Saturday, September 20, 2008

UMNO Ibarat "Kerbau Kena Sembelih"

Tabiat kepimpinan Umno sejak kebelakangan ini nampak pelik, gusar dan gelisah seolah takut sangat tarikh keramat 16 September 2008.

Bermacam-macam peristiwa berlaku menjelang tarikh tersebut membuktikan Umno yakin ia akan mencatat sejarah tersendiri walaupun melepasi tarikh berkenaan.

Fenomena itu mengingatkan saya kata-kata Almarhum Presiden PAS, Dato' Fadhil Noor bahawa Umno ibarat 'Kerbau kena sembelih' di mana waktu itu sesiapa yang silap pegang tali akan ditentang yang melalui depan, belakang atau tepi akan merasai kesakitan jika tidak berhati-hati.

Tukang sembelih pun tidak berani rapat bimbang kena celapak maklumlah kerbau mempunyai tenaga yang luar biasa bila menghampiri saat-saat kematian.

Mungkin ia besar, tenaganya pula tentunya lebih kederat kata orang utara. Walaupun Almarhum telah lama meninggalkan kita tetapi kata-katanya tetap saya ingat tambahan lagi ia semakin di rasai apabila pembebasan mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan fitnah yang mengaitkan dirinya dengan kes liwat dan penyalahgunaan kuasa.

Jelas sekali, Anwar yang bertindak sebagai pemimpin Pakatan Rakyat sekarang ini seakan mengingatkan kita ketika Almarhum dilantik sebagai peneraju GERAK yang dibarisi Badan Bukan Kerajaan (NGO) setelah Anwar disumbat dalam penjara ekoran fitnah yang melampau.

Bukan itu sahaja malahan Almarhum berjaya memimpin Barisan Alternatif (BA) yang mengabungkan parti pembangkang daripada PAS, KeADILan dan DAP dalam pilihanraya Umum ke 11 pada tahun 1999 di mana banyak kerusi di menangi pembangkang dan beliau sendiri diamanahkan sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Sekarang ini, giliran Anwar pula memimpin satu gagasan baru yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat untuk kesinambungan perjuangan Almarhum yang berjaya merentas segala ranjau dan onak untuk menyelamatkan Malaysia daripada keruntuhan moral yang teruk.

Perkembangan itulah yang mengerunkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terpaksa melepaskan jawatan disayanginya kepada timbalan, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana bimbang rakyat terus menolak BN dalam pilihanraya ke 12 kelak.

Sekarang ini semua pihak kata, apa dah jadi dengan tarikh 16 September tidak nampak perubahan kuasa pemerintahan pun!

Anwar pula lebih berahsia siapa 30 Ahli Parlimen BN yang akan melompat parti dan sehingga kini semuanya masih teka teki mungkin kerana bimbang bila didedahkan mereka akan diugut atau macam-macam lagi boleh terjadi.

Kini, empat hari telah berlalunya tarikh 16 September banyak yang berubah hatta sikap Abdullah sendiri yang mana sebelum ini mendesak supaya Kelab Penyokong Kerajaan mengadakan lawatan sambil belajar ke Taiwan.

Peristiwa itu tidak pernah wujud sebelumnya di mana dalam bulan puasa semua Ahli Parlimen BN keluar mempelajari hal ehwal pertanian di sana. Bak kata Profesor Chandra Muzafar ketika diasak oleh pengacaranya, Dr Agus Mohamed dalam rancangan Hujjah di TV9 baru-baru ini perbuatan tersebut tidak bermoral dan tidak menunjukkan sikap keberanian berhadapan dengan realiti.

Selain bertindak menghantar Ahli Parlimen ke Taiwan, BN menggunakan akta zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menahan tiga orang aktivis dalam bidang berlainan iaitu pemilik blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.

Walaupun Tan dibebaskan dua hari selepas tangkapan atas alasan memastikan keselamatanya terjamin namun semuanya telah tercalar ekoran tindakan yang melulu sekaligus meningkatkan kemarahan orang ramai yang cintakan sistem yang telus dan adil.

Bila Anwar berkata beliau berjaya membentuk kerajaan baru dalam sidang medianya dan bertekad akan bertemu Abdullah untuk mengatakan bahawa negara ini perlukan Perdana Menteri baru di samping memastikan peralihan kuasa berjalan dengan aman dan tenteram Abdullah pula lari ke kampung halamannya di Kepala Batas kononnya menghadiri program bantuan fakir miskin di Komplek Budi Penyayang dan majlis berbuka puasa serta terawih di masjidnya.

Ada juga orang kata, Abdullah balik kampung 'cuci rumah' untuk persediaan bila tiada kuasa nanti. Bahkan ada juga yang kata Abdullah pengecut untuk bertemu Anwar bagi berbincang tentang peralihan kuasa negara.

Namun apa pun semua itu mungkin rancangan Abdullah untuk larikan diri dari kesibukan Kuala Lumpur bertemu rakan sepermainan di samping bertanya khabar atau menyejukan hati yang panas membara apabila jawatan nombor satu negara terbang ke tangan musuh politik.

Lepas itu kedengaran pula Abdullah semasa sidang medianya tidak mahu bertemu Anwar kononnya pertemuan itu tidak berguna, sia-sia dan angan-angan Mat Jenin Anwar semata-mata.

Selang sehari selepas mengeluarkan kenyataan sedemikian tiba-tiba sahaja Abdullah dan timbalanya, Dato' Seri Najib bertukar porfolio dengan alasan sebahagian daripada pelan peralihan kuasa dalaman Umno.

Mungkin ramai orang tidak setuju pandangan itu dan lebih kepada tanggapan peralihan jawatan untuk menyenangkan beliau mengarahkan tentera ambil alih kuasa dan mengistiharkan darurat bagi menjaga kepentingan politik.

Atau, mungkin juga Anwar akan disumbat sekali lagi ke penjara atas alasan mengancam ekonomi sehingga mengakibatkan pelabur tidak yakin datang ke Malaysia dan mengancam keselamatan negara apabila menyebabkan negara tidak lagi aman dan tenteram.

Jika mendapati BN kurang yakin untuk memerintah lagi lebih baik Abdullah bersikap profesional serahkan kuasa pemerintahan pada Pakatan Rakyat daripada menyerahkan kuasa menerusi pelan peralihan kuasa kepada timbalannya menjelang 2010 nanti demi masa depan Malaysia tercinta.

Seandainya Abdullah berbuat demikian rakyat akan lebih menghormati pendirian Abdullah sebagai pemimpin yang beramanah bukan terus memusnahkan negara ekoran menyerahkan dayung kepada orang lain sedangkan perahunya sama._Mohd Sabri Said (Hrkh)

No comments: