Saturday, September 20, 2008

DS Anwar, ABIM, PAS, Kerajaan dan Islam

Jika Anwar menerajui pemerintahan negara ini, Islam dan PAS dalam bahaya besar! Dalam masa yang singkat, Islam dan PAS akan terpinggir dan dipinggirkan. Inilah satu senario yang banyak orang PAS tidak dapat menghidu.Inilah risiko besar kepada PAS dan perjuangan Islam jika Anwar menerajui negara ini.

Anwar Ibrahim mempunyai suatu kelicikan. Kelicikan ini UMNO-BN tidak pernah ada dan tidak akan ada. Kekuatan ini ialah IMEJ ISLAM. Imej Islam ini masih melekat pada batang tubuh beliau. Dan beliau masih dipercayai oleh sebahagian tokoh-tokoh Islam Arab.

Dengan Imej Islam dan sokongan tokoh arab, serta beberapa tindakan awal melaksanakan satu dua langkah Islamik, dalam masa beberapa bulan pemerintahannya Anwar dengan mudah akan mengalihkan bendera perjuangan Islam dari PAS kepada beliau. Dan PAS TIDAK LAGI RELEVAN!

Dua atau 3 bulan sahaja yang Anwar perlukan utk menyahkan PAS. Berpuluh tahun UMNO-BN gagal melakukannya, Anwar boleh buat dalam masa dua tiga bulan sahaja, kalau tidak dua-tiga minggu pun.

PAS jadi tidak lagi relevan. Setengah ahli dan pimpinannya akan cenderong kepada Anwar. PAS akan berpecah; satu kumpulan percaya kepada Anwar, satu lagi tidak percaya. Kepada rakyat umum, agenda Islam Anwar sudah mencukupi. Tak perlu kepada PAS lagi. PAS akan hanya tinggal saki baki yang akan terus memperjuangkan Islam sebenar, tapi kembali tersisih seperti di era 70an. ”Back to square-one”, kata orang putih. 1982, apa yang telah terjadi bila Anwar masuk UMNO dulu akan berulang semula. Kali ini lebih,lebih,lebih dahsyat lagi.

Dulu PAS jadi huru-hara,PAS jadi bercelaru, gerakan Islam berpecah belah. Sampai sekarang PAS, ABIM, JIM masih juga tidak dapat bersama seperti dahulu. Pilihanraya 1985, PAS kalah teruk, sebab modal Islam PAS telah diambil oleh Anwar. Anwar dendangkan penerapan nilai-nilai Islam. Bank Islam, UIA, adalah antara mercu tanda Anwar dalam UMNO dahulu, yang menjadikan PAS terkontang-kanting, kehabisan modal. Hanya kronisma dan kezaliman Mahathir yang sebenarnya membantu relevansi PAS di waktu itu. Kalau waktu itu, UMNO kurang zalim, PAS mungkin dah lama tenggelam dalam arus politik negara (bukan terhapus, kerana perjuangan Islam tidak akan pernah mati).

Sekarang, Anwar lakukanya sekali lagi. Depan mata kita semua. Dulu beliau hanya menyertai UMNO dan bertanding di Permatang Pauh, kini beliau meletakkan cita-cita yanglebih besar untuk menjadi Perdana Menteri. Dulu Anwar membelakangi nasihat dan pandangan sahabat-sahabatnya dalam ABIM dan PAS. Kali ini perangainya sebenarnya sama sahaja, masih tidak berubah.

Kerajaan Pakatan Rakyat tu sebenarnya, kalau diperhatikan betul-betul dah jadi Kerajaan Pakatan Anwar. Hanya dia sahaja yang tahu segalanya tentang kerajaan ini; bentuk, konsep, struktur dan komposisi nya. Adakah ini semua pernah dibincangkan secara terperinci di peringkat parti-parti komponen? Tak pernah, kerana tak ada maklumat yang Anwar kongsi kan, nak bincang apa? Semuanya kena percaya kepada dia sahaja. Apa masalahnya kalau Anwar laksanakan nilai-nilai Islam?Masalahnya, seperti masa beliau dalam UMNO dulu, hanya nilai-nilai yang dilaksanakan, bukan PRINSIP Islam.

Anwar akan mewarwarkan NILAI-NILAI ISLAM, BUKAN PRINSIP ISLAM. Perkara ini sangat mudah dilakukannya dan mengelirukan orang, lantaran imej yang ada pada beliau. Beliau akan kukuhkan Bank Islam, Universiti Islam, Seminar/Persidangan Islam, Muzik Islam dan mana-mana yang tidak mengundang keresahan bukan Islam, terutamanya Amerika. Tetapi, beliau tak akan melaksanakan HUDUD, dan Kanun Jenayah Islam. Beliau tak akan mengharamkan riba, tidak akan melaksanakan arahan menutup aurat, tidak akan sekali-kali menukar perlembagaan Malaysia menjadikan Al Quran dan Sunnah sebagai dustur tertinggi.

Anwar tidak akan melakukan perkara-perkara pokok ajaran dan sistem Islam. Beliau juga tak akan melaksanakan nilai-nilai Islam yang orang bukan Islam tidak setuju. Sikap dan pandangannya terhadap negara Islam tidak pernah berubah; dulu, kini dan selamanya. Beliau tidak pernah percaya kepada Negara Islam.Baginya negara Islam hanyalah sebuah konsep dan ilusi. Itulah ucapan, tindakan dan sikap nya di mana-mana, bila-bila pun. Terbukti semasa beliau dalam UMNO dulu, dan tak pernah berubah sehingga sekarang. Tapi setengah orang PAS begitu mudah terkeliru. Populariti dan imej Anwar begitu mudah mengaburi pemikiran mereka. Ular berbisa sedang menghulur kepala, membuka taring untuk mematuk, bila-bila masa sekarang. Ular dari lubang yang sama! Kali ini patukannya akan terus melumpuhkan Islam dan PAS, buat satu jangkasa yang sangat lama dan menyakitkan sebelum dapat pulih semula pun.

Sebenarnya, tak kisahlah jika ada ahli/pimpinan PAS mahu percaya kepada Anwar sekarang. MUNGKIN Anwar sudah berubah. Tapi ia hanya satu kemungkinan. Bagaimana pula jika dia tak berubah? Risiko apakah yang kita ambil jika Anwar masih Anwar dalam UMNO dulu? Adakah Anwar pernah menarik sikap dan pendirian beliau terhadap UMNO nya, sebagaimana semasa beliau menyertai nya 26 tahun lalu? Adakah Anwar pernah mengumumkan perubahan sikapnya secara jelas tentang Negara Islam? Sanggupkah kita semua mengambil risiko yang amat besar kerana hanya mahu mempercayai Anwar? Besar manakah jasa Anwar kepada Islam dan PAS sehingga kita sanggup mengambil risiko ini? Semasa beliau dalam UMNO, pelbagai peristiwa berlaku kepada PAS; Lubuk Merbau, Memali, ketidak-adilan kepada kerajaan Kelantan dan sebagainya – apakah yang beliau buat walau sekelumitpun untuk membantu Pas di waktu itu? Dalam ceramah-ceramah beliau dahulu, apa yang beliau tak kata pada PAS?
Adakah ini semua jasa besar Anwar sehingga kita mengambil risiko ini? Lihatlah apa yang terjadi kepada kita sekarang.

Sekarangpun kita telah berpecah belah hanya kerana Anwar, seorang insan yang sentiasa berubah-rubah pendirianya. Apa lagi yang tunggu untuk kita sedar? Ini tanda yang jelas bahawa Anwar mampu melakukannya dalam masa sekejap sahaja, yang mana UMNO tidak mungkin akan dapat melakukannya untuk puluhan tahun. Menjadikan PAS tidak lagi relevan! Ayuhlah, sahabat-sahabat seperjuangan ku di dalam PAS, janganlah terkeliru dan tertipu lagi. Ini bukan soal Anwar sebenarnya, ini soal perjuangan Islam ,perjuangan haq dan bathil !! Lihatlah kebenaran di depan mata kita semua. Belajarlah dari sejarah. Gunakan fikiran yang tenang, bukan emosi yang tak berketentuan. Kita akan terus teguh jika kita tetap di atas jalan Allah, dengan sunnah Rasul saw. Teguhlah di atas kepimpinan para warisnya, ulamak-ulamak yang jujur serta ikhlas di dalam perjuangan ini. InsyaAllah, perjuangan akan terus dilindungi Allah swt.

Ahli PAS seumur hidup.

http://www.tranungkite.net/

Anakanda Jebat: Artikel ini hanya sekadar untuk kita sama2 berfikir dengan akal yang waras. Tapi gaya penulisannya seperti orang UMNO saja. Hamba menaruh kepercayaan penuh kepada DS Anwar Ibrahim. Takbir!

No comments: