Saturday, September 20, 2008

Jawatan Ketua Pemuda UMNO, Mukriz Perlu Sedia Hadapi "Permainan" Khairy?

Kesediaan anak mantan Perdana Menteri, Dato' Mukriz Mahathir bertanding bagi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia sesungguhnya perkembangan menarik yang ditunggu ahli-ahli Umno serta perwakilan yang akan bersidang Disember ini.

Sebelum ini umum mengentahui, Mukriz adalah antara Exco Pemuda Umno yang paling lantang melayangkan amaran kepada Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya melepaskan jawatan berikutan terlepasnya lima negeri kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya 8 Mac lalu.

Selain Mukhriz, Menteri Besar Pahang Dato' Seri Adnan Yaakob, anggota Majlis Tertinggi Umno Dato' Seri Mohamad Khir Toyo, Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor turut dijangka bertanding jawatan itu.

Sebelum ini Muhkriz yang juga Exco Pemuda Umno pernah menyatakan kebimbangannya terhadap gejala politik wang dan penyelewengan yang didakwa berlaku dalam pemilihan peringkat cawangan Pemuda Umno akan menutup peluangnya untuk bertanding jawatan tersebut.

Bagaimanapun katanya beliau perlu optimis dan berharap 'keajaiban' akan membolehkannya mendapat jumlah pencalonan mencukupi untuk bertanding walaupun kubu-kubu kuatnya turut goyang akibat gejala berkenaan.

Namun penyertaan Mukriz dalam pemilihan kali ini pastinya mendapat perhatian Khairy yang juga menantu Presiden Umno.

Walaupun tidak pernah mengumumkan mahu bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda, namun pengumuman Hishamuddin Tun Hussien sebelum ini untuk melepaskan jawatan nombor satu Pemuda Umno dalam pemilihan Disember ini sedikit sebanyak melegakan Khairy.

Apa tidaknya, Khairy adalah orang nombor dua dalam Pemuda Umno yang pastinya mengimpikan jawatan Ketua Pemuda dengan laluan mudah tanpa pertandingan, justeru beliau dilihat berdiam diri supaya ada pihak yang akan mengusulkan jawatan itu dibuat tanpa pertandingan.

Idea ini sama dengan percaturan yang dibuat Presiden Umno yang mengaplikasinya dalam formula Peralian Kuasa 2010 bersama timbalannya, Najib Tun Razak.

Begitupun, kehadiran Mukriz yang juga anak kepada seteru bapa mertua Khairy menawarkan diri pastinya akan merimaskan punggung Khairy, yang pastinya akan berkempen berhabis-habisan bagi memastikan jawatan nombor satu dimilikinya.

Pertandingan jawatan Ketua Pemuda Umno kali ini akan hangat, dan Mukriz sendiri pastinya akan bersedia dengan segala kemungkinan 'permainan' Khairy menjelang Disember ini._Wan Nordin Wan Yaacob (Hrkh)

http://www.harakahdaily.net/

No comments: