KEPALA BATAS 19 Julai – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak akan terlibat dalam siasatan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malahan, Perdana Menteri berkata, pegawai-pegawai yang terlibat dengan kes berkenaan juga tidak akan membuat sebarang rujukan kepada Musa dan Abdul Gani.
‘‘Ketua Polis Negara dan Peguam Negara tak akan terlibat, maksudnya mereka tidak akan memainkan peranan (siasatan),’’ katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian tawaran melanjutkan pengajian dan pembiayaan biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Dewan Millenium di sini, hari ini.Hadir sama ialah isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar. Seramai 350 pelajar Island College of Technology (ICT) menerima pembiayaan biasiswa Mara itu.
Abdullah ditanya sama ada kedua-dua mereka akan dikecualikan daripada siasatan kes liwat melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu setelah Anwar membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor terhadap Musa dan Abdul Gani pada 1 Julai lalu. Dalam laporan itu, Anwar mendakwa Musa dan Abdul Gani terlibat dalam kes pemalsuan keterangan beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada 1998.
Abdul Gani ketika itu ialah timbalan pendakwa raya paling kanan manakala Musa merupakan ketua pegawai penyiasat kes yang membabitkan Anwar.
Anwar yang memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) baru-baru ini mendakwa banyak lagi bukti berhubung pembabitan kedua-dua pegawai itu dalam pemalsuan dan penyembunyian fakta siasatan kes liwatnya 10 tahun lalu.
Ditanya adakah Musa dan Abdul Gani akan digantung tugas berikutan laporan polis yang dibuat oleh Anwar itu, Perdana Menteri menjelaskan, mereka tidak perlu digantung tugas.
‘‘Pegawai pun tidak membuat sebarang rujukan dengan mereka, jadi dengan itu saya tak nampak yang mereka perlu digantung tugas,” katanya.
Pada majlis sama, Perdana Menteri mahu generasi muda menggunakan ilmu pengetahuan untuk menambah nilai kepada pembangunan negara yang dicapai sejak 50 tahun lalu. “Jika negara mahu meningkat maju dengan cepat, maka kekuatan modal insan perlu dibina dengan ilmu pengetahuan daripada pelbagai cabang dan aspek pendidikan yang sesuai,” katanya.
Anakanda Jebat Membohong Adalah Sifat Munafik.
No comments:
Post a Comment