KUALA LUMPUR 16 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini memberi jaminan terhadap keselamatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berada dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meliwat bekas pembantunya. Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Zinin berkata, polis juga telah bertindak secara profesional dengan mengikut semua peraturan dan garis panduan semasa menahan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu. “PDRM ingin memberi kepastian kepada semua yang berkenaan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini selamat berada dalam tahanan pihak polis.
“Beliau juga telah dibenarkan untuk berjumpa dengan peguam yang dipilihnya sendiri dan peguam beliau berada bersamanya ketika ini,” katanya membacakan kenyataan berhubung perkara itu di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini. Menurutnya selepas ditahan oleh anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas, Bukit Aman pada pukul 1 petang ini di sekitar Segambut, Anwar juga telah dibenarkan untuk bertemu dengan anggota keluarganya di IPKKL. Mohd. Bakri berkata, polis bertindak menahan Anwar berdasarkan waran tangkap yang diperolehi oleh pihak berkuasa itu.
Katanya, polis juga memutuskan untuk tidak menahan Anwar ketika beliau berada di rumahnya kerana ia dibimbangi boleh mencetuskan kekecohan. Beliau berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil kira keselamatan Anwar dan juga anggota polis yang terbabit dalam operasi itu.
“Keselamatan adalah perkara yang paling utama dalam sesuatu operasi yang dijalankan. PDRM mempunyai peraturan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab,” katanya.
Anwar menghadapi tuduhan itu selepas bekas pembantunya, Mohd. Saiful, 23, membuat laporan polis pada 28 Jun lepas mendakwa dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Anwar telah memfailkan saman terhadap Mohd. Saiful kerana didakwa membuat laporan palsu berkenaan kejadian liwat itu yang dikatakan berlaku pada 26 Jun lepas. — BERNAMA.
No comments:
Post a Comment