Selepas kemangkatan Sultan Muzaffar Syah, anakandanya Raja Abdullah telah ditabalkan menjadi pemerintah keenam Melaka dan dikenali sebagai Sultan Mansur Syah. Sultan Mansur Syah mengahwini Tun Putih Nur Pualam, anak kepada Tun Ali dan telah dikurniakan beberapa orang putera dan puteri. Pada awal pemerintahan baginda di Melaka, Sultan Mansur Syah telah mendengar tentang Pahang, yang ketika itu dikenali sebagai Pura, yang terkenal dengan sungainya yang besar, sumber emas dan hutan yang luas.
Namun begitu, Pura berada di bawah pemerintahan sebuah keluarga diraja Siam dan dikuasai oleh kerajaan Siam. Justeru, baginda membuat keputusan untuk menaklukinya dengan menghantar sebuah angkatan yang terdiri dari dua ratus buah kapal, diketuai oleh Tun Perak dan dibantu oleh Tun Hamzah Datuk Bongkok, pemerintah pasukan tentera darat dan pegawai-pegawai tentera yang lain. Sejurus tiba di Pahang, peperangan meletus di antara orang-orang Pahang dan Melaka. Pahang, yang diperintah oleh Maharaja Dewa Sura, telah dapat dikalahkan dengan mudah dan pemerintahnya terpaksa melarikan diri ke utara Pahang menerusi Sungai Pahang. Walau bagaimanapun, beliau berjaya ditawan oleh pihak Melaka dan diserahkan kepada Tun Ali. Angkatan Melaka telah pulang ke Melaka dengan kemenangan dan membawa bersama mereka Maharaja Dewa Sura dan anaknya, Waning Seri atau Onang Seri yang dipersembahkan kepada Sultan Mansur Syah. Ini merupakan kali pertama Melaka menakluki negeri lain. Sultan Melaka melantik Tun Hamzah Datuk Bongkok sebagai wakil baginda untuk mentadbir negeri Pahang. Puteri Waning Seri telah memeluk agama Islam dengan nama Puteri Lela Wangsa dan berkahwin dengan Sultan Mansur Syah. Selain Pahang, beberapa negeri lain seperti Inderagiri, Palembang, Jambi, Lingga dan Tunggal juga berada di bawah penguasaan kerajaan Melaka.
Pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah, terdapat sembilan orang pemuda yang terkenal dengan keberanian mereka dan oleh itu, telah dilantik oleh Sultan sebagai pegawai tentera baginda. Mereka adalah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hasan dan Husain. Hang Tuah merupakan yang paling cerdik dan berani di antara mereka. Oleh yang demikian, dia telah dianugerahkan gelaran Laksamana oleh Sultan dan dikenali sebagai Laksamana Hang Tuah.
Semasa Sultan Mansur Syah mengadakan lawatan ke Majapahit, beliau telah membawa bersama Laksamana Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Ketibaan mereka telah disambut baik oleh pemerintah Majapahit. Ketika berada di Majapahit, para pegawai tentera Melaka yang terkenal dengan kehebatan mereka, terutamanya Hang Tuah, telah mempamerkan kemahiran mereka dalam penggunaan senjata dan ini telah menarik perhatian penduduk dan pemerintah Majapahit. Pemerintah Majapahit kemudiannya mengahwinkan anaknya, Radin Galuh Cendera Kirana dengan Sultan Mansur Syah. Mereka dianugerahkan seorang putera bernama Radin Kelang. Walau bagaimanapun, Radin Kelang meninggal dunia pada usia remaja akibat ditikam oleh seorang penduduk yang mengamuk di kota Melaka. Pemerintah Majapahit juga telah menyerahkan pemerintahan Inderagiri dan Siatan kepada Sultan Melaka. Ini menguatkan lagi pengaruh Melaka di kawasan tersebut.
Hubungan diplomatik di antara China dan Melaka menjadi lebih akrab pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah. Sultan telah menghantar Tun Perpatih Putih sebagai utusannya ke China dengan membawa warkah baginda kepada Maharaja China. Maharaja China kagum dengan kemashyuran dan keagungan Sultan Mansur Syah lalu memutuskan untuk mengahwinkan puterinya Hang Li Poh dengan Sultan. Seorang pembesar negeri berserta lima ratus dayang-dayang telah mengiringi puteri Hang Li Poh ke Melaka. Setelah Hang Li Poh memeluk Islam, Sultan pun mengahwininya dan membina sebuah istana untuknya di atas sebuah bukit yang sehingga kini dikenali sebagai Bukit Cina.
Walaupun Sultan Mansur Syah mempunyai tanggapan yang tinggi terhadap Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya, satu peristiwa telah berlaku yang menyebabkan baginda murka kepada Hang Tuah. Ianya berpunca dari satu fitnah terhadap Hang Tuah, menuduhnya mengadakan hubungan sulit dengan salah seorang dayang di istana. Lantas, Sultan menitahkan Tun Ali untuk membunuh Hang Tuah. Namun, Tun Ali menganggap Hang Tuah adalah seorang yang mempunyai keperibadian luar biasa dan tidak harus dipersiakan. Lalu, dia memberanikan diri untuk membohongi Sultan. Tun Ali tidak membunuh Hang Tuah, sebaliknya bertindak menyembunyikannya di sebuah kampung yang terpencil dan melarangnya keluar dari kawasan kampung itu. Tun Ali kemudiannya memberitahu Sultan bahawa Hang Tuah sudah dibunuh. Apabila Hang Jebat, sahabat karib Hang Tuah, mendapat berita tersebut, dia begitu marah lalu membuat noda atas seorang dayang di istana. Walaupun Sultan mengarahkan Hang Jebat dibunuh, namun tiada sesiapapun yang berani berhadapan dengannya. Pada ketika itulah, Sultan terkenangkan Hang Tuah kerana sekiranya dia masih hidup, hanya dia sahaja yang mampu mengalahkan dan membunuh Hang Jebat. Tun Ali kemudiannya memberitahu keadaan yang sebenarnya kepada Sultan, bahawa Hang Tuan tidak dibunuh tetapi disembunyikan olehnya. Sultan memerintahkan agar Hang Tuah dibawa keluar dari tempat persembunyiannya untuk membunuh Hang Jebat. Atas perintah Sultan, berlakulah pertarungan di antara dua sahabat karib yang berakhir dengan kematian Hang Jebat di tangan Hang Tuah.
Apabila Melaka semakin makmur dan ekonominya bertambah maju, Sultan Mansur Syah telah membina sebuah istana yang besar lagi indah di kaki Bukit Melaka. Istana itu merupakan kebanggaan kerajaan Melayu kerana ianya bukan sahaja melambangkan kekayaan, kemajuan dan kekuasaan Melaka malah turut mempamerkan kecemerlangan dan keistimewaan ciri-ciri senibina Melayu. Istana tersebut telah dibina oleh tukang-tukang kayu Melayu di bawah arahan Tun Perak. Walau bagaimanapun, istana tersebut telah hangus di dalam satu kebakaran tidak lama selepas Sultan Mansur Syah mendiaminya. Namun barang-barang berharga yang berada di dalam istana itu sempat diselamatkan oleh pegawai-pegawai istana. Sultan kemudiannya telah mengeluarkan perintah untuk membina sebuah istana baru sebesar dan seindah istana dahulu. Setelah ianya siap dibina, Sultan mendiami istana baru itu.
Melaka telah mencapai kemuncak kegemilangannya sebagai sebuah empayar pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah. Ia bukan sahaja kaya dan makmur hasil dari kemajuan perdagangannya, malah ia telah berjaya menakluki beberapa buah negeri di kepulauan Melayu sebagai jajahan empayarnya. Pemerintah dari negeri-negeri ini akan datang ke Melaka selepas perlantikan mereka bagi mendapatkan restu dari Sultan Melaka. Mana-mana pemerintah yang telah digulingkan di negeri sendiri turut datang ke Melaka bagi mendapatkan bantuan Sultan untuk memperolehi kembali kekuasaan mereka. Salah satu contoh adalah ketika Sultan Zainal Abidin, pemerintah di Pasai yang telah digulingkan oleh kaum kerabatnya sendiri, telah datang ke Melaka dan merayu kepada Sultan Mansur Syah untuk membantunya mendapatkan semula takhtanya. Sultan menghantar sepasukan tenteranya ke Pasai, yang kemudiannya berjaya mengalahkan orang Pasai. Justeru, Sultan pun melantik semula Sultan Zainal Abidin sebagai pemerintah di Pasai. Walaupun kemenangan ini tidak menjanjikan kesetiaan pemerintah di Pasai kepada Melaka, ianya jelas mempamerkan keupayaan dan keadilan Sultan Melaka dan juga sikap saling membantu yang wujud di antara pemerintah dan kerajaan.
Kekuatan politik Melaka dapat dilihat melalui suatu peristiwa yang berlaku dalam sebuah permainan bola raga, di mana sepakan bola Tun Besar, iaitu anak Tun Perak, secara tidak sengaja terkena Raja Mohammad, anakanda Sultan Mansur Syah. Bola itu terkena tanjak Raja Mohammad, lalu ia jatuh ke tanah. Dalam kemarahan, Raja Mohammad dengan serta-merta menikam dan membunuh Tun Besar. Kejadian ini telah mencetuskan kemarahan di kalangan ahli keluarga Tun Besar yang mahu membalas dendam dengan membunuh Raja Mohammad. Namun demikian, Tun Perak telah berjaya menghalang mereka dari meneruskan tindakan khianat itu dengan mengisytiharkan bahawa dia tidak lagi dapat menerima Raja Mohammad sebagai pewaris kepada Sultan. Akibat dari peristiwa ini, Sultan Mansur Syah mengarahkan anakandanya itu meninggalkan Melaka dengan melantiknya sebagai pemerintah di Pahang. Peristiwa ini jelas menunjukkan kesetiaan Tun Perak kepada Sultan, keadilan Sultan kepada rakyatnya, kasih sayang baginda kepada anakandanya, perlaksanaan hukuman ke atas pesalah serta kekuatan seorang Sultan yang ditaati.
Melaka mencapai kegemilangannya pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah. Ramai peniaga dan pedagang dari merata tempat, telah datang ke Melaka untuk berniaga. Melaka juga merupakan sebuah pusat pengembangan ajaran Islam di kepulauan Melayu. Banyak negeri di semenanjung tanah Melayu, kepulauan Riau-Lingga dan Sumatra berada di bawah naungan Melaka, antaranya ialah Pahang, Sungai Ujung, Jeram, Langat, Inderagiri, Palembang, Jambi, Lingga, Tungkal, Siantan, Brunei, Bentan, Kampar dan Siak.
Namun, ketika Melaka berada di kemuncak kecemerlangannya, Sultan Mansur Syah telah mangkat pada tahun 1477 setelah memerintah Melaka selama dua puluh satu tahun. Baginda sememangnya termasyhur sebagai seorang pemerintah Melayu yang banyak menyumbang dalam mempertahankan kedaulatan Melayu.
No comments:
Post a Comment