Wednesday, September 10, 2008

DS Anwar Hadir Mahkamah Hari Ini, Peguam Tolak Khabar Angin

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan muncul di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur sebentar lagi dengan pasukan peguamnnya menolak khabar angin bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan dibatalkan jaminan peribadi.

Peguamnya, Sankara Nair berkata, pihaknya tidak mendengar apa-apa mengenainya tetapi jika ada permintaan daripada pendakwa pihaknya akan membantah langkah sedemikian.

"Kami tidak dengar apa-apa (setakat petang semalam). Bagaimanapun pendakwa boleh meminta (untuk membatalkan jaminan).

"Jika pihak pendakwa berbuat demikian kami akan membantah. Lagipun tiada sebab untuk berbuat demikian," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Jelas Sankara, mengikut rekod Anwar telah hadir mahkamah dengan tepat sepanjang masa dan beliau yang ke luar negara dari semasa ke semasa juga kembali tanah air termasuk yang terbaru ke Jakarta minggu lalu.

Beliau menyatakan demikian ketika tersebarnya SMS dan emel mengatakan bon jaminan peribadi akan dibatalkan apabila mahkamah bersidang hari ini.

Anwar dijadual berada di mahkamah pada pukul 9 pagi ini.

Minggu lalu Sankara berkata, pihaknya berharap kes liwat terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan digugurkan apabila ia disebut semula hari ini.

Kata Sankara, pihaknya telah pun menyatakan pendirian tersebut sebelum ini dan sehingga kini masih mempertahankan agar kes berkenaan digugurkan.

Ketika dihadapkan di mahkamah awal bulan lalu, Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan pada Jun lepas.

Beliau diwakili sembilan orang peguam.

Anwar, 61, dituduh melakukan perbuatan itu terhadap Mohamad Saiful, 23, pada antara 3.01 petang dan 4.30 petang 23 Jun 2008 di unit 1151 Desa Damansara Condominium, No 99, Jalan Setiakasih Bukit Damansara, Kuala Lumpur.Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Anwar dibebaskan atas bon peribadi RM20,000.

Kes itu akan disebut semula hari ini dan kemungkinan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

No comments: