Saturday, August 2, 2008

Pemerintah Naning Susun Strategi Perang Gerila & Guna Senjata Tradisional Untuk Tumpaskan Askar British Ketika Peperangan Empat Bulan











ADA kejadian aneh dan mistik yang diceritakan berlaku ketika tentera British cuba menjajah ibu kota Naning iaitu Taboh dengan menyerang pejuang Melayu, Dol Said serta pasukannya dalam Perang Naning Kedua 1832.

Seperti diceritakan beberapa penduduk lama kawasan itu, apabila tentera penjajah cuba mendatangkan kerosakan di muka bumi Naning (kini kawasan Alor Gajah, Melaka), penduduk tempatan diketuai Penghulu Dol Said bangkit mempertahankan tanah air mereka.

Bagaimanapun, peristiwa misteri dan ajaib adalah demi membela tanah air, penentangan terhadap segerombolan tentera British itu tidak saja disertai penduduk watan tetapi turut disertai ribuan serangga Naning iaitu serangga yang seakan-akan penyengat besar.

Pengkaji Sejarah yang juga Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali, berkata mengikut cerita penduduk tempatan, kejadian aneh itu menyebabkan tentera British kelam-kabut.

“Mungkin ia disebabkan ‘keramat’ atau sebagainya dan timbul cadangan supaya tentera British melemparkan benda najis dan kotor ke seluruh kawasan itu terlebih dulu bagi menghilangkan keramat seterusnya menghindarkan serangan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, selepas mengotorkan bumi Naning, barulah tentera British kembali menyerang pasukan Dol Said. Tentangan British bagaimanapun tidak semudah disangka kerana ia dibalas hebat dan sengit oleh pasukan Dol Said walaupun sekadar bersenjatakan parang, lembing dan senjata tradisional.

Akhirnya, selepas peperangan itu berlarutan selama kira-kira empat bulan, akhirnya pasukan Penghulu Naning itu tewas kepada kemampuan meriam serta senapang British dan negeri merdeka seluas kira-kira 67,000 hektar itu kemudian dijajah pada Jun 1832.

Malah, ramai tidak mengetahui yang British pernah malu besar ketika menentang Naning pada Perang Naning Pertama 1831 - maruah mereka sebagai kuasa besar dunia ketika itu, jatuh dari tempat tertinggi ke lantai paling rendah.

Sebagai kuasa besar dunia yang memiliki empayar jajahan luas, pernah menyertai dan memenangi banyak peperangan dengan kuasa besar lain termasuk menyertai Perang Dunia Pertama selain memiliki kelengkapan senjata dan meriam yang digeruni; mereka akhirnya kalah kepada negeri kecil Naning pada 1831 yang mana penyerangnya hanya menggunakan parang dan senjata tradisional.

Mengimbas perjuangan tokoh kebebasan tanah air itu, Dr Abdullah menjelaskan bahawa ia berlaku atas semangat cintakan tanah air di kalangan penduduk Naning yang diketuai pemerintahnya iaitu Dol Said atau nama sebenarnya Abdul Said. Mereka bersatu padu menentang usaha British untuk menjajah negeri mereka.

“Dol Said ketika itu adalah pemerintah Naning iaitu sebuah negeri yang berjiran dengan Melaka; walaupun jawatannya adalah penghulu atau digelar Datuk Seroja Merah mengikut adat pepatih, tetapi tarafnya menyamai raja dan sultan.

“Beliau dilahirkan pada 1773 dan berasal daripada suku Semelenggang iaitu satu daripada dua suku yang bergilir memegang jawatan Penghulu Naning, selain suku Biduanda,” katanya. Tokoh pahlawan itu dilantik sebagai Penghulu Naning kesembilan ketika berusia hanya 26 tahun.

Rentetan sejarah perjuangan penduduk Naning terhadap kuasa penjajah sudah berlangsung dalam tempoh yang lama membuktikan semangat nasionalisme anak watan sememangnya disemai generasi demi generasi.

Apabila Portugis menjajahi Melaka sekitar abad ke-16, Naning sering menyerang penjajah itu yang berkubu di negeri jiran mereka. Begitu juga apabila Belanda mengalahkan Portugis lalu mengambil alih pemerintahan Melaka pada abad ke-17, mereka turut diserang penduduk Naning.

Peperangan berdasarkan negeri jiran mereka iaitu Melaka dijajahi rakyat asing dan sebagai negeri berjiran, Naning sering diganggu kuasa asing itu.

“Seterusnya British mengadakan perjanjian bersyarat dikenali Perikatan London dengan Belanda pada 1824 iaitu British akan menyerahkan pemerintahan mereka di Bengkulu, Sumatera kepada Belanda dan Belanda menyerahkan Melaka kepada pemerintahan British,” katanya.

Sejak itu, British menguasai dan memerintah Melaka dan bermulalah kisah persengketaan dan perjuangan suci antara Dol Said dan pengikutnya dengan kuasa asing itu, demi mempertahankan tanah air merdeka mereka iaitu Naning.

“Sebelum itu pada 1801, ketika British memerintah Melaka sementara dari Belanda ketika Perang Napoleon, satu perjanjian sudah dibuat Naning yang diwakili Penghulu Dol Said dan empat ketua suku dengan British, disebabkan Naning adalah negara jiran kepada Melaka yang dikuasai British.

“Antara syarat perjanjian itu adalah Naning perlu menghantar satu persepuluh daripada hasil pertanian mereka kepada British. Sebelum ini pun Naning ada menghantar hasil pertanian mereka kepada Belanda sebagai tanda persahabatan.
“Dan apabila British memerintah, Naning bersetuju menghantar bahagian itu sebagai kelangsungan tanda persahabatan dengan Melaka (British) tetapi British pula menganggap Naning menghantar hasil itu disebabkan Naning tunduk kepada kekuasaan mereka,” katanya.

Dr Abdullah berkata, apabila Melaka dipulangkan kembali British kepada pihak Belanda di bawah Perikatan Vienna selepas Perang Napoleon pada 1818, perjanjian penghantaran hasil itu mungkin turut dimansuhkan.

Belanda memerintah Melaka selama kira-kira tujuh tahun sebelum diserahkan kepada British melalui Perikatan London 1824. Apabila British kembali memerintah, mereka ingin menguatkuasakan kembali perjanjian penghantaran hasil tahunan Naning yang sudah dimansuhkan.

Bagaimanapun, takrifan satu persepuluh daripada hasil pertanian Naning seperti dikemukakan British adalah melampau dan terlalu tinggi sehingga membebankan penduduk.

“Konflik timbul apabila British mendakwa bahawa Naning adalah sebahagian daripada Melaka dan berada di bawah pemerintahan British tetapi ia disangkal Dol Said yang menyatakan bahawa Naning adalah negeri merdeka.

“Dol Said sanggup menghantar hasil tahunan sebagai tanda persahabatan tetapi tidak mahu menghantar jika British menganggap yang negeri itu adalah sebahagian dari Melaka dan mereka mesti tunduk kepada British,” katanya.

Konflik itu berlarutan apabila Naning enggan tunduk kepada undang-undang diperkenalkan British apabila pada 1828, Dol Said menyelesaikan sendiri satu kes bunuh di Naning. Tindakan itu menyemarakkan lagi sengketa apabila British mendakwa kes bunuh itu perlu dihakimi oleh mereka di Melaka kerana Naning adalah sebahagian dari Melaka.

“Dol Said diberi amaran oleh British berhubung perkara itu sehingga membangkitkan kemarahan tokoh itu.

“Gabenor Negeri-negeri Selat (negeri-negeri selat adalah Pulau Pinang, Singapura dan Melaka yang diperintah British) iaitu Ibbetson melihat Naning sebagai jajahan Melaka yang ingkar dan menentang British menyebabkan mereka membuat keputusan untuk menyerang dan menakluki negeri itu,” katanya.

Keputusan itu menjadi pencetus kepada Perang Naning Pertama 1831. Sikap angkuh British menyebabkan mereka memandang rendah terhadap Naning dengan anggapan bahawa negeri kecil dan miskin itu mampu dikalahkan dalam tempoh sehari saja.

Lalu mereka menghantar pasukan kecil tentera iaitu seramai 150 anggota yang diketuai Kapten Wyllie untuk menyerang negeri itu pada 6 Ogos tahun itu.

“Dol Said sudah menyedari rancangan serangan British itu menyebabkan dia mengumpul penduduk Naning dan mendapatkan bantuan ketenteraan negeri jiran antaranya dari Yamtuan Ali Rembau, Pembesar Sri Menanti, Penghulu Linggi dan Datuk Kelana Sungai Ujong,” katanya.

Tanpa pengetahuan British, pasukan Naning sudah dibentuk dengan kira-kira 4,000 kekuatan tentera untuk menghadapi 150 tentera British. Bagaimanapun, British memiliki beberapa kelebihan kerana memiliki senapang dan membawa sebuah meriam manakala pasukan Dol Said sekadar bersenjatakan parang, lembing dan senjata tradisional.

Selain kekuatan anggota, Dol Said juga bijak merencanakan strategi perang apabila melancarkan serang gerila. Tentera British sentiasa diserang di kawasan hutan sejak mereka memulakan ekspedisi ke Naning.

“Pasukan gerila hutan Dol Said menggunakan taktik menanam ranjau sebagai jerangkap samar ketika tentera British melalui laluan hutan. Mereka turut menebang pokok merentangi laluan tentera British sekali gus menghalang perjalanan mereka kerana British membawa meriam menggunakan kereta lembu.

“Ketika tentera British sibuk dan leka membersihkan laluan dan mengalihkan pokok yang ditebang, pasukan Dol Said menyerang hendap mereka dan taktik serupa dilakukan berulang kali sepanjang laluan dari Melaka ke Naning,” katanya.
Beliau berkata, taktik itu nyata berkesan apabila tentera British terpaksa melarikan diri pulang ke Melaka akibat kecederaan, walaupun perjalanan mereka sudah memakan masa kira-kira 18 hari dan sudah sampai di Meleket iaitu kira-kira tujuh kilometer dari Naning. Melihat pasukan mereka pulang dengan kecederaan dan kalah teruk sebelum sempat menjejakkan kaki di Naning, pemerintah British menjadi berang dan mereka kembali mengumpul kekuatan untuk melancarkan gelombang Perang Naning Kedua 1832.

1 comment:

maza said...

Kajian saya menunjukkan bahawa tentera Dol Said juga menggunakan senapang yang dipanggil istingar (muscket) dan rentaka (meriam kecil). Ini bermakna mereka bukan hanya menggunakan sekadar parang, lembing dan panah sahaja.

Dalam kata lain, pasukan Dol Said juga mempunyai persenjataan agak moden yakni senjata api.

Wallahualam...