16/07/2008 2:02pm
KUALA LUMPUR 16 Julai – Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba dengan kenderaan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini untuk memberi keterangan berhubung kes liwat melibatkannya tepat pukul 1.15 petang ini.
Semalam, polis memberi kata dua kepada Anwar untuk hadir memberi keterangan di IPK sebelum pukul 2 petang ini atau berdepan dengan tindakan ditahan selepas polis mengeluarkan waran tangkap.
Pada 28 Jun lalu, bekas pembantu Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis mendakwa dia telah diliwat beberapa kali oleh bekas majikannya itu termasuk kali terakhir dua hari sebelumnya.
Anwar adalah suspek dalam kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan.
Isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama anak bongsunya menyusul kira-kira pukul 1.30 tengah hari ini.
Peguam Anwar, Sankara Nair tiba kira-kira 10 minit sebelum itu. Beberapa pemimpin pembangkang termasuk Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Ahli Parlimen PKR mula tiba secara berasingan selepas itu.
Pagi ini, Anwar memberi keterangan ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Dalam laporan 1 Julai lalu, Anwar mendakwa Musa dan Abdul Gani memalsukan bukti penyiasatan insiden “mata lebam” melibatkannya pada 1999.
Musa merupakan pegawai penyiasat manakala Abdul Gani mengetuai pasukan pendakwa dalam kes Anwar dipukul oleh Ketua Polis Negara pada masa itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.
Musa dan Abdul Gani telah memberi keterangan kepada BPR pada 11 Julai lalu. – Utusan.
No comments:
Post a Comment