Tuesday, September 16, 2008

Anwar Ibrahim: Ahli Nujum atau Wali yang Kashaf?

Ada yang bertanya apa yang saya maksudkan bila saya menyatakan “saya tidak pernah meyakini Anwar sebagai seorang Ahli Nujum atau Wali”. Maksud saya mudah sahaja. Sekiranya saya menganggap beliau sebagai seorang Ahli Nujum yang handal atau Wali yang Kashaf dan pada tarikh 16hb September peristiwa yang diramalkan olehnya tidak tercapai, maka keyakinan saya terhadap beliau akan musnah.

Tetapi, oleh kerana saya menganggap beliau seorang manusia biasa maka saya faham bahawa tarikh 16hb September hanya merupakan tarikh yang dianggap mungkin tercapai perubahan dan dijadikan tarikh sasaran. Sekiranya tidak tercapai sekalipun, ianya tidak merupakan masalah besar. Kegagalan untuk mencapai sesuatu yang disasarkan mungkin disebabkan tindak balas tertentu pihak lawan atau perkara-perkara lain dan ianya perkara biasa.

Anwar pun tak pernah mendakwa dirinya seorang Ahli Nujum ataupun Wali maka saya tak nampak apa masalahnya. Ada yang menghebohkan isu tarikh ini seolah-olah sekiranya ianya tidak tercapai maka terbukti Anwar penipu dan pembohong.

Dakwaan itu benar sekiranya Anwar tidak berusaha ke arah tercapainya sasaran yang diinginkan. Sekiranya berusaha tetapi gagal, tidak bererti dia bohong, hanya dia gagal buat masa itu. Namun usaha pasti akan diteruskan dan kalau bukan 16hb mungkin 17 atau 18 atau 19 atau 30 September.

Tidak mencapai sasaran tidak boleh dikatakan berbohong. PAS sendiri banyak kali menyatakan akan mencapai kemenangan di sini dan di situ, siap dengan tema seperti PINTAS untuk Selangor dan sebagainya. Kita pernah menyatakan kita akan tawan Selangor pada 2004 tetapi gagal. Adakah bererti kita berbohong?

Gimik Sahaja

Ada pula yang berkata ianya satu gimik. Bagi saya gimik ini bererti kata2 kosong tetapi sensasi. Saya rasa orang yang kata dan beranggapan begitu semestinya buta politik. Ataupun saja membutakan mata beliau kerana prejudis terhadap Anwar.

Kalau gimik semata-mata mengapa perlunya 49 MP BN dilarikan? Tidakkah ini satu bukti bahawa apa yang disasarkan hampir tercapai sehingga perlu dipintas dengan begitu drastik sekali? Tindakan itu jelas merupakan satu pengakuan (bahawa MP2 BN terjejas dan tercabar pendirian mereka) dan semestinya diambil setelah mendapat maklumat risikan dan sebagainya. Bukan sekadar baca Blog. Risikan Polis (SB) dan Tentera serta risikan agensi2 lain dirujuk oleh Pak Lah dan tindakan gelabah dan memalukan ini diambil.

Tidakkah ini, bagi yang siuman membuktikan bahawa tarikh 16 Septembar itu bukan cakap2 kosong? Bahawa sudah bergerak usaha yang berkesan oleh mereka2 yang berusaha. Yang tak berusaha dan menjadi pengkritik sambilan memanglah tak tahu apa-apa. Sentiasa menunggu sahaja untuk mengutuk dan mengkritik. Itupun kalau kritikan yang adil takpe juga. Kalau adil pasti dia akan mengaku sememangnya ada usaha yang berkesan dan menjejaskan BN.

Mungkin mereka lebih percaya kepada Pak Lah yang mengatakan perginya MP2 tersebut takde kena mengena dengan 16hb September. Pak Lah cakap benar, Anwar berbohong anggap mereka. Kalau gitulah pandangan mereka, buat apa duduk dalam PAS dan PR? Ikut je lah orang yang bercakap benar itu! Sampai bila Pak Lah boleh ‘larikan’ mereka? Pepatah Inggeris berbunyi, “You can run but you cannot hide”.

PAS Bukan Keluar BN Tetapi Dipaksa Keluar

Ada yang mengingatkan saya bahawa PAS bukan keluar BN tetapi di’paksa’ keluar! Ada yang merasa hanya sekadar beberapa tahun dan tak puas lagi menjawat jawatan Timbalan Menteri kata mereka.

Betullah tu, PAS di’paksa’ keluar melalui pengisytiharan Darurat di Kelantan yang berada di bawah PAS. Kalau dah diisytihar Darurat dan kerajaan Pusat mengambil alih negeri berkenaan, takkan tak tahu malu nak terus duduk bersama dalam kabinet? Terpaksalah PAS keluar.

Ini berlaku pada tahun 1978 dan pada PRU 1982 dan 1986 prestasi PAS begitu merudum. PAS hanya mampu menawan Kelantan kembali pada 1990 apabila berlakunya perbalahan dalam UMNO dan Semangat 46 ditubuhkan. Dua belas tahun PAS bergerak untuk memenang kembali kerajaan Kelantan. Begitu khianatnya sikap BN, dulu,kini dan selama-lamanya. Bila berkawan ditikam dari belakang.

PAS masuk BN membawa kerajaan Negeri Kelantan, di’paksa’ keluar dengan tangan yang kosong. Hanya saya tak nak sebut kasar2 sangat, takut yang teringin kembali bersama akan merana dan tak tidur malam. Dulu bersatu atas dasar ‘Perpaduan Melayu’ juga.

Lepas dah bersatu dan duduk bersama selama 4 tahun, nampak gaya orang PAS tak lagi dianggap Melayu. Atau perpaduan sudah tidak penting dan PAS di’paksa’ keluar. Perpaduan hanya penting bila UMNO tercabar. Kalau tak tercabar, tenyeh orang Melayu Kelate pun takpe.

Tak ku sangka……ada orang tak serik dan teringin merasa sekali lagi!

Khalid Abd Samad

No comments: