Saturday, September 20, 2008

Pak Lah Liabiliti Pada UMNO-BN

KUALA LUMPUR,20 Sept (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi boleh dianggap sebagai liabiliti kepada Umno-BN yang memaksa sesetengah pihak di dalam Umno sendiri mencadangkan agar beliau 'bersara' dengan lebih cepat.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata apabila Abdullah menjadi liabiliti kepada BN, ia sekaligus mendorong pihak tertentu dari dalam partinya mendesaknya menyerahkan jawatan tertinggi dalam kuasa eksekutif kepada orang lain.

"Keadaan ini bertambah parah dengan mood rakyat yang tidak senang lagi dengan BN apatah lagi Abdullah kini dilihat tiada keupayaan dalam kepimpinan BN yang sangat rapuh dan goyah," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Sungguhpun begitu jelasnya, Abdullah masih boleh melaksanakan pertukaran portfolio dengan timbalannya, Dato' Seri Najib Razak selepas pembentangan belanjawan negara 2009 pada 1 September lalu.

"Belanjawan itu pun masih belum dibahaskan, tiba-tiba tukar menteri. Kerajaan BN nampaknya sudah serabut dan tidak stabil," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw pula melahirkan rasa kehairanan dengan tindak-tanduk Abdullah yang terlalu cepat menukar pendirian dan pandangan terhadap sesuatu.

"Kenapa beliau terlalu mudah berubah ? Ini tidak baik kepada negara kerana beliau adalah pemimpin nombor satu," tegasnya.

Tambahnya, sikap pemimpin seperti Abdullah ini adalah sangat tidak baik serta membimbangkan rakyat.

Ditanya mengenai punca tindakan Abdullah tersebut Tan yang juga ahli Parlimen Kepong menyatakan ianya mungkin berdasarkan faktor tekanan ekoran tekanan yang banyak daripada dalam mahupun luar Umno-BN.

"Memang ada pergolakan dalam parti itu, itulah yang menjadi tekanan kepada Abdullah untuk buat macam-macam benda yang kita tak terfikir," ujarnya lagi.

Mengulas suara-suara sesetengah pihak daripada kalangan Umno yang mahu Abdullah bersara awal, disusuli dengan pertuakaran portfolio antara Abdullah dan Najib, Tan menyatakan kebingungan dengan perkara tersebut.

"Ini kerana bajet pun belum dibahaskan, ia perlu diluluskan terlebih dahulu oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan.

"Sebaiknya semua ini selesai sebelum 31 Disember tahun ini, sehingga semua ini belum dilaksanakan, proses transisi portfolio tersebut tidak boleh dikuatkuasakan," katanya lagi.

Tegasnya, kejadian yang sangat mengejutkan dan menghairankan ini menimbulkan pelbagai spekulasi.

"Belanjawan tersebut jika mengikut jadual yang saya sebutkan tadi boleh berkuatkuasa pada 1 Januari tahun depan.

"Ini tidak, kenapa bentang bajet, selepas enam minggu tanpa sebarang perbahasan sekarang tukar menteri kewangan.

"Semacam ada kekecohan, belum bahas tapi sudah tukar orang. Pelik binti hairan," demikian ujarnya._Intan Abdullah

http://www.harakahdaily.net/

No comments: