Sunday, July 20, 2008

Musa, Gani Dikecuali Siasatan Kes Liwat Babitkan DS Anwar Tidak Dirujuk Kepada Mereka – Pak Lah


KEPALA BATAS 19 Julai – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak akan terlibat dalam siasatan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malahan, Perdana Menteri berkata, pegawai-pegawai yang terlibat dengan kes berkenaan juga tidak akan membuat sebarang rujukan kepada Musa dan Abdul Gani.

‘‘Ketua Polis Negara dan Peguam Negara tak akan terlibat, maksudnya mereka tidak akan memainkan peranan (siasatan),’’ katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian tawaran melanjutkan pengajian dan pembiayaan biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Dewan Millenium di sini, hari ini.Hadir sama ialah isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar. Seramai 350 pelajar Island College of Technology (ICT) menerima pembiayaan biasiswa Mara itu.

Abdullah ditanya sama ada kedua-dua mereka akan dikecualikan daripada siasatan kes liwat melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu setelah Anwar membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor terhadap Musa dan Abdul Gani pada 1 Julai lalu. Dalam laporan itu, Anwar mendakwa Musa dan Abdul Gani terlibat dalam kes pemalsuan keterangan beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada 1998.
Abdul Gani ketika itu ialah timbalan pendakwa raya paling kanan manakala Musa merupakan ketua pegawai penyiasat kes yang membabitkan Anwar.

Anwar yang memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) baru-baru ini mendakwa banyak lagi bukti berhubung pembabitan kedua-dua pegawai itu dalam pemalsuan dan penyembunyian fakta siasatan kes liwatnya 10 tahun lalu.

Ditanya adakah Musa dan Abdul Gani akan digantung tugas berikutan laporan polis yang dibuat oleh Anwar itu, Perdana Menteri menjelaskan, mereka tidak perlu digantung tugas.
‘‘Pegawai pun tidak membuat sebarang rujukan dengan mereka, jadi dengan itu saya tak nampak yang mereka perlu digantung tugas,” katanya.

Pada majlis sama, Perdana Menteri mahu generasi muda menggunakan ilmu pengetahuan untuk menambah nilai kepada pembangunan negara yang dicapai sejak 50 tahun lalu. “Jika negara mahu meningkat maju dengan cepat, maka kekuatan modal insan perlu dibina dengan ilmu pengetahuan daripada pelbagai cabang dan aspek pendidikan yang sesuai,” katanya.
Anakanda Jebat Membohong Adalah Sifat Munafik.

Wednesday, July 16, 2008

Penangkapan DS Anwar Ikut Undang-Undang: Musa Hassan


SEPANG: Penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bagi membantu siasatan polis berhubung tuduhan meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, adalah sesuatu amalan biasa dalam siasatan kes jenayah dan dibuat mengikut proses undang-undang, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Beliau berkata adalah menjadi amalan kepada semua pihak termasuk Anwar, selaku tertuduh untuk tampil dan memberikan keterangan bagi membolehkan polis membuat siasatan secara adil. “Polis tahu apa yang mereka lakukan dan polis hanya jalankan tanggungjawab bagi menyiasat kes ini,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini petang ini dari Brunei.
Musa pulang ke tanah air selepas menerima anugerah pingat kebesaran Sultan Brunei bergelar Datuk Seri Pahlawan semalam. Musa juga menasihati penyokong Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya tidak membuat sebarang kekecohan ekoran perkembangan terbaru itu. “Saya amat berharap mereka (penyokong PKR) tidak akan melakukan apa-apa yang melanggar undang-undang.
“Jika ada pihak yang sengaja membuat kekacauan, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya. Musa juga telah mengarahkan anggotanya untuk membuat pemantauan bagi memastikan keadaan terkawal. Sementara itu, PKR menerusi Biro Penerangannya mengeluarkan kenyataan meminta supaya penyokong parti itu bertenang berikutan penangkapan Anwar. Terdahulu, peguam Anwar, Sankara Nair memberitahu wartawan bahawa Anwar kini ditahan mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan bagi siasatan terhadap tuduhan meliwat.
Katanya jika perlu Anwar akan dikenakan perintah reman selam 24 jam atau tidak melebihi 14 hari bagi membantu siasatan. Anwar menghadapi tuduhan itu selepas bekas pembantunya, Mohd Saiful, 23, membuat laporan polis pada 28 Jun lalu, mendakwa dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Anwar telah memfailkan saman terhadap Mohd Saiful kerana membuat laporan palsu berkenaan kejadian liwat itu yang dikatakan berlaku pada 26 Jun lalu. - Bernama
Anakanda Jebat - Kepercayaan sukar bagi yang mempunyai kuasa, pangkat dan kekayaan.

Anwar Tiba Di HKL Untuk Ujian DNA


16/07/2008 9:23pm
KUALA LUMPUR 16 Julai – Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selesai disoal siasat oleh polis lewat petang ini, dibawa untuk pemeriksaan perubatan di Hospital Kuala Lumpur malam ini.

Anwar yang dibawa keluar dari pintu belakang Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini pada pukul 8.35 malam tiba di HKL 10 minit kemudian.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang memakai kot kelabu tiba di Wad Diraja HKL dengan kawalan ketat pasukan polis.

Sebanyak 11 kenderaan tiba bersama-samanya iaitu dua MPV dan sembilan kenderaan pacuan empat roda termasuk yang dinaiki Anwar.

Peguamnya, Saiful Izham Ramli yang ditemui pemberita memberitahu, Anwar dibawa ke HKL untuk ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).-Utusan

Kenyataan Penuh Polis Mengenai Tangkapan DS Anwar Ibrahim


16/07/2008 9:07pm
Berikut adalah kenyataan akhbar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Mohd. Bakri Mohd. Zinin mengenai penahanan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim:
1. Untuk memastikan sesuatu tindakan berjaya diambil oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), PDRM memerlukan perancangan yang teratur dan sempurna.

2. PDRM mengambil kira dari sudut keselamatan operasi yang dijalankan, sama ada terhadap keselamatan pegawai/anggota polis yang menjalankan tugas atau kepada individu yang diambil tindakan.

3. Keselamatan adalah perkara yang paling utama dalam sesuatu operasi yang dijalankan. PDRM mempunyai peraturan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang dipertanggungjawab kepada polis. Tindakan ini adalah selari dengan garis panduan yang sedia ada.

4. Dalam melaksanakan tangkapan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia adalah secara profesional berdasarkan kepada keperluan ini. Bagaimanapun, tangkapan dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Khas Bukit Aman. Tidak berlaku sebarang tindakan yang melanggar garis panduan yang ditetapkan.

5. Pihak polis boleh mengesahkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah ditangkap pada 16 Julai 2008 jam 1.00 petang di sekitar Segambut. Pihak PDRM tidak mahu membuat tangkapan di dalam rumah beliau yang boleh menimbulkan kekecohan (commotion), waran tangkap telah disempurnakan ke atas beliau. Ketika ini beliau sedang membantu dalam siasatan satu kes liwat yang telah dilaporkan kepada polis oleh seorang pembantu beliau.

6. Beliau juga telah dibenarkan untuk berjumpa dengan peguam yang dipilihnya sendiri dan peguam beliau berada bersamanya pada waktu ini. Ahli keluarga beliau juga telah dibenarkan untuk berjumpa dengannya. PDRM ingin memberi kepastian kepada semua yang berkenaan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini selamat berada dalam tahanan pihak polis.

Datuk Mohd. Bakri Mohd. Zinin
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah
Polis Diraja Malaysia

Polis Jamin Keselamatan DS Anwar Dalam Tahanan


KUALA LUMPUR 16 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini memberi jaminan terhadap keselamatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berada dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meliwat bekas pembantunya. Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Zinin berkata, polis juga telah bertindak secara profesional dengan mengikut semua peraturan dan garis panduan semasa menahan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu. “PDRM ingin memberi kepastian kepada semua yang berkenaan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini selamat berada dalam tahanan pihak polis.

“Beliau juga telah dibenarkan untuk berjumpa dengan peguam yang dipilihnya sendiri dan peguam beliau berada bersamanya ketika ini,” katanya membacakan kenyataan berhubung perkara itu di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini. Menurutnya selepas ditahan oleh anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas, Bukit Aman pada pukul 1 petang ini di sekitar Segambut, Anwar juga telah dibenarkan untuk bertemu dengan anggota keluarganya di IPKKL. Mohd. Bakri berkata, polis bertindak menahan Anwar berdasarkan waran tangkap yang diperolehi oleh pihak berkuasa itu.

Katanya, polis juga memutuskan untuk tidak menahan Anwar ketika beliau berada di rumahnya kerana ia dibimbangi boleh mencetuskan kekecohan. Beliau berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil kira keselamatan Anwar dan juga anggota polis yang terbabit dalam operasi itu.
“Keselamatan adalah perkara yang paling utama dalam sesuatu operasi yang dijalankan. PDRM mempunyai peraturan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab,” katanya.

Anwar menghadapi tuduhan itu selepas bekas pembantunya, Mohd. Saiful, 23, membuat laporan polis pada 28 Jun lepas mendakwa dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Anwar telah memfailkan saman terhadap Mohd. Saiful kerana didakwa membuat laporan palsu berkenaan kejadian liwat itu yang dikatakan berlaku pada 26 Jun lepas. — BERNAMA.

KDN Nafi DS Anwar Dikasari


16/07/2008 7:07pm
KUALA LUMPUR 16 Julai – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan pihak pembangkang bahawa polis bertindak kasar ketika menahan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, perkara itu tidak berlaku kerana Anwar telah memberikan kerjasama ketika ditahan dan beliau juga memasuki kenderaan polis secara sukarela.
"Ketika ini Anwar dalam tahanan, tetapi sebelum ditahan beliau memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis. Saya rasa tiada kejadian tidak diingini (berlaku)," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.
Beliau mengulas penahanan Anwar oleh polis pada pukul 1.05 petang ini dan dibawa menaiki kenderaan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan ditemani peguamnya, R. Sivarasa.- Utusan.

Musa Enggan Komen Penahanan DS Anwar


16/07/2008 6:00pm
SEPANG 16 Julai – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini enggan mengulas mengenai cara polis yang menggunakan pasukan komando bertopeng untuk menahan Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi.
Ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini petang ini, Musa tidak mahu menjawab sebarang soalan mengenai penahanan Anwar berhubung kes liwat itu.
Pada awalnya, menjawab soalan wartawan mengapa polis komando bertopeng yang diarah menangkap Anwar, Musa berkata:
“Mana ada.. polis takkan tangkap orang pakai topeng.”
Tetapi apabila diberitahu bahawa seorang jurugambar sempat merakamkan peristiwa penahanan Anwar oleh sepasukan komando bertopeng itu, Musa menjelaskan:
“Saya baru sampai (dari Brunei), saya tak tahu menahu, saya tak ada komen,” katanya.
Musa baru pulang dari Brunei kerana menerima Pingat Darjah Pahlawan Negara Brunei Yang Amat Perkasa Darjah Pertama sempena Hari Keputeraan Ke-62 Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Darul Iman, Bandar Seri Begawan semalam. – Utusan.

Dewan Rakyat Kecoh MP Rembau Minta DS Anwar Beri Sampel DNA Kepada Polis


16/07/2008 3:58pm
KUALA LUMPUR 16 Julai — Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) meminta Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan sampel DNA kepada polis untuk tujuan penyiasatan tuduhan liwat yang dibuat terhadapnya.
“Kita tidak boleh memaksa mana-mana pihak untuk memberi sampel DNA (tapi) kalau tidak takut pada kebenaran, saya harap Anwar akan tampil hari ini, dan kalau berani, beri sampel DNA untuk diuji sama ada laporan polis itu betul atau tidak. Ini penting,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2008) 2008.
Kata-kata Khairy itu menyebabkan beberapa Anggota Parlimen pembangkang termasuk isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail (PKR-Permatang Pauh) bangun dan mempertikaikan kenyataan itu seolah-olah Khairy tahu kandungan laporan polis yang dibuat.
Wan Azizah yang juga Presiden PKR berkata: “ Kenapa Rembau (Khairy) hendak minta DNA dari suami saya. Laporan polis yang dibuat tidak diberi kepada kami, bagaimana Rembau boleh tahu, apakah Rembau tahu kandungan dari laporan polis itu.”
Laporan terhadap Anwar itu dibuat oleh bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Khairy kemudian menjelaskan bahawa beliau tidak tahu-menahu mengenai penyiasatan polis berhubung kes itu, tetapi katanya, sampel DNA amat diperlukan sebagai bukti.
“Laporan polis tidak diberi kepada ketua pembangkang (Wan Azizah) sebab suaminya tidak hadir ke Balai Polis. Saya tidak tahu-menahu tentang siasatan ini, yang tergerak hati saya minta DNA adalah bentuk laporan polis tersebut.
“Ini adalah tuduhan liwat dan salah satu bukti yang diperlukan adalah bukti DNA sahaja,” katanya.
Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) kemudian bangun dan mencadangkan agar Khairy jawatankuasa khas untuk tindakan.
Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) pula Peraturan Mesyuarat 36(12) meminta Khairy menetapkan pendirian bahawa laporan polis tidak diberikan kerana Anwar masih tidak memberikan kenyataannya kepada polis.
“Rembau kata bahawa oleh kerana Anwar belum beri kenyataan, sebab itu dia tidak diberi laporan, adakah Rembau tetap menyatakan bahawa itu sebenarnya alasan Anwar tidak beri kenyataan, oleh itu polis tidak beri laporan,” katanya.
Situasi itu menimbulkan pertikaman lidah antara penyokong kerajaan dan pembangkang sehingga memaksa Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menenangkan keadaan.
“Kalau itu pendirian Rembau itu dia punya pasal, yang buat penyiasatan adalah polis, takkan polis nak dengar arahan Rembau dalam dewan ini,” kata Wan Junaidi.
Perbahasan Khairy sekali lagi menjadi kecoh dan hangat apabila beliau berkata janji Anwar untuk menurunkan harga minyak sebanyak 50 sen jika memerintah negara adalah satu pembohongan dan putar belit.
Khairy berkata ini bertentangan dengan janji parti itu ketika pilihan raya umum lepas yang mengatakan akan menurunkan harga minyak kurang daripada RM1.92.
“Tapi semalam (pada debat Anwar dengan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek) pembohongan terdedah bahawa beliau hanya mampu janji turunkan 50 sen dari RM2.70 kepada RM2.20 yang mana masih lagi tinggi daripada RM1.92 seperti yang dijanjikan pada pilihan raya,” katanya.
Kenyataan Khairy itu kemudian dijawab oleh Mohamed Azmin yang mengatakan bahawa apa yang disebut Anwar itu adalah langkah awal dengan mengambil kira keadaan ekonomi sekarang.
“Dalam keadaan ekonomi hari ini mana mungkin kita hendak turun secara mendadak, ini peringkat awal dan sekiranya suasana mengizinkan kita akan turunkan lebih rendah supaya rakyat dapat manfaat,” katanya.— BERNAMA

Anwar Mula Disiasat Pukul 2.50 petang


16/07/2008 3:52pm
KUALA LUMPUR 16 Julai – Datuk Seri Anwar Ibrahim mula disoal siasat oleh polis berhubung dakwaan liwat melibatkannya di sebuah bilik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, pukul 2.50 petang ini.
Anwar yang ditahan oleh sekumpulan anggota polis komando bertopeng pada pukul 1.05 petang dan dibawa menaiki kenderaan ke IPK 10 minit kemudian, hanya dibenarkan ditemani salah seorang peguamnya, R. Sivarasa.
Seorang lagi peguam, Sankara N. Nair yang sempat menemui Anwar sebelum itu, ketika ditemui pemberita yang berkumpul di pekarangan IPK memberitahu, anak guamnya disiasat sebagai suspek di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan iaitu kes meliwat tanpa kerelaan.
Beliau dan ahli keluarga Anwar tidak dibenarkan menemani anak guamnya itu sepanjang sesi soal siasat itu.
Bagaimanapun, sebelum itu, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail serta anak-anaknya termasuk Nurul Izzah dibenarkan bertemu dengan Anwar.
Wan Azizah dan Nurul Izzah serta adik-beradiknya keluar bersama peguam Anwar dari bangunan IPK pada pukul 2.38 petang.
Naib Presiden PKR, Azmin Ali yang juga Ahli Parlimen Gombak memberitahu pemberita, beliau dan wakil-wakil pakatan pembangkang lain bergegas datang dari Parlimen sebaik sahaja mendengar berita penahanan itu.
Mereka bagaimanapun hanya dibenarkan berkumpul di kantin bangunan IPK dan tidak dibenarkan berjumpa Anwar. – Utusan.

DS Wan Azizah Kesal Cara DS Anwar Ditahan


16/07/2008 2:18pm
KUALA LUMPUR 16 Julai – Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan polis kira-kira pukul 1 petang ini dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Segambut, sekembalinya daripada ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah di Putrajaya.
Ketua Pembangkang itu berkata, suaminya memaklumkan perkara itu menerusi panggilan telefon daripada dalam kenderaan polis ketika dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
"Anwar memberitahu beliau sedang dibawa oleh pihak polis. Saya beritahu Anwar yang saya nak bergegas berjumpanya namun Anwar pesan supaya saya pulang ke rumah terlebih dahulu untuk melihat anak-anak. Saya kesal dengan cara polis yang tak 'gentlemen' sedangkan Anwar baru sahaja menjalani pembedahan dan mengalami masalah sakit belakang,'' katanya ketika ditemui pemberita sejurus sidang Dewan Rakyat berhenti rehat tengah hari ini.
Wan Azizah bersama anak bongsunya kemudian dilihat tiba di IPKKL pukul 1.30 tengah hari.
Antara pemimpin pembangkang yang awal tiba di ibu pejabat polis itu ialah Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Ketua Whip pembangkang yang juga Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali.
Anak sulung Anwar yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah tiba kira-kira pukul 1.58 petang disusuli Penasihat DAP, Lim Kit Siang 10 minit kemudian.
Karpal Singh yang ditemui pemberita menyifatkan tindakan polis menahan Anwar sebagai kasar.
Beliau mempersoalkan kenapa pihak polis perlu mengambil tindakan sedemikian dan menegaskan akan cuba membebaskan Anwar secepat mungkin. – Utusan.

Anwar Tiba di IPK KL Sekitar Pukul 1.15 tengah hari


16/07/2008 2:02pm
KUALA LUMPUR 16 Julai – Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba dengan kenderaan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini untuk memberi keterangan berhubung kes liwat melibatkannya tepat pukul 1.15 petang ini.
Semalam, polis memberi kata dua kepada Anwar untuk hadir memberi keterangan di IPK sebelum pukul 2 petang ini atau berdepan dengan tindakan ditahan selepas polis mengeluarkan waran tangkap.
Pada 28 Jun lalu, bekas pembantu Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis mendakwa dia telah diliwat beberapa kali oleh bekas majikannya itu termasuk kali terakhir dua hari sebelumnya.
Anwar adalah suspek dalam kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan.
Isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama anak bongsunya menyusul kira-kira pukul 1.30 tengah hari ini.
Peguam Anwar, Sankara Nair tiba kira-kira 10 minit sebelum itu. Beberapa pemimpin pembangkang termasuk Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Ahli Parlimen PKR mula tiba secara berasingan selepas itu.
Pagi ini, Anwar memberi keterangan ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Dalam laporan 1 Julai lalu, Anwar mendakwa Musa dan Abdul Gani memalsukan bukti penyiasatan insiden “mata lebam” melibatkannya pada 1999.
Musa merupakan pegawai penyiasat manakala Abdul Gani mengetuai pasukan pendakwa dalam kes Anwar dipukul oleh Ketua Polis Negara pada masa itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.
Musa dan Abdul Gani telah memberi keterangan kepada BPR pada 11 Julai lalu. – Utusan.

Anwar Tiba di IPK KL Sekitar Pukul 1.15 tengah hari


16/07/2008 2:02pm
KUALA LUMPUR 16 Julai – Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba dengan kenderaan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini untuk memberi keterangan berhubung kes liwat melibatkannya tepat pukul 1.15 petang ini.
Semalam, polis memberi kata dua kepada Anwar untuk hadir memberi keterangan di IPK sebelum pukul 2 petang ini atau berdepan dengan tindakan ditahan selepas polis mengeluarkan waran tangkap.
Pada 28 Jun lalu, bekas pembantu Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis mendakwa dia telah diliwat beberapa kali oleh bekas majikannya itu termasuk kali terakhir dua hari sebelumnya.
Anwar adalah suspek dalam kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan.
Isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama anak bongsunya menyusul kira-kira pukul 1.30 tengah hari ini.
Peguam Anwar, Sankara Nair tiba kira-kira 10 minit sebelum itu. Beberapa pemimpin pembangkang termasuk Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Ahli Parlimen PKR mula tiba secara berasingan selepas itu.
Pagi ini, Anwar memberi keterangan ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Dalam laporan 1 Julai lalu, Anwar mendakwa Musa dan Abdul Gani memalsukan bukti penyiasatan insiden “mata lebam” melibatkannya pada 1999.
Musa merupakan pegawai penyiasat manakala Abdul Gani mengetuai pasukan pendakwa dalam kes Anwar dipukul oleh Ketua Polis Negara pada masa itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.
Musa dan Abdul Gani telah memberi keterangan kepada BPR pada 11 Julai lalu. – Utusan.

Anwar Ditahan Polis Petang Tadi

16/07/2008 1:20pm
KUALA LUMPUR 16 Julai – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan polis berhampiran kediamannya di Segambut dekat sini pukul 1 tengah hari ini.
Difahamkan sepasukan anggota komando lengkap dengan topeng dan jaket memintas kereta Anwar di simpang berdekatan rumahnya sekembali beliau daripada memberi keterangan di ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya. - Utusan.

Anwar Beri Keterangan di BPR Pagi Tadi


PUTRAJAYA 16 Julai – Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir di ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada pukul 10.05 minit pagi hari ini.
Beliau dijadualkan memberi keterangan berhubung laporan polis ke atas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Anwar tiba dengan diiringi peguamnya, Sankara S. Nair.
Isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak menemani suaminya ke ibu pejabat BPR di Putrajaya.
"Beliau (Anwar) dipanggil BPR bukan mengenai dirinya tetapi mengenai orang lain. Saya yakin beliau bersedia berbuat demikian", katanya kepada pemberita di kediamannya di sini hari ini.
Anwar dilihat meninggalkan kediaman pukul 9.20 pagi menaiki kenderaan MPV Mazda.
Ditanya sama ada Anwar akan memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini, Wan Azizah dengan yakin memberitahu suaminya itu akan hadir pukul 2 petang ini.
Semalam, polis memberi tempoh 24 jam sehingga jam 2 petang ini kepada Anwar untuk menyerah diri di IPK KL bagi memberi keterangan atau berdepan dengan tindakan penahanan bagi membantu siasatan liwat melibatkannya. - Utusan.
Anakanda Jebat - Ku pohon agar perjuangan DS Anwar dirahmati ALLAH SWT..Amen

Monday, July 14, 2008

Pemerintah Kelapan Melaka : Sultan Mahmud Syah (1488 – 1511)


Selepas kemangkatan Sultan Alauddin Riayat Syah pada tahun 1488, anakandanya Raja Mahmud ditabalkan sebagai pemerintah kelapan Melaka. Baginda menggunakan gelaran Sultan Mahmud Syah dan masih muda ketika ditabalkan sebagai pemerintah Melaka. Oleh yang demikian, Melaka diletakkan di bawah pentadbiran Tun Perak, yang dibantu oleh pembesar-pembesar yang lain. Pembesar-pembesar Melaka terdiri daripada Tun Tahir Seri Nara Diraja sebagai Bendahari, Tun Mutahir sebagai Temenggung Seri Maharaja yang bertanggungjawab atas keselamatan dalam negeri, Hang Tuah sebagai Laksamana yang memimpin angkatan laut Melaka dan Tun Kerutup Seri Bija Diraja sebagai pemerintah angkatan darat.


Bendahara Paduka Tun Perak meninggal dunia pada tahun 1498 setelah berkhidmat di bawah empat orang Sultan Melaka, iaitu Sultan Muzaffar, Sultan Mansur, Sultan Alauddin dan Sultan Mahmud. Sultan Mahnud Syah kemudian melantik Tun Perpatih Putih, adik kepada Bendahara Paduka Tun Perak sebagai Bendahara Melaka yang baru dan dikenali sebagai Bendahara Putih.
Apabila Sultan Mahmud meningkat dewasa, baginda mengahwini saudara sepupunya, anakanda kepada Sultan Pahang, Sultan Muhammad Syah. Mereka dikurniakan dua orang puteri dan seorang putera yang bernama Raja Ahmad. Apabila Bendahara Tun Perpatih Putih meninggal dunia, Sultan Mahmud melantik Tun Mutahir Temenggung Seri Maharaja, adik kepada ibundanya sebagai Bendahara Melaka yang baru dengan gelaran Bendahara Seri Maharaja. Anaknya Tun Hasan pula dilantik menjadi Temenggung dengan gelaran Temenggung Tun Hasan.


Kota Melaka semakin berkembang maju dengan kedatangan pedagang-pedagang asing selepas perlantikan Tun Mutahir. Ini adalah kerana kebijaksanaan dan kelancaran pentadbiran Bendahara Seri Maharaja dan kebolehannya menarik pedagang-pedagang asing untuk datang ke Melaka.
Apabila isteri Sultan Mahmud, puteri Pahang, mangkat, baginda berhasrat untuk mengahwini seorang puteri yang rupawan yang dipercayai tinggal di Gunung Ledang. Puteri itu telah menetapkan beberapa syarat yang perlu ditunaikan oleh Sultan Mahmud sebelum baginda dapat mengahwininya dan syarat-syaratnya termasuklah sejumlah besar emas dan perak serta semangkuk darah Raja Ahmad, putera Sultan yang masih kecil. Oleh kerana tidak sanggup memenuhi syarat yang terakhir itu, Sultan telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan hasratnya mengahwini puteri tersebut. Walau bagaimanapun, sukar untuk dipastikan samada peristiwa ini benar-benar berlaku atau hanya sekadar satu lagenda. Namun, kisah ini kerap diceritakan secara turun temurun di kalangan orang-orang Melayu Melaka dan Johor.
Semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah, Laksamana Hang Tuah telah meninggal dunia pada usia yang lanjut. Beliau telah diberikan acara pengkebumian rasmi dan disemadikan di Tanjung Keling, Melaka. Sultan kemudiannya melantik Khoja Hasan, menantu kepada Hang Tuah sebagai Laksamana Melaka yang baru dan dikenali sebagai Laksamana Khoja Hasan.


Di sekitar tahun 1500, Melaka masih berada di kemuncak kekuasaan dan kegemilangannya. Kota Melaka menjadi pusat empayar Melayu yang unggul dan juga pusat perdagangan bagi kain dari India, tembikar dan sutera dari China dan rempah ratus dari kepulauan Melayu, serta markas aktiviti pengembangan Islam di kepulauan Melayu.
Pada tarikh 11 September 1509, semasa pemerintahan Sultan Mahmud dan Tun Mutahir sebagai Bendahara, satu angkatan Portugis yang terdiri daripada lima buah kapal besar yang diketuai oleh Diego Lopez de Sequeira telah mendarat di pelabuhan Melaka. Kedatangan orang-orang Portugis ini membawa petanda buruk kerana sejurus kemudian bermulalah keruntuhan dan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.

Pemerintah Ketujuh Melaka : Sultan Alauddin Riayat Syah (1477 – 1488)


Selepas kemangkatan Sultan Mansur Syah, anakandanya Raja Hussain telah ditabalkan sebagai pemerintah ketujuh Melaka, menggunakan gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah. Baginda masih muda ketika ditabalkan dan cukup terkenal dengan kekuatan dan keberaniannya. Pada awal pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah, banyak kejadian rompakan dan kecurian telah berlaku di Melaka sehinggakan laporan tentang kejadian sedemikian diterima pada setiap malam. Apabila Sultan dimaklumkan tentang perkara tersebut, baginda bertekad untuk menghapuskan ancaman ini dengan menangkap dan menghukum mereka yang bersalah agar rakyatnya dapat hidup dengan aman.


Semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah, beberapa pemerintah asing termasuklah seorang pemimpin dari Maluku yang telah tewas di tangan musuhnya, seorang pemimpin dari Rokan serta seorang pemimpin dari Terengganu yang bernama Telanai Terengganu, telah datang ke Melaka untuk memberi penghormatan kepada Sultan. Kedatangan mereka telah disambut baik oleh Sultan. Sultan sangat berbesar hati menerima pemerintah dari Maluku itu kerana kemahirannya yang cukup hebat dalam permainan sepak raga.
Pada tahun 1488, setelah memerintah Melaka selama sebelas tahun, Sultan Alauddin Riayat Syah mangkat pada usia tiga puluh tahun. Baginda kemudiannya turut dikenali sebagai Marhum Berdarah Putih dan dimakamkan di Pagoh, berdekatan dengan Muar. Namun, tiada penjelasan mengapa Sultan Alauddin dimakamkan di Pagoh, yang terletak agak jauh dari Melaka. Ini mungkin kerana Pagoh sudah lama mempunyai kaitan dengan pemerintah Melayu di Melaka. Beberapa makam pemerintah Melayu yang lain juga terletak di Pagoh.

Pemerintah Keenam Melaka : Sultan Mansur Syah (1456 – 1477)


Selepas kemangkatan Sultan Muzaffar Syah, anakandanya Raja Abdullah telah ditabalkan menjadi pemerintah keenam Melaka dan dikenali sebagai Sultan Mansur Syah. Sultan Mansur Syah mengahwini Tun Putih Nur Pualam, anak kepada Tun Ali dan telah dikurniakan beberapa orang putera dan puteri. Pada awal pemerintahan baginda di Melaka, Sultan Mansur Syah telah mendengar tentang Pahang, yang ketika itu dikenali sebagai Pura, yang terkenal dengan sungainya yang besar, sumber emas dan hutan yang luas.


Namun begitu, Pura berada di bawah pemerintahan sebuah keluarga diraja Siam dan dikuasai oleh kerajaan Siam. Justeru, baginda membuat keputusan untuk menaklukinya dengan menghantar sebuah angkatan yang terdiri dari dua ratus buah kapal, diketuai oleh Tun Perak dan dibantu oleh Tun Hamzah Datuk Bongkok, pemerintah pasukan tentera darat dan pegawai-pegawai tentera yang lain. Sejurus tiba di Pahang, peperangan meletus di antara orang-orang Pahang dan Melaka. Pahang, yang diperintah oleh Maharaja Dewa Sura, telah dapat dikalahkan dengan mudah dan pemerintahnya terpaksa melarikan diri ke utara Pahang menerusi Sungai Pahang. Walau bagaimanapun, beliau berjaya ditawan oleh pihak Melaka dan diserahkan kepada Tun Ali. Angkatan Melaka telah pulang ke Melaka dengan kemenangan dan membawa bersama mereka Maharaja Dewa Sura dan anaknya, Waning Seri atau Onang Seri yang dipersembahkan kepada Sultan Mansur Syah. Ini merupakan kali pertama Melaka menakluki negeri lain. Sultan Melaka melantik Tun Hamzah Datuk Bongkok sebagai wakil baginda untuk mentadbir negeri Pahang. Puteri Waning Seri telah memeluk agama Islam dengan nama Puteri Lela Wangsa dan berkahwin dengan Sultan Mansur Syah. Selain Pahang, beberapa negeri lain seperti Inderagiri, Palembang, Jambi, Lingga dan Tunggal juga berada di bawah penguasaan kerajaan Melaka.


Pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah, terdapat sembilan orang pemuda yang terkenal dengan keberanian mereka dan oleh itu, telah dilantik oleh Sultan sebagai pegawai tentera baginda. Mereka adalah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hasan dan Husain. Hang Tuah merupakan yang paling cerdik dan berani di antara mereka. Oleh yang demikian, dia telah dianugerahkan gelaran Laksamana oleh Sultan dan dikenali sebagai Laksamana Hang Tuah.
Semasa Sultan Mansur Syah mengadakan lawatan ke Majapahit, beliau telah membawa bersama Laksamana Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Ketibaan mereka telah disambut baik oleh pemerintah Majapahit. Ketika berada di Majapahit, para pegawai tentera Melaka yang terkenal dengan kehebatan mereka, terutamanya Hang Tuah, telah mempamerkan kemahiran mereka dalam penggunaan senjata dan ini telah menarik perhatian penduduk dan pemerintah Majapahit. Pemerintah Majapahit kemudiannya mengahwinkan anaknya, Radin Galuh Cendera Kirana dengan Sultan Mansur Syah. Mereka dianugerahkan seorang putera bernama Radin Kelang. Walau bagaimanapun, Radin Kelang meninggal dunia pada usia remaja akibat ditikam oleh seorang penduduk yang mengamuk di kota Melaka. Pemerintah Majapahit juga telah menyerahkan pemerintahan Inderagiri dan Siatan kepada Sultan Melaka. Ini menguatkan lagi pengaruh Melaka di kawasan tersebut.
Hubungan diplomatik di antara China dan Melaka menjadi lebih akrab pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah. Sultan telah menghantar Tun Perpatih Putih sebagai utusannya ke China dengan membawa warkah baginda kepada Maharaja China. Maharaja China kagum dengan kemashyuran dan keagungan Sultan Mansur Syah lalu memutuskan untuk mengahwinkan puterinya Hang Li Poh dengan Sultan. Seorang pembesar negeri berserta lima ratus dayang-dayang telah mengiringi puteri Hang Li Poh ke Melaka. Setelah Hang Li Poh memeluk Islam, Sultan pun mengahwininya dan membina sebuah istana untuknya di atas sebuah bukit yang sehingga kini dikenali sebagai Bukit Cina.


Walaupun Sultan Mansur Syah mempunyai tanggapan yang tinggi terhadap Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya, satu peristiwa telah berlaku yang menyebabkan baginda murka kepada Hang Tuah. Ianya berpunca dari satu fitnah terhadap Hang Tuah, menuduhnya mengadakan hubungan sulit dengan salah seorang dayang di istana. Lantas, Sultan menitahkan Tun Ali untuk membunuh Hang Tuah. Namun, Tun Ali menganggap Hang Tuah adalah seorang yang mempunyai keperibadian luar biasa dan tidak harus dipersiakan. Lalu, dia memberanikan diri untuk membohongi Sultan. Tun Ali tidak membunuh Hang Tuah, sebaliknya bertindak menyembunyikannya di sebuah kampung yang terpencil dan melarangnya keluar dari kawasan kampung itu. Tun Ali kemudiannya memberitahu Sultan bahawa Hang Tuah sudah dibunuh. Apabila Hang Jebat, sahabat karib Hang Tuah, mendapat berita tersebut, dia begitu marah lalu membuat noda atas seorang dayang di istana. Walaupun Sultan mengarahkan Hang Jebat dibunuh, namun tiada sesiapapun yang berani berhadapan dengannya. Pada ketika itulah, Sultan terkenangkan Hang Tuah kerana sekiranya dia masih hidup, hanya dia sahaja yang mampu mengalahkan dan membunuh Hang Jebat. Tun Ali kemudiannya memberitahu keadaan yang sebenarnya kepada Sultan, bahawa Hang Tuan tidak dibunuh tetapi disembunyikan olehnya. Sultan memerintahkan agar Hang Tuah dibawa keluar dari tempat persembunyiannya untuk membunuh Hang Jebat. Atas perintah Sultan, berlakulah pertarungan di antara dua sahabat karib yang berakhir dengan kematian Hang Jebat di tangan Hang Tuah.


Apabila Melaka semakin makmur dan ekonominya bertambah maju, Sultan Mansur Syah telah membina sebuah istana yang besar lagi indah di kaki Bukit Melaka. Istana itu merupakan kebanggaan kerajaan Melayu kerana ianya bukan sahaja melambangkan kekayaan, kemajuan dan kekuasaan Melaka malah turut mempamerkan kecemerlangan dan keistimewaan ciri-ciri senibina Melayu. Istana tersebut telah dibina oleh tukang-tukang kayu Melayu di bawah arahan Tun Perak. Walau bagaimanapun, istana tersebut telah hangus di dalam satu kebakaran tidak lama selepas Sultan Mansur Syah mendiaminya. Namun barang-barang berharga yang berada di dalam istana itu sempat diselamatkan oleh pegawai-pegawai istana. Sultan kemudiannya telah mengeluarkan perintah untuk membina sebuah istana baru sebesar dan seindah istana dahulu. Setelah ianya siap dibina, Sultan mendiami istana baru itu.
Melaka telah mencapai kemuncak kegemilangannya sebagai sebuah empayar pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah. Ia bukan sahaja kaya dan makmur hasil dari kemajuan perdagangannya, malah ia telah berjaya menakluki beberapa buah negeri di kepulauan Melayu sebagai jajahan empayarnya. Pemerintah dari negeri-negeri ini akan datang ke Melaka selepas perlantikan mereka bagi mendapatkan restu dari Sultan Melaka. Mana-mana pemerintah yang telah digulingkan di negeri sendiri turut datang ke Melaka bagi mendapatkan bantuan Sultan untuk memperolehi kembali kekuasaan mereka. Salah satu contoh adalah ketika Sultan Zainal Abidin, pemerintah di Pasai yang telah digulingkan oleh kaum kerabatnya sendiri, telah datang ke Melaka dan merayu kepada Sultan Mansur Syah untuk membantunya mendapatkan semula takhtanya. Sultan menghantar sepasukan tenteranya ke Pasai, yang kemudiannya berjaya mengalahkan orang Pasai. Justeru, Sultan pun melantik semula Sultan Zainal Abidin sebagai pemerintah di Pasai. Walaupun kemenangan ini tidak menjanjikan kesetiaan pemerintah di Pasai kepada Melaka, ianya jelas mempamerkan keupayaan dan keadilan Sultan Melaka dan juga sikap saling membantu yang wujud di antara pemerintah dan kerajaan.


Kekuatan politik Melaka dapat dilihat melalui suatu peristiwa yang berlaku dalam sebuah permainan bola raga, di mana sepakan bola Tun Besar, iaitu anak Tun Perak, secara tidak sengaja terkena Raja Mohammad, anakanda Sultan Mansur Syah. Bola itu terkena tanjak Raja Mohammad, lalu ia jatuh ke tanah. Dalam kemarahan, Raja Mohammad dengan serta-merta menikam dan membunuh Tun Besar. Kejadian ini telah mencetuskan kemarahan di kalangan ahli keluarga Tun Besar yang mahu membalas dendam dengan membunuh Raja Mohammad. Namun demikian, Tun Perak telah berjaya menghalang mereka dari meneruskan tindakan khianat itu dengan mengisytiharkan bahawa dia tidak lagi dapat menerima Raja Mohammad sebagai pewaris kepada Sultan. Akibat dari peristiwa ini, Sultan Mansur Syah mengarahkan anakandanya itu meninggalkan Melaka dengan melantiknya sebagai pemerintah di Pahang. Peristiwa ini jelas menunjukkan kesetiaan Tun Perak kepada Sultan, keadilan Sultan kepada rakyatnya, kasih sayang baginda kepada anakandanya, perlaksanaan hukuman ke atas pesalah serta kekuatan seorang Sultan yang ditaati.


Melaka mencapai kegemilangannya pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah. Ramai peniaga dan pedagang dari merata tempat, telah datang ke Melaka untuk berniaga. Melaka juga merupakan sebuah pusat pengembangan ajaran Islam di kepulauan Melayu. Banyak negeri di semenanjung tanah Melayu, kepulauan Riau-Lingga dan Sumatra berada di bawah naungan Melaka, antaranya ialah Pahang, Sungai Ujung, Jeram, Langat, Inderagiri, Palembang, Jambi, Lingga, Tungkal, Siantan, Brunei, Bentan, Kampar dan Siak.
Namun, ketika Melaka berada di kemuncak kecemerlangannya, Sultan Mansur Syah telah mangkat pada tahun 1477 setelah memerintah Melaka selama dua puluh satu tahun. Baginda sememangnya termasyhur sebagai seorang pemerintah Melayu yang banyak menyumbang dalam mempertahankan kedaulatan Melayu.

Pemerintah Kelima Melaka : Sultan Muzaffar Syah (1446 – 1456)


Raja Kassim, anakanda Sultan Muhammad Syah bersama Tun Wati, telah ditabalkan sebagai pemerintah kelima Melaka setelah kemangkatan Sultan Abu Syahid. Baginda bergelar Sultan Muzaffar Syah. Setelah pertabalan baginda sebagai pemerintah Melaka, Sultan Muzaffar Syah telah mengarahkan pegawai kanannya untuk melaksanakan segala adat istiadat, tradisi dan larangan yang diperkenalkan oleh almarhum ayahandanya. Sultan Muzaffar Syah mengahwini anak Seri Amar Diraja, iaitu Perdana Menteri ketika itu dan dikurniakan seorang putera bernama Raja Abdullah.


Apabila Bendahara Seri Wak Raja (I) meninggal dunia, Sultan telah melantik Tun Perpatih Serdang, anak kepada Allahyarham Bendahara, sebagai Bendahara Melaka dan diberi gelaran Seri Wak Raja (II). Akan tetapi, Seri Wak Raja (II) telah mengambil nyawanya sendiri dengan meminum racun apabila beliau tersalah anggap yang Sultan telah murka kepadanya. Beliau meninggalkan seorang anak perempuan, Tun Kudu dan dua anak lelaki, Tun Perak dan Tun Perpatih Putih. Sultan Muzaffar Syah kemudiannya mengahwini Tun Kudu. Tun Perak yang pada ketika itu tidak memegang sebarang jawatan di Melaka telah dihantar oleh Sultan Muzaffar Syah untuk mejadi ketua di Kelang. Seri Nara Diraja pula memegang jawatan sebagai Bendahara Melaka.


Ancaman yang mendatang dari Ayuthia, ibu negara Siam, menjadi kenyataan dengan terjadinya serangan ke atas Melaka melalui jalan darat pada tahun 1446. Tun Perak membawa orang-orangnya dari Kelang ke Melaka untuk menangkis serangan Siam. Daya pertimbangan dan kepimpinan beliau yang hebat telah menarik perhatian Sultan. Baginda yang mempunyai harapan yang tinggi untuk melihat Melaka terus berkembang maju, telah melantik Tun Perak sebagai Bendahara.


Peningkatan Tun Perak di persada politik telah mencetuskan ketegangan di antara beliau dan Tun Ali. Melihat persengketaan di antara dua pemimpin kesayangannya ini boleh membawa kepada perpecahan di kalangan penduduk Melaka, Sultan Muzaffar Syah telah mengadakan perbincangan dengan Tun Ali, yang merupakan seorang duda yang telah berumur pada ketika itu. Tun Ali bersetuju untuk meneruskan peranannya dengan syarat beliau dibenarkan untuk mengahwini Tun Kudu, yang merupakan salah seorang isteri Sultan. Sultan Muzaffar Syah berkenan untuk menceraikan isterinya itu demi kestabilan politik dan Tun Kudu juga telah bersetuju untuk berkahwin dengan Tun Ali, demi kesejahteraan negara. Pengorbanan Sultan Muzaffar Syah dan Tun Kudu tidak sia-sia. Tun Ali dan Tun Perak menjadi sahabat karib dan sentiasa berkerjasama dalam membangunkan Melaka. Tidak lama kemudian, Tun Ali sendiri memohon kepada Sultan untuk melantik Tun Perak sebagai Bendahara. Justeru, Sultan telah melantik Tun Perak sebagai Bendahara dengan gelaran Paduka Raja di sekitar tahun 1456.


Kerajaan Siam, yang berpusat di Ayuthia, berazam untuk menakluki Melaka walaupun serangan mereka sebelum ini melalui jalan darat telah berakhir dengan kekalahan di pihak mereka. Pada tahun 1456, sewaktu pemerintahan Raja Boromo Trilokanat, Siam telah membuat rancangan untuk menyerang Melaka melalui laut. Apabila Kerajaan Melaka mengetahui tentang rancangan ini, ia telah mempersiapkan angkatan lautnya dan membuat keputusan untuk mematahkan serangan Siam di Batu Pahat. Angkatan tersebut diketuai oleh Tun Perak dan dibantu oleh Tun Hamzah, seorang pahlawan yang digelar Datuk Bongkok. Satu pertempuran sengit telah berlaku di antara kedua belah pihak dan ini merupakan peperangan yang pertama bagi Melaka. Namun demikian, Melaka yang mempunyai kelebihan dari segi kemahiran dan pengetahuan telah berjaya menghalau angkatan Siam hingga ke Singapura dan seterusnya memaksa mereka pulang. Kemenangan Melaka dalam peperangan ini telah menyuntik semangat baru dalam menyusun strategi untuk mengembangkan pengaruhnya di kepulauan Melayu. Kemenangan ke atas Siam juga telah membawa kepada kestabilan politik di Melaka dan mengukuhkan lagi reputasinya di Asia Tenggara. Namun demikian, Sultan Muzaffar Syah telah mangkat selepas serangan dari Siam itu pada tahun 1456.

Pemerintah Keempat Melaka : Sultan Abu Syahid (1445 – 1446)


Setelah kemangkatan Sultan Muhammad Syah pada tahun 1445, Raja Ibrahim, anakandanya bersama Puteri Rokan, telah ditabalkan sebagai pemerintah keempat Melaka dan diberi gelaran Sultan Abu Syahid. Tun Ali telah dilantik sebagai Bendahari Melaka bergelar Seri Nara Diraja, menggantikan datuknya Seri Nara Diraja Tun Perpatih Besar. Walaupun Sultan Abu Syahid merupakan pemerintah Melaka, kuasa pemerintahan sebenarnya terletak di tangan Raja Rokan, sepupu ibundanya yang telah datang menetap di Melaka sewaktu pemerintahan Sultan Muhammad Syah. Dalam jangkamasa tersebut, Melaka seolah-olah diperintah oleh Raja Rokan yang sentiasa berdamping dengan Sultan Abu Syahid. Akibatnya, pegawai-pegawai kanan Melaka mula membenci Raja Rokan. Raja Rokan tidak membenarkan Raja Kassim, anakanda Sultan Muhammad Syah bersama Tun Wati, menetap di istana. Raja Kassim telah dipaksa untuk meninggalkan istana dan meneruskan hidup sebagai seorang nelayan. Tiada sesiapapun, melainkan memandanya Tun Ali, yang mengambil berat terhadap dirinya dan melindunginya dari sebarang ancaman.


Justeru, Raja Kassim kemudiannya telah berpakat dengan memandanya Seri Nara Diraja untuk menentang Raja Rokan. Perancangan mereka mendapat sambutan yang baik di kalangan penduduk Melaka yang sememangnya tidak menyukai Raja Rokan. Seri Nara Diraja dan Raja Kassim juga telah memperdaya Bendahara Melaka untuk menyebelahi mereka. Satu serangan telah dilakukan pada waktu malam di istana, dan terjadilah satu pertarungan diantara pengikut Sultan Abu Syahid dan penduduk Melaka yang diketuai oleh Raja Kassim, Bendahara dan Seri Nara Diraja Tun Ali. Sewaktu serangan tersebut, Raja Kassim dan Seri Nara Diraja Tun Ali cuba untuk memisahkan Sultan Abu Syahid daripada Raja Rokan, tetapi tidak berjaya. Apabila Raja Rokan ditikam oleh salah seorang penyerang, dia dengan pantas bertindak balas menikam Sultan Abu Syahid. Akibatnya, kedua-dua Sultan Abu Syahid dan Raja Rokan telah terbunuh dalam serangan itu, yang berlaku pada tahun 1447. Kemangkatan Sultan Abu Syahid, walaupun tidak dirancang, merupakan perkembangan yang penting dalam sejarah Melaka kerana ia telah memastikan kesinambungan dan kestabilan politik di Melaka.

Pemerintah Ketiga Melaka : Sultan Maharaja (Raja Tengah) atau Sultan Muhammad Syah (1424 – 1445)


Pada tahun 1424, selepas kemangkatan Sultan Megat Iskandar Syah, putera baginda Raja Tengah, juga dikenali sebagai Radin Tengah, telah ditabalkan sebagai pemerintah ketiga Melaka. Pada tahun yang sama, Raja Tengah dan permaisurinya mengadakan lawatan pertama mereka ke China bagi tujuan memaklumkan kepada Maharaja China tentang kemangkatan ayahandanya dan juga pertabalan baginda sebagai Sultan. Pada tahun 1433, Raja Tengah bersama permaisuri, putera-puteri dan adindanya bernama Radin Bala berserta rombongan diraja seramai 228 orang berangkat ke China mengikuti angkatan laut Cheng Ho. Mereka telah tinggal di China selama dua tahun. Bermula dari tahun 1434, kerajaan China telah membuat perubahan polisi dengan mengurangkan tumpuan terhadap negara-negara lain termasuk Asia Tenggara.


Pada zaman pemerintahan Raja Tengah, seorang tokoh agama bernama Saiyid Abdul Aziz telah datang ke Melaka untuk mengembangkan ajaran Islam. Sultan Melaka dan pegawai-pegawai kanannya serta orang-orang Melayu Melaka menerima ajarannya. Dia juga mencadangkan agar Raja Tengah menggunakan nama Islam iaitu Sultan Muhammad Syah. Sejurus kemudian, Sultan Muhammad Syah telah melantik beberapa orang pegawai kanan yang bertanggungjawab dalam pentadbiran dalaman. Di antara mereka yang dilantik adalah seorang Bendahara, yang digelar Seri Wak Raja; adinda Sultan Radin Amin dilantik sebagai Perdana Menteri dan diberi gelaran Seri Amar Diraja. Tun Perpatih Besar, anak Tun Perpatih Permuka Berjajar dari Singapura, dilantik sebagai Bendahari dengan gelaran Seri Nara Diraja. Seri Nara Diraja telah mengahwini anak kepada Seri Wak Raja dan mendapat seorang anak perempuan bernama Tun Ratna Sandari.


Mani Purindan, orang kaya dari India telah datang ke Melaka berserta angkatan tujuh buah kapal dan telah disambut dengan baik oleh Sultan Muhammad Syah yang menganggap tarafnya seperti seorang menteri. Mani Purindan kemudiannya menjadi menantu kepada Seri Nara Diraja apabila berkahwin dengan anaknya Tun Ratna Sandari. Mereka mendapat seorang anak lelaki bernama Tun Ali dan seorang anak perempuan bernama Tun Wati. Tun Wati pula telah dikahwinkan dengan Sultan Muhammad Syah dan dikurniakan seorang putera bernama Raja Kassim. Sultan Muhammad Syah kemudiannya berkahwin dengan anak perempuan kepada pemerintah Rokan dan dikurniakan seorang putera bernama Raja Ibrahim. Walaupun Raja Ibrahim lebih muda dari Raja Kassim, beliau telah dilantik menjadi Raja Muda Melaka oleh Sultan Muhammad Syah atas permintaan ibundanya, iaitu puteri Rokan, yang merupakan Sultanah Melaka. Pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Syah juga, Tun Ali, anak Mani Purindan, dilantik sebagai Bendahari Melaka bergelar Seri Nara Diraja, menggantikan datuknya Seri Nara Diraja Tun Perpatih Besar.


Di samping membuat perlantikan beberapa orang pegawai kanan, Sultan Muhammad Syah juga merupakan pemerintah pertama memperkenalkan pelbagai adat resam dan larangan terhadap darjat Diraja di Melaka. Di antara adat resam itu ialah penggunaan payung, persidangan di istana, pemberian hormat, tatacara kedatangan dan pemergian perwakilan, penganugerahan darjah, keberangkatan diraja, upacara menghadap diraja, upacara santapan diraja, keberangkatan diraja ke masjid dan sambutan Hari Raya.


Di antara larangan yang dikeluarkan kepada orang kebanyakan oleh Sultan Muhammad Syah termasuklah penggunaan warna dan bahan kuning, pembinaan rumah atau sampan, pemakaian keris, emas dan perhiasan serta jenis pakaian yang boleh dipakai oleh orang kebanyakan. Barangsiapa yang tidak mematuhi larangan yang dikeluarkan akan dikenakan denda yang dipanggil denda pati. Adat dan larangan yang diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Syah masih digunapakai oleh pemerintah Melayu sehingga kini akan tetapi pada tahap yang lebih ringan.


Pada tahun 1444, Sultan Muhammad Syah telah mangkat setelah memerintah Melaka selama dua puluh tahun. Beliau telah meninggalkan dua orang putera iaitu Raja Kassim, anakandanya bersama Tun Wati dan Raja Ibrahim, anakandanya bersama puteri Rokan.

Pemerintah Kedua Melaka : Sultan Megat Iskandar Syah (1414 - 1424)


Selepas kemangkatan Parameswara pada tahun 1414, baginda telah digantikan oleh anakandanya Raja Ahmad yang juga dikenali dengan nama Raja Besar Muda sebagai pemerintah kedua Melaka. Baginda digelar Sultan Megat Iskandar Syah. Sepanjang pemerintahannya, baginda telah membuat dua lawatan ke China bagi mendapatkan pengiktirafan dari Maharaja China serta mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemerintah Melaka.


Melaka terus berkembang maju di bawah pemerintahan Sultan Megat Iskandar Syah. Dua kawasan perlombongan bijih timah dijumpai di bahagian utara Melaka di mana kawasan ini dikawal rapi oleh pengawal diraja. Pada ketika itu, bijih timah digunakan sebagai matawang di Melaka. Kebanyakan daripada tongkang dari China yang singgah di Melaka dikenakan cukai. Kayu arang dan damar dihasilkan di kawasan hutan. Pokok sagu boleh didapati di ladang-ladang sementara di kawasan muara dan pantai pula dipenuhi oleh pokok nipah. Pelbagai jenis tanaman seperti pisang, tebu, ubi keledek, ubi keladi, nenas dan ubi kentang diusahakan serta berbagai jenis sayuran seperti bawang, halia, sawi, labu dan tembikai juga ditanam. Binatang ternakan seperti itik, ayam, kerbau dan kambing turut diternak. Akan tetapi, penternakan kerbau dan kambing sangat jarang pada ketika itu, disebabkan oleh harga pasaran yang tinggi. Kota Melaka dilindungi oleh tembok yang dibina sepanjang kawasan pantai. Tembok tersebut mempunyai empat buah pintu yang setiapnya dikawal rapi oleh para pengawal. Sebuah kubu berpagar turut dibina di dalam kawasan kota Melaka di mana beberapa gudang digunakan sebagai pusat perbendaharaan dan pembekalan kerajaan.


Sultan Megat Iskandar Syah bersama permaisuri, putera dan pegawai-pegawai kanannya telah mengadakan lawatan rasmi kedua ke China. Semasa lawatan tersebut, Sultan Melaka telah memohon bantuan daripada Maharaja China bagi menentang kekerasan dari pihak kerajaan Siam. Sehubungan itu, pada tahun 1419, Maharaja China telah menghantar perwakilannya ke Siam untuk memberi amaran agar tidak mengganggu Melaka. Hubungan di antara Maharaja China dan Sultan Melaka juga turut diperkukuhkan lagi dengan penghantaran beberapa perwakilan yang diketuai oleh putera-putera Melaka pada tahun 1420, 1421 dan 1423. Pada tahun 1424, Sultan Megat Iskandar Syah telah mangkat.

Pemerintah Pertama Melaka : Parameswara (1394 - 1414)


Parameswara merupakan seorang putera raja dari Palembang. Pada tahun 1390, baginda telah berkahwin dengan seorang puteri kepada Maharaja Majapahit dan menjadi pendukung setia kepada bapa mertuanya. Tidak lama kemudian, Parameswara telah mengingkari janji setianya kepada Maharaja Majapahit, yang terus menghantar panglima perangnya untuk menghalau Parameswara dari Sumatera. Parameswara melarikan diri ke Tumasek, iaitu nama lama Singapura bersama kaum keluarga dan pengikutnya. Pada waktu itu, Singapura di perintah oleh seorang Gabenor Melayu dari Patani yang dilantik oleh Raja Siam. Gabenor tersebut telah memberikan layanan yang baik kepada Parameswara tetapi Parameswara telah membunuh Gabenor itu beberapa hari kemudian dan mengisytiharkan dirinya sebagai Pemerintah Singapura dan pulau-pulau di sekelilingnya. Parameswara telah memerintah Singapura selama lima tahun dengan cara pemerintahan seumpama seorang ketua lanun.


Pada pertengahan kurun ke-14, Kerajaan Siam yang pada ketika itu sedang mengembangkan kuasa jajahannya di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu hingga ke negeri Pahang, telah gagal untuk meluaskan kekuasaannya di Singapura walaupun beberapa percubaan telah dibuat untuk menyerang Singapura. Ini adalah kerana pada ketika itu kerajaan Majapahit berada di kemuncak kekuasaannya dan kekuatannya pula ditakuti oleh kerajaaan lain di kepulauan Melayu. Beberapa negeri di sepanjang Selat Melaka termasuk Tumasek atau sekarang ini Singapura, berada di bawah kekuasaan Majapahit. Sebuah angkatan laut Jawa dari Majapahit pernah menyerang Singapura semasa pemerintahan Parameswara. Setelah mengalahkan Singapura, mereka telah kembali ke tanah Jawa. Adalah dipercayai bahawa serangan yang dilakukan oleh Majapahit ke atas Singapura bukanlah faktor kejatuhan kerajaan Singapura dan larinya Parameswara dari Singapura tetapi sebaliknya Parameswara terus memerintah kerajaannya yang semakin merosot.


Apabila Parameswara gagal menubuhkan sebuah kerajaan di dua buah tempat di Muar, iaitu di Biawak Busuk dan Kota Buruk, baginda telah membawa pengikutnya ke suatu tempat yang bernama Sening Ujung atau sekarang ini dikenali sebagai Sungei Ujong. Parameswara meneruskan perjalanannya hingga sampai ke muara Sungai Bertam, di mana baginda telah menubuhkan kerajaan Melaka dan menjadi pemerintah pertama sekitar tahun 1394. Walau bagaimanapun, pada ketika itu, Parameswara masih lagi menganut agama Hindu. Justeru, penubuhan kerajaan Melayu di Melaka merupakan kesinambungan daripada kerajaan Melayu di Singapura yang telah jatuh.


Selepas Melaka ditubuhkan, Parameswara mula membangunkan kawasan itu dan mengarahkan penduduknya untuk bercucuk-tanam dengan tanaman pisang, tebu, ubi keladi dan lain-lain tanaman sebagai sumber makanan. Baginda sendiri turut menjalankan perniagaan di Melaka. Dalam masa yang singkat, berita tentang kota Melaka telah tersebar ke seluruh Malaya, Sumatera, Jawa dan India, yang menyebabkan ramai pedagang datang ke Melaka untuk berdagang. Dua tahun selepas Parameswara membuka Melaka, penduduknya telah berkembang seramai dua ribu orang.


Tidak lama kemudian, berita tentang kota Melaka yang menjadi sebuah pusat perdagangan telah sampai ke China. Yung-Lo, Maharaja China yang memerintah dari tahun 1402 sehingga tahun 1424, telah menghantar utusannya yang bernama Ying Ching ke Melaka pada tahun 1405. Kedatangan Ying Ching telah membuka jalan dalam membentuk hubungan persahabatan di antara Melaka dan China. Pedagang-pedagang Cina mula singgah di pelabuhan Melaka dan mereka boleh dikatakan antara pedagang yang paling awal menubuh pengkalan di Melaka. Ketika perwakilan dari Melaka mengadakan lawatan hormat kepada Maharaja China, baginda telah memuji Parameswara dan mengiktiraf Parameswara sebagai pemerintah yang sah di Melaka. Maharaja Yung Lo kemudiannya menghadiahkan Parameswara dengan sebuah lambang kebesaran, sutera dan sekaki payung kuning sebagai tanda kerabat diraja, serta sepucuk watikah pelantikan Parameswara sebagai pemerintah Melaka. Melaka seterusnya diiktiraf sebagai sebuah kerajaan oleh Maharaja China. Perwakilan tersebut telah pulang ke Melaka bersama sebuah angkatan kapal yang diketuai oleh Laksamana Cheng Ho, orang Cina yang pertama berlayar dan mengembara ke kawasan selatan ini.


Pada zaman pemerintahan Parameswara inilah, ramai orang Jawa, India, Cina, Burma dan lain-lain telah datang untuk menetap di Melaka. Pada tahun 1409, Parameswara telah memeluk agama Islam dan menggunakan nama Parameswara Iskandar Syah. Dua tahun kemudian, pada tahun 1411, Parameswara Iskandar Syah bersama permaisurinya, puteranya serta rombongan diraja seramai 540 orang telah berangkat ke China mengikuti Laksamana Cheng Ho untuk mengadakan lawatan hormat kepada Maharaja Yung Lo.


Pada tahun 1414, Parameswara telah mangkat dan makamnya dipercayai terletak di puncak sebuah bukit di Tanjung Tuan, yang juga dikenali sebagai Cape Rachado. Parameswara telah menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan yang maju sepanjang pemerintahanannya selama dua puluh tahun. Baginda juga telah menjalinkan hubungan yang kukuh dengan Maharaja China dengan menghantar seramai enam orang utusan/perwakilan ke China.

Filem Hang Jebat (1961)


Filem Hang Jebat mengisahkan pengorbanan seorang sahabat yang menuntut bela atas kematian sahabatnya Hang Tuah. Kisah ini juga menceritakan lagenda Hang Tuah dan sahabat-sahabat karibnaya iaitu Hang Jebat, Hang Lekiu, Hang Kasturi, dan Hang Lekir. Hang Jebat merupakan sahabat yang paling rapat dan dianggap saudara kandung oleh Hang Tuah. Pada suatu masa Hang Tuah Telah difitnah atas angkara Tun Teja dan Pateh Karmawijaya seterusnya dihukum bunuh oleh sultan. Oleh kerana itu, Hang jebat telah bersumpah akan menuntut bela atas kematian Hang Tuah. Beliau telah melakukan apa sahaja yang disukainya kerana menuntut keadilan daripada sultan dan seterusnya telah dibunuh oleh sahabatnya karibnya sendiri yang disangka sudah mati.

Dari segi pengolahan cerita, Filem Hang Jebat ini merupakan genre drama dan aksi. Merupakan filem pertama arahan Hussein Hanif. Pelakon-pelakon yang dibintangi oleh Nordin Ahmad sebagai Hang Jebat, M. Amin sebagai Hang Tuah, Latifah Omar sebagai Dang Baru, Mahmud June sebagai Pateh Karmawijaya, Rosnani Jamil sebagai Pemaisuri serta dibantu oleh Abdullah Sani dan Siput Sarawak. Corak filem ini ialah hitam putih dan disampaikan dalam bahasa melayu. Filem ini cuba menggambarkan kisah sejarah Zaman Kesultanan Melayu Melaka dan Zaman Kegemilangan Laksamana Hang Tuah. Filem ini juga mempunyai pertalian cerita dengan filem Hang Tuah pada Tahun 1956 yang dibintangi oleh P. Ramli tetapi filem ini mengetengahkan watak Hang Jebat sebagai watak utama berbanding dengan filem Hang Tuah.

Terdapat banyak persoalan-persoalan yang dibangkitkan dalam kisah Hang Jebat ini antaranya keadilan, kesetiaan, percintaan dan tanggung jawab. Hang Jebat berasa marah terhadap sultan dan menganggap sultan tidak adil. Hal ini disebabkan sultan telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Tuah tanpa usul periksa yang mana pada asalnya Tuah telah difitnah melakukan kesalahan. Hang Jebat telah menunjukkan kesetiaan persahabatannya dengan Tuah walaupun beliau sendiri dibunuh dengan rela oleh Tuah. Tuah pula menunjukkan kesetiaannya pada sultan walaupun dihukum bunuh. Percintaan antara Jebat dan Dang Baru menimbulkan persoalan dan pada akhir kisah, persoalan ini terjawab dimana mereka telah bernikah secara rahsia. Hang Jebat merupakan seorang yang amat bertanggungjawab. Hal ini ditunjukkan semasa pemergian Tuah, beliu sering menjenguk keluarga Tuah. Selain itu beliau juga amat mengasihani orang-orang miskin kampung dan membantu mereka dalam apa jua perkara. Beliau telah memanggil orang-orang miskin dan mengagih-agihkan harta sultan dan mengadakan jamuan serta hiburan semasa ketiadaan sultan.

Personaliti Jebat.
Hang Jebat merupakan watak utama dalam siri tersebut. Perwatakannya ialah seorang yang gagah, kacak, berani baik hati serta sopan santun. Hal ini terbukti dimana beliau memainkan peranan sebagai "super hero" yang memperjuangkan keadilan dan menuntut hak-hak kemanusiaan daripada sultan. Beliau juga mempunyai sopan santun dimana beliau menghormati tetamu dan sanggup menangguhkan pertarungannya dengan Tuah semata-mata menyuruh orang-orang yang berada di dalam rumah supaya keluar.Hang Tuah merupakan watak pembantu dalam siri ini. Perwatakannya hampir sama dengan Jebat, tetapi kesetiaannya kepada sultan amat kurang disenangi oleh penonton. Beliau sanggup menerima hukuman yang dijatuhkan oleh sultan walaupun menyedari dirinya tidak bersalah. Selain itu, beliau sanggup menerima arahan yang diberikan sultan supaya membunuh Jebat walaupun menyedari bahawa Jebat merupakan sahabat karibnya yang sudah dianggap saudara kandung.Watak Dang Baru dalam siri ini telah mengisi ruang kepada watak heroin. Perwatakannya yang lemah lembut dan sanggup berkorban demi orang tercinta menyebabkan Jebat jatuh hati kepadanya seterusnya menjalinkan hubungan secara rahsia.

Watak sultan dalam siri ini merupakan simbul kepada Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Perwatakannya juga kurang disukai penonton kerana beliau mudah percaya kepada sesuatu perkara dan selalu terburu-buru. Hal ini ditunjukkan semasa beliau menjatuhkan hukuman bunuh terhadap tuah tanpa membuat usul periksa terlebih dahulu.

Pateh Karmawijaya merupakan watak jahat dalam siri ini. Perwatakan yang bengis, pendengki dan penghasut telah menimbulkan kekacauan dalam negeri melaka. Beliau telah menfitnah Hang Tuah sehingga dijatuhkan hukuman bunuh dan menimbulkan kekacauan dalam kampung.

Selain itu watak-watak lain dalam siri ini bertujuan sebagai penyokong kepada watak-watak utama untuk mewujudkan suasana cerita.

Pemaparan masyarakat sekitar dalam kisah Hang Jebat ini, terdapat tiga golongan masyarakat iaitu Sultan, golongan pembesar dan rakyat biasa. Sultan merupakan orang yang paling disanjungi oleh rakyat dan tugasnya memerintah negeri samada secara adil atau pun sebaliknya. Dalam siri Hang Jebat ini, sultan memerintah dengan tidak adil kerana mudah terpengaruh dengan hasutan dan membuat keputusan dengan tergesa-gesa.

Selain itu golongan pembesar-pembesar turut memainkan peranan dalam masyarakat, misalnya menjaga keselamatan dalam negeri. Mengikut sejarah, negeri Melaka memang terkenal pada masa dahulu dimana negeri ini merupakan sebuah pusat perdagangan. Oleh itu, pembesar-pembesar dilantik supaya dapat mentadbir segala urusan negeri. Dalam siri Hang Jebat ini terdapat pembesar yang iri hati dengan pembesar lain. Hal ini ditunjukkan dimana Pateh Karmawijaya iri hati dengan jawatan Laksamana yang disandang oleh Hang Tuah.Golongan rakyat biasa memainkan peranan penting dalam sesuatu kelompok masyarakat. Mereka ini terdiri daripada golongan petani, nelayan, pandai tukang dan sebagainya. Dalam siri ini terdapat banyak latar lokasi dan visual yang menggambarkan mayarakat pada masa itu. Antaranya, menunjukkan lokasi pantai yang berlumpur dan terdapat beberapa perahu, ini menunjukkan masyarakat pada masa itu menjalankan kegiatan menangkap dan memungut hasil laut.Selain itu, bangunan istana yang indah dihiasi dengan ukiran-ukiran pada kayu menunjukkan pada masa itu wujud pandai-pandai kayu yang terdiri daripada golongan rakyat biasa. Selain itu, ukiran kayu yang menunjukkan kalimah ALLAH menunjukkan masyarakat pada masa itu sudah menerima ajaran Islam. Menurut sejarah, ajaran Islam telah dibawa ke Melaka semasa kegiatan perdagangan yang begitu pesat oleh pedagang-pedagang dari Asia Timur. Pemaparan latar ruang dan masa. Latar ruang yang ditunjukkan dalam siri Hang jebat ini, banyak menunjukkan ruang lebih kepada kawasan istana dan sedikit sebanyak dikawasan kampung. Hal ini banyak ditunjukkan misalnya, semasa majlis perlantikan Jebat sebagai Laksamana dan upacara-upacara hiburan di istana seperti tarian. Selain itu, tempat pertarungan antara Jebat dan Tuah juga berlaku di istana. Terdapat juga pemaparan latar ruang di kawasan perkampungan. Semasa adegan amuk Jebat, beliau mengelilingi kampung dan membunuh sesiapa sahaja yang menghalangnya. Di sini dapat digambarkan bahawa latar ruang sebuah kampung mempunyai rumah yang dibuat daripada kayu dan beratapkan nipah.

Terdapat unsur-unsur visual yang mempekuatkan olahan cerita ini. Antaranya, watak Hang Jebat diberi watak sebagai "super hero". Hal ini dapat dikesan beberapa kali, apabila kamera berada di sudut bawah Hang jebat. Ini menampakkan Hang Jebat besar mengatasi unsur-unsur alam yang lain. Selain itu, kekerapan pergerakan kamera ke arah kanan semasa memfokuskan watak Hang Jebat. Hal ini menunjukkan watak Jebat dalam siri ini merupakan watak yang suci dan tiada pengaruh jahat dalam dirinya. Antaranya ialah, semasa pertarungannya dengan Hang Tuah, pergerakan kamera berterusan ke arah kanan, ini menunjukkan watak Jebat merupakan watak suci serta tiada unsur-unsur jahat yang mempengaruhi pertarungan mereka dan daripada dialog semasa pertarungannya, beliau sering menyatakan beliau menuntut bela ke atas diri Tuah dan pengorbanannya selama ini adalah sia-sia.

Selain itu, kekerapan memaparkan senjata seperti tombak dan keris. Hal ini menunjukkan tombak sebagai simbol keselamatan kerana senjata ini merupakan senjata bagi pengawal. Pemaparannya kerap di tunjukkan semasa di istana, ini menunjukkan sultan merupakan orang tidak akan diancam oleh sesiapa pun kerana golongan ini mempunyai pelindung yang cekap dan kuat. Turut di perbesar-besarkan juga Keris Taming Sari yang merupakan simbol kekuatan kepada pemiliknya. Hal ini ditunjukkan semasa pertarungan antara Tuah dan Jebat, Tuah telah menyatakan bahawa beliau tidak mampu membunuh Jebat selagi keris itu tidak berada pada genggamannya.Pemaparan ukuran-ukiran pada dinding istana juga merupakan unsur yang menunjukkan orang melayu merupakan masyarakat yang kreatif. Kesenian melayu ini dapat dilakukan oleh pandai kayu yang mahir. Motif-motif pada ukiran yang mempunyai makna yang tersendiri misalnya 'motif awan larat' memberi pengertian bersatu padu dalam masyarakat Melayu.

Pemaparan cuaca mendung di waktu pagi semasa pertarungan antara Jebat dan Tuah telah menunjukkan sesuatu yang buruk akan berlaku. Hal ini ditunjukkan selepas Jebat terkena tikaman Taming Sari, beliau telah amuk satu kampung dan menyebabkan ramai yang terbunuh kerana cuba mengancamnya.

Montaj Pemaparan air laut semasa Jebat dan Dang Baru berdua-duaan pada waktu malam secara rahsia. Pemaparan ini membayangkan semasa mereka berdua sedang bermesra diibaratkan mereka sedang berlayar dilautan.

Pemaparan watak Jebat semasa mengalami kecederaan yang parah selepas ditikam oleh Tuah. Tubuh dan pakaiannya dibasahi dengan darah, tetapi beliau masih mampu berjalan menuju ke rumah Tuah semata-mata ingin memohon kemaafan yang telah dilakukan semasa mereka bersama.

Kesimpulannya.
Mesej yang cuba disampaikan dalam siri Hang Jebat ini ialah, "tiada kuat yang takkan patah". Hal ini ditunjukkan melalui watak Jebat yang handal, akhirnya diikalahkan oleh Tuah. Selain itu ungkapan "buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali" turut digambarkan melalui watak Tuah yang membuat kebaikan dan berjasa kepada sultan akhirnya terfitnah, dianggap sultan sebagai membuat perkara yang jahat seterusnya di hukum bunuh. Mesej yang cuba disampaikan juga ialah berfikir sebelum bertidak, dapat digambarkan melalui watak sultan yang terburu-buru menjatuhkan hukuman terhadap Hang Tuah tanpa membuat usul periksa. Peribahasa "sesal dahulu pandapatan, sesal kemudian tiada gunanya", digambarkan melalui watak Hang Tuah yang telah terburu-buru menunaikan arahan sultan yang mengarahkannya membunuh Jebat, dab pada akhirnya menyesal yang teramat sangat.

Kekuatan persembahan ini ialah pada pelakon yang membawa watak sebagai Hang Jebat. Beliau berjaya dalam membuat segala emosi dan ekspresi yang cuba digambarkan. Misalnya, semasa beliau menggambarkan keadaan cedera parah, beliau mampu berjalan dengan keadaan yang terhuyung-hayang tetapi masih mampu bertarung dengan musuh. Selain itu penggunaan skrip yang menarik, merupakan kekuatan filem ini. Skrip yang ditulis berupa pantun dan gurindam yang menunjukkan ketinggian martabat dunia dan bahasa melayu. Setiap dialog yang diperkatakan oleh mana watak berupa pantun atau gurindam yang mempunyai "rima" pada hunjung ayat. Pengguanaan set yang menarik juga merupakan kekuatan persembahan ini. Hal ini ditunjukkan melalui set istana sultan yang dipenuhi dengan ukiran-ukiran dan kraftangan-kraftangan, menggambarkan keagungan senibina dan seni pertukangan melayu pada masa itu. Penggunaan tatacahaya yang baik juga merupakan kekuatan persembahan ini. Pengolahan filem ini mampu membandingkan masa,misalnya pada waktu siang dan malam dengan begitu sempurna.

Namun persembahan ini juga mempunyai kelemahan. Kelemahan persembahan yang dapat dikesan melalui koreograf silat yang ditunjukkan oleh watak. Watak tidak melakukan gerak dan langkah yang menarik dan sempurna. Pergerakan silat yang ditunjukkan seperti berlawan bersahaja, unsur silat yang diterapkan hanya sedikit.

Kesan yang saya rasai ialah marah dengan tindakan Tuah yang terlalu mengikut kehendak sultan yang mengarahkannya membunuh Jebat walaupun Jebat sudah banyak berkorban membela hak dan keadilan selama ketiadaannya. Saya turut berasa sedih dengan watak Jebat yang merayu-rayu supaya Tuah mempercayai penjelasannya walaupun beliau sanggup dibunuh. Saya juga turut berasa keliru dengan perhubungan antara Jebat dan Dang Baru semasa di awal persembahan ini, dan pada akhirnya persoalan ini terjawab dimana mereka sudah bernikah secara rahsia. Saya juga turut tertarik dengan penggunaan dialog yang disampaikan dimana berupa pantun dan gurindam.
Anakanda Jebat - Takkan Melayu ISLAM Hilang Di Dunia.