Wednesday, July 16, 2008

DS Wan Azizah Kesal Cara DS Anwar Ditahan


16/07/2008 2:18pm
KUALA LUMPUR 16 Julai – Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan polis kira-kira pukul 1 petang ini dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Segambut, sekembalinya daripada ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah di Putrajaya.
Ketua Pembangkang itu berkata, suaminya memaklumkan perkara itu menerusi panggilan telefon daripada dalam kenderaan polis ketika dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
"Anwar memberitahu beliau sedang dibawa oleh pihak polis. Saya beritahu Anwar yang saya nak bergegas berjumpanya namun Anwar pesan supaya saya pulang ke rumah terlebih dahulu untuk melihat anak-anak. Saya kesal dengan cara polis yang tak 'gentlemen' sedangkan Anwar baru sahaja menjalani pembedahan dan mengalami masalah sakit belakang,'' katanya ketika ditemui pemberita sejurus sidang Dewan Rakyat berhenti rehat tengah hari ini.
Wan Azizah bersama anak bongsunya kemudian dilihat tiba di IPKKL pukul 1.30 tengah hari.
Antara pemimpin pembangkang yang awal tiba di ibu pejabat polis itu ialah Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Ketua Whip pembangkang yang juga Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali.
Anak sulung Anwar yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah tiba kira-kira pukul 1.58 petang disusuli Penasihat DAP, Lim Kit Siang 10 minit kemudian.
Karpal Singh yang ditemui pemberita menyifatkan tindakan polis menahan Anwar sebagai kasar.
Beliau mempersoalkan kenapa pihak polis perlu mengambil tindakan sedemikian dan menegaskan akan cuba membebaskan Anwar secepat mungkin. – Utusan.

No comments: