Thursday, August 7, 2008

DS Anwar Dakwa Pertuduhan Liwat Kekurangan Bukti

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa pertuduhan liwat terhadapnya kekurangan bukti dan mempersoalkan kenapa hanya dirinya dituduh dengan kesalahan itu.

Anwar berkata kertas pertuduhan yang dikemukakan hari ini secara jelas menyatakan Mohd Saiful Bukhari Azlan bersetuju melakukan perbuatan seperti didakwa itu dan pendakwaan sepatutnya juga turut mendakwanya.

“Laporan awal Mohd Saiful kepada doktor mendakwa yang beliau diserang tetapi laporan polisnya masih belum diberikan kepada kami. Jadi anda tahu kenapa laporan itu masih belum diberikan kepada kami. (Jadi) supaya mereka (pendakwaan) boleh menipu kami,” katanya kepada media selepas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan meliwat di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Anwar mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merujukkan kesnya itu sebagai rogol, tetapi pertuduhan hari ini menyatakan atas persetujuan.

“Pertuduhan itu bertujuan untuk memalukan saya, tetapi saya tidak malu. Saya melihatnya sebagai permainan politik,” katanya dan menurutnya laporan perubatan itu telah disesuaikan untuk memastikan pendakwaan boleh mendakwanya dengan pertuduhan liwat.

Anwar juga berkata beliau gembira dengan keputusan PKR malam tadi untuk meneruskan kempen bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh walaupun beliau berdepan dengan pertuduhan itu. Penamaan calon ditetapkan 16 Ogos dan pengundian pada 26 Ogos jika ada pertandingan. — Bernama

No comments: