Selepas kemangkatan Parameswara pada tahun 1414, baginda telah digantikan oleh anakandanya Raja Ahmad yang juga dikenali dengan nama Raja Besar Muda sebagai pemerintah kedua Melaka. Baginda digelar Sultan Megat Iskandar Syah. Sepanjang pemerintahannya, baginda telah membuat dua lawatan ke China bagi mendapatkan pengiktirafan dari Maharaja China serta mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemerintah Melaka.
Melaka terus berkembang maju di bawah pemerintahan Sultan Megat Iskandar Syah. Dua kawasan perlombongan bijih timah dijumpai di bahagian utara Melaka di mana kawasan ini dikawal rapi oleh pengawal diraja. Pada ketika itu, bijih timah digunakan sebagai matawang di Melaka. Kebanyakan daripada tongkang dari China yang singgah di Melaka dikenakan cukai. Kayu arang dan damar dihasilkan di kawasan hutan. Pokok sagu boleh didapati di ladang-ladang sementara di kawasan muara dan pantai pula dipenuhi oleh pokok nipah. Pelbagai jenis tanaman seperti pisang, tebu, ubi keledek, ubi keladi, nenas dan ubi kentang diusahakan serta berbagai jenis sayuran seperti bawang, halia, sawi, labu dan tembikai juga ditanam. Binatang ternakan seperti itik, ayam, kerbau dan kambing turut diternak. Akan tetapi, penternakan kerbau dan kambing sangat jarang pada ketika itu, disebabkan oleh harga pasaran yang tinggi. Kota Melaka dilindungi oleh tembok yang dibina sepanjang kawasan pantai. Tembok tersebut mempunyai empat buah pintu yang setiapnya dikawal rapi oleh para pengawal. Sebuah kubu berpagar turut dibina di dalam kawasan kota Melaka di mana beberapa gudang digunakan sebagai pusat perbendaharaan dan pembekalan kerajaan.
Sultan Megat Iskandar Syah bersama permaisuri, putera dan pegawai-pegawai kanannya telah mengadakan lawatan rasmi kedua ke China. Semasa lawatan tersebut, Sultan Melaka telah memohon bantuan daripada Maharaja China bagi menentang kekerasan dari pihak kerajaan Siam. Sehubungan itu, pada tahun 1419, Maharaja China telah menghantar perwakilannya ke Siam untuk memberi amaran agar tidak mengganggu Melaka. Hubungan di antara Maharaja China dan Sultan Melaka juga turut diperkukuhkan lagi dengan penghantaran beberapa perwakilan yang diketuai oleh putera-putera Melaka pada tahun 1420, 1421 dan 1423. Pada tahun 1424, Sultan Megat Iskandar Syah telah mangkat.
No comments:
Post a Comment