Selepas kemangkatan Sultan Mansur Syah, anakandanya Raja Hussain telah ditabalkan sebagai pemerintah ketujuh Melaka, menggunakan gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah. Baginda masih muda ketika ditabalkan dan cukup terkenal dengan kekuatan dan keberaniannya. Pada awal pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah, banyak kejadian rompakan dan kecurian telah berlaku di Melaka sehinggakan laporan tentang kejadian sedemikian diterima pada setiap malam. Apabila Sultan dimaklumkan tentang perkara tersebut, baginda bertekad untuk menghapuskan ancaman ini dengan menangkap dan menghukum mereka yang bersalah agar rakyatnya dapat hidup dengan aman.
Semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah, beberapa pemerintah asing termasuklah seorang pemimpin dari Maluku yang telah tewas di tangan musuhnya, seorang pemimpin dari Rokan serta seorang pemimpin dari Terengganu yang bernama Telanai Terengganu, telah datang ke Melaka untuk memberi penghormatan kepada Sultan. Kedatangan mereka telah disambut baik oleh Sultan. Sultan sangat berbesar hati menerima pemerintah dari Maluku itu kerana kemahirannya yang cukup hebat dalam permainan sepak raga.
Pada tahun 1488, setelah memerintah Melaka selama sebelas tahun, Sultan Alauddin Riayat Syah mangkat pada usia tiga puluh tahun. Baginda kemudiannya turut dikenali sebagai Marhum Berdarah Putih dan dimakamkan di Pagoh, berdekatan dengan Muar. Namun, tiada penjelasan mengapa Sultan Alauddin dimakamkan di Pagoh, yang terletak agak jauh dari Melaka. Ini mungkin kerana Pagoh sudah lama mempunyai kaitan dengan pemerintah Melayu di Melaka. Beberapa makam pemerintah Melayu yang lain juga terletak di Pagoh.
No comments:
Post a Comment