluruhan pengundian.

"Undi rosak juga merupakan hanya 10 peratus yang disebabkan oleh masalah teknikal dan ia bukannya segalanya," ujarnya mengulas kemungkinan 100 peratus rakyat keluar membuang undi pada pilihan raya yang dianggap bersejarah ini.

Ditanya mengenai sokongan yang diberikan oleh Obama kepada Yahudi dan Israel, beliau menyatakannya adalah sebagai amalan biasa bagi seorang Presiden AS bagi mendapatkan kemenangan.

"Ini disebabkan oleh pihak Yahudi dan Israel mengawal ekonomi dan monopoli aset negara tersebut.

"Ia bukan suatu perkara baru dan ianya perlu dilakukan oleh seseorang yang hendak menjadi Presiden AS," katanya lagi.

Menurutnya, Obama dikatakan mengamalkan sikap yang lebih lembut terhadap negara-negara Islam apabila berjanji akan menarik balik tentera AS daripada Iraq dalam satu manifestonya.

"Beliau telah berjanji akan memanggil tentera AS yang bertugas di Iraq selepas 14 bulan kemenangannya," ujarnya.

Apapun katanya, beliau mengharapkan kemenangan Obama akan memberikan harapan kepada negara Islam dalam memperbaiki hubungan dengan negara tersebut.

"Obama perlu membuktikan sikap anti-perangnya kepada dunia terutamanya dunia Islam," tegasnya.

Obama merupakan presiden AS pertama yang berkulit hitam berjaya memecahkan tradisi budaya perlantikan Presiden negara tersebut yang sebelum ini hanya memberikan laluan kepada calon berkulit putih.

Ianya dilihat sebagai satu perubahan dari segi radikal dan baru apabila rakyat negara tersebut yang berjumlah kira-kira 130 juta orang menerima kehadiran rakyat berkulit hitam atau 'non-white' (coloured). - intan@harakah.net.my

Monday, November 3, 2008

Api Perkauman Bawa Negara Ke Ambang Bahaya

Apabila MCA, Gerakan dan lain-lain komponen Barisan Nasional menggasak Umno dalam isu perkauman sempit Melayu-Cina, Pakatan Rakyat tidak seharusnya terheret sama.

MCA dan Gerakan yang menuduh Umno parti pembuli, pemimpin Umno 'racist' - perkauman, pemimpin Umno harus 'diISAkan' kerana mencetuskan perkara-perkara sensitif khususnya dilihat boleh membawa kepada ketegangan kaum.

Pakatan Rakyat juga tidak seharusnya terperangkap dengan permainan kotor BN apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamed Nazri Aziz mendakwa pembangkang mahu menghapuskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan kepentingan dan hak orang Melayu.

Kenyataan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim sering diputarbelitkan oleh media massa. Beliau didakwa mahu menggadaikan prinsip Islam dan kepentingan Melayu jika berkuasa nanti.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga dibalas dengan pelbagai kecaman, kononnya DAP mendesak hak istimewa Melayu dihapuskan.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, suatu ketika dahulu (ketika masih Timbalan Presiden) sering menjadi sasaran media pro BN yang mendakwa beliau mahu menghapuskan hak istimewa Melayu.

Walhal, Ustaz Hadi mengemukakan prinsip keadilan Islam yang menerima kesamarataan, kepimpinan serta ketuanan atas nama Islam.

Malah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat sebelum pembentukan kerjasama Pakatan Rakyat lagi pernah berkata, PAS akan menerima siapa sahaja menjadi Ketua atau Perdana Menteri asalkan dia beragama Islam.

Oleh itu, rakyat, khususnya orang-orang Melayu harus fikirkan, apakah selama 62 tahun usia Umno, dan menjadi pemerintah negara sejak sebelum merdeka, bangsa Melayu dan agama Islam benar-benar terpelihara?

Orang-orang Melayu harus sedar daripada penipuan Umno/BN bahawa DAP adalah parti anti Islam dan anti Melayu yang akan merosakkan negara.

Jika hendak dituduh DAP anti Islam dan anti Melayu berdasarkan kenyataan-kenyataan pemimpin DAP yang terdahulu, bagaimana pula dengan memo sembilan Menteri bukan Islam kepada PM yang mencabar Islam tahun 2006 yang lalu?

Bagaimana pula dengan pelbagai tuntutan dan kecaman yang dilemparkan oleh MCA dan Gerakan terhadap Melayu Umno dalam perhimpunan mereka baru-baru ini?

Justeru, jangan sesekali kita rakyat Malaysia, terperangkap dengan 'racist game' yang membahayakan ini.

Pemimpin Umno memainkan sentimen kemelayuan, untuk mendapat sokongan dan pencalonan dalam pemilihan mereka yang berlangsung sekarang ini. Pemimpin Umno sudah tentu mahu kelihatan sebagai ultra Melayu.

Begitu juga dengan MCA dan Gerakan. Dalam keadaan masa depan politik mereka yang terumbang ambing, mereka tidak ada jalan lain kecuali meniup sentimen kecinaan dan menjadi ultra Cina untuk mengekalkan sokongan terhadap mereka.

Apa faedah yang rakyat akan dapat daripada kempen-kempen ultra bangsa yang digembar gemburkan pemimpin BN ini? Tidak ada! Mereka 'useless' semata-mata.

Ingatlah, Anwar sudah memberi jaminan berkali-kali bahawa keseluruhan kepentingan Islam dan hak istimewa orang-orang Melayu dalam Perlembagaan akan dipelihara sebaik-baiknya.

DAP juga dalam perbincangannya dengan KeADILan dan PAS, memperakukan janji bahawa semua yang dimaksudkan tersebut tidak akan dipersoalkan sama sekali.

Cumanya, ada konsensus dalam Pakatan Rakyat bahawa, di samping memelihara kepentingan Islam dan Melayu, keperluan dan kepentingan agama dan kaum lain juga harus dipelihara dengan lebih adil dan saksama.

Jerat Perkauman PKNS

Dalam isu khusus di Selangor misalnya. Isu membabitkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor atau PKNS ditubuhkan pada 1 Ogos 1964. Dalam perlembagaannya tidak diwajibkan secara jelas, PKNS mesti dipimpin oleh orang-orang Melayu.

Hanya sejak ditubuhkan sehingga sekarang, BN dan Umno seolah-olahnya menjadikan PKNS seperti hak mutlak Melayu.

Di sebalik serangan terhadap Kerajaan Negeri Selangor yang didakwa mengetepikan orang Melayu, malangnya kepada orang Melayu apabila didapati selepas 44 tahun BN berkuasa, kaum Cina menguasai 75 peratus perniagaan PKNS berbanding Melayu, hanya 25 peratus.

Isu tercetus apabila Pengurus Besarnya, Harun Salim bersara 31 Oktober lepas, dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melantik Low Siew Moi, memangku jawatan Pengurus Besar, sementara menemui calon yang sesuai.

PKNS ada tiga Timbalan Pengurus Besar, selain dari Siew Moi (Perhubungan Korporat) ada dua orang lagi iaitu Md Nasir Md Arshad (Pentadbiran dan Pembangunan) dan Abdul Ghani Hashim (Teknikal).

Pelantikan tersebut dibantah keras oleh Pengerusi Umno Selangor, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo. Khalid didakwa mengenepikan orang Melayu, sebaliknya dilantik orang Cina.

Manakala Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Dr Hasan Mohd Ali turut tidak bersetuju dan mencadangkan perlantikan Siew Moi dibuat secara harian atau mingguan.

Dalam hal ini, nada Khir dan Hasan adalah sama, tidak setuju dengan Siew Moi, walaupun pendekatan masing-masing sedikit berbeza.

Manakala Ahli Parlimen DAP Kawasan PJ Utara, Tony Pua dalam reaksi berbeza mendakwa PAS 'salah faham', berikutan kenyataan Dr Hasan.

Katanya, "Keturunan pengurus besar tersebut tidak patut dipersoalkan sama sekali. Adalah mengecewakan apabila bantahan (terhadap pelantikan Low), dibuat berasaskan perspektif kaum dan tidak dari segi kualitinya," kata Pua.

Dalam hal ini, beliau berharap, PAS tidak akan hanya melihat pada perkara yang kecil semata-mata, tetapi juga turut mengambil kira soal yang lebih besar daripada itu.

Melihat kepada kriteria perlantikan, Khalid pada asasnya adalah orang ekonomi dan akaun, jarang sekali beliau membuat keputusan berdasarkan politik. Perlantikan Siew Moi tidak ada kena mengena dengan soal bangsa atau kaum.

Difahamkan selepas pertemuan dibuat Khalid dengan ketiga-tiga mereka, Khalid mendapati Siew Moi lebih layak memangku jawatan kerana mahir dalam urusan akaun dan pengetahuan perancangan perniagaan korporat PKNS.

Dua orang lain, walaupun berketurunan Melayu, bertugas dalam bidang Human Resource dan Teknikal.

Oleh itu dalam hal ini, tidak wajar menuduh Khalid membelakangkan orang Melayu kerana melantik orang Cina, kerana Khalid sudah menegaskan, pelantikan ini dibuat hanya sementara menanti calon yang sesuai.

Khalid selaku CEO GLC Selangor, memang berhak melantik, sesiapa sahaja yang layak menjadi Pengurus Besar PKNS, bukan sahaja di antara ketiga-tiga mereka sahaja.

Jika kerajaan negeri sudah mengetahui lebih awal bahawa Harun Salim hendak bersara, mereka boleh berusaha mengelakkan perbezaan pendapat sesama pemimpin.

Jangan sampai 'sudah hendak terberak baru hendak mencari lubang'. Sedarlah bahawa kenyataan yang sering bercanggahan antara KeADILan, PAS dan DAP, ia tidak baik untuk sebuah pakatan.

Walaupun MB ada kuasa eksekutif, zaman sudah berbeza. Zaman ini rakyat tidak menerima 'absolute power' atau 'executive one man decision'. Itu zaman Khir Toyo. Rakyat berbilang kaum di negara, mahukan Pakatan Rakyat mentadbir negeri secara konsensus.

Tanpa menafikan kuasa eksekutif MB dari sudut perlembagaan negeri, namun ada baiknya pemimpin ketiga-tiga parti KeADILan, PAS dan DAP, sama ada Khalid sendiri, Dr Hasan mahupun Teresa Kok, harus sentiasa duduk semeja mencari kesepakatan.

Pakatan Rakyat harus beringat, musuh-musuh yang hendak melaga-lagakan mereka begitu ramai. Harus lebih berhati-hati terhadap media massa yang dikuasai BN, kerana mereka sering menjadi dalang yang menyemarakkan api perkauman. - rashidi@harakah.net.my

Anakanda Jebat: Aduhai pimpinan dan penyokong PR! Berhati2 dengan permainan politik perkauman yang sedang dicanang oleh UMNO. Kalian jangan leka atau alpa. Sebarang kesilapan boleh membawa padah pada diri sendiri dan negara.