Thursday, August 7, 2008

DS Anwar Mengaku Tidak Bersalah Liwat Bekas Pembantu

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada Jun lalu.

Anwar membuat pengakuan dengan mendakwa pertuduhan itu dibuat dengan niat jahat dan khianat.

"Saya tidak bersalah!,'' kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Pertuduhan berbunyi: Anwar didakwa melakukan perbuatan itu pada 26 Jun 2008 antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang di alamat Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini.

Pendakwaan yang diketuai Peguamcara Negara, Datuk Idrus Harun mencadangkan Anwar dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Barisan sembilan peguambela diketuai Sulaiman Abdullah membantah cadangan itu dan memohon supaya Anwar dibebas dengan jaminan peribadi dan juga tidak mengenakan syarat menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.

Hakim S.M. Komathy Suppiah memutuskan membenarkan Anwar diikat jamin RM20,000 dengan bon jaminan peribadi.

Mahkamah menetapkan kes itu disebut semula pada 10 September ini untuk memindahkan perbicaraan ke Mahkamah Tinggi. - Utusan

No comments: