Wednesday, September 10, 2008

Kes Liwat DS Anwar Ditangguh Hingga 24 September

(Dikemas kini, 1150 pagi) PETALING JAYA: Kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan sehingga 24 September bagi membolehkan kedua-dua pihak pasukan pendakwa dan pembela menyediakan hujah masing-masing berhubung permohonan agar tuduhan ini didengar di Mahkamah Tinggi.

Apabila kes itu disebut semula pagi ini pihak pendakwaan memohon akan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi tetapi ia dibantah oleh pasukan peguam Anwar.

Difahamkan, peguam bela minta ditangguhkan atas sebab mereka tidak diberikan masa yang cukup untuk membuat persediaan. Selain itu, pihak peguam bela juga mempertikaikan sijil perpindahan ke Mahkamah Tinggi dari Mahkamah Sesyen di tandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Gani Patail.

Gani Patail sepatutnya tidak terlibat dalam kes ini seperti diarahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Terdahulu Anwar di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur sebentar tadi - pukul 9.30 pagi - dengan pasukan peguamnya menolak khabar angin bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan dibatalkan jaminan peribadi.

Kes tersebut disebut semula pagi ini dengan kawalan keselamatan ketat di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Ketika ditemui wartawan sebaik tiba di pekarangan mahkamah, Anwar berkata: "Saya tidak pasti apa yang akan berlaku di mahkamah hari ini. Saya berharap jaminan (peribadi) tidak ditarik balik. Sememangnya tiada asas untuk mengenakan tuduhan, jadi mengapa bercakap mengenai ikat jamin?"

Peguamnya, Sankara Nair pula berkata: "Jika pendakwa mahu menafikan jaminan ke atas Anwar, mereka perlu memohon dan kami akan respons. Begitu juga langkah memindahkan kes ke mahkamah lain (Mahkamah Tinggi)."

No comments: