Wednesday, July 16, 2008

Anwar Mula Disiasat Pukul 2.50 petang


16/07/2008 3:52pm
KUALA LUMPUR 16 Julai – Datuk Seri Anwar Ibrahim mula disoal siasat oleh polis berhubung dakwaan liwat melibatkannya di sebuah bilik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, pukul 2.50 petang ini.
Anwar yang ditahan oleh sekumpulan anggota polis komando bertopeng pada pukul 1.05 petang dan dibawa menaiki kenderaan ke IPK 10 minit kemudian, hanya dibenarkan ditemani salah seorang peguamnya, R. Sivarasa.
Seorang lagi peguam, Sankara N. Nair yang sempat menemui Anwar sebelum itu, ketika ditemui pemberita yang berkumpul di pekarangan IPK memberitahu, anak guamnya disiasat sebagai suspek di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan iaitu kes meliwat tanpa kerelaan.
Beliau dan ahli keluarga Anwar tidak dibenarkan menemani anak guamnya itu sepanjang sesi soal siasat itu.
Bagaimanapun, sebelum itu, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail serta anak-anaknya termasuk Nurul Izzah dibenarkan bertemu dengan Anwar.
Wan Azizah dan Nurul Izzah serta adik-beradiknya keluar bersama peguam Anwar dari bangunan IPK pada pukul 2.38 petang.
Naib Presiden PKR, Azmin Ali yang juga Ahli Parlimen Gombak memberitahu pemberita, beliau dan wakil-wakil pakatan pembangkang lain bergegas datang dari Parlimen sebaik sahaja mendengar berita penahanan itu.
Mereka bagaimanapun hanya dibenarkan berkumpul di kantin bangunan IPK dan tidak dibenarkan berjumpa Anwar. – Utusan.

No comments: