Sunday, September 14, 2008

PAS Jangan Hantar Isyarat Salah


Pilihan Raya Umum Ke-13 akan berlangsung lima tahun lagi, atau lebih cepat daripada itu. Pilihan raya adalah mekanisme rakyat menguji dan menilai imej, persepsi, keterampilan dan prestasi parti dan para calon.

Pada pilihan raya umum lalu PAS telah menang cemerlang di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Antara lain kerana sokongan besar daripada pengundi bukan Melayu, di samping sokongan sebahagian pengundi Melayu.

Ada yang mendakwa bahawa sokongan bukan Melayu ini hanya bersifat sementara, tetapi mesti ingat tidak ada benda pun di dunia ini yang tidak bersifat kekal.

Saya berkongsi pandangan dengan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Dzulkifli Ahmad mengenai ingatannya kepada pemimpin dan pendukung PAS seluruhnya supaya jangan mengulangi kesilapan PAS pasca-pilihan raya 1999 yang lalu hingga menyebabkan kekalahan teruk dalam PRU 2004.

Pandangannya ini dirakam dalam wawancara akhbar Siasah dengannya baru-baru ini. Pada saya ini pandangan objektif, melihatkan realiti politik yang ada di tanah air dan di dalam PAS itu sendiri.

Hujahnya berasaskan fakta, bukan emosi atau didorong oleh pandangan negatif yang lain.

Tentu sekali beliau bertanggungjawab penuh dengan kenyataannya ini, lebih-lebih lagi beliau adalah AJK PAS Pusat, Pengarah PPP dan ahli Parlimen Kuala Selangor, orang yang menekuni secara dekat perkembangan politik di dalam dan luar negara.

Beliau mengingatkan, PAS supaya jangan mengulangi kesilapan pasca-pilihan raya 1999 di mana, katanya, para pemimpin PAS gagal menguruskan kemenangan dengan baik menyebabkan PAS kalah teruk dalam pilihan raya 2004.

Hakikat ini perlu diterima dengan fikiran terbuka dan bersedia memperbaiki serta menguruskan dengan baik kemenangan 2008 yang lalu.

Contoh yang diberi oleh Dr Dzul mengenai sikap bijaksana dan keterbukaan Rasulullah s.a.w. dalam pelbagai peristiwa sangat relevan dan menarik yang wajar dicontohi.

Terutamanya contoh dalam peristiwa seperti riwayat yang dibawa Imam As-Shatibi dalam kes meletakkan semula Kaabah di tempat asal Nabi Ibrahim a.s. membinanya.

Kaabah itu telah berpindah dari tempat asal ketika banjir besar di Makkah akibat pecahnya Ampangan Maarib.

Rasulullah s.a.w. memang sangat berhajat memindahkan Kaabah itu, tetapi untuk mengelakkan fitnah besar dari kaum Quraisy, "Tengok Muhammad, berani dia membina semula Kaabah" maka Raulullah s.a.w. mengekalkannya di tempat yang sedia ada.

Lebih-lebih lagi baginda memikirkan bahawa kaum Quraisy baru saja memeluk Islam, khuatir mereka akan kembali kufur. Inilah contoh kebijaksanaan dan pandangan jauh Rasulullah s.a.w. dalam menghadapi realiti masyarakat masa itu. Inilah politik yang penuh kebijaksanaan.

Dalam menguruskan kemenangan PAS ini, saya sekali lagi berkongsi kebimbangan dengan Dr Dzul bahawa kini sudah mula kelihatan menjelang dan semasa Muktamar PAS Ke-54 baru-baru ini.

Sekali lagi dingatkan bahawa PAS bersama komponen lain dalam Pakatan Rakyat telah menerima sokongan cukup besar daripada pengundi pelbagai kaum, lebih-lebih lagi dengan motto manifesto PAS yang sangat berkesan 'PAS Untuk Semua' atau Islam untuk semua.

Dengan usaha gigih berterusan, PAS telah berjaya mengikis prejudis kaum Cina dan India terhadap PAS, malah menyokong calon PAS dalam pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini.

Pengundi Cina dan India, bukan saja membawa bendera PAS, malah sesetengahnya menyelimut badan mereka dengan bendera bulan purnama.

Pandangan begini sesuatu yang tidak dapat dilihat pada masa lalu.

Ini adalah hasil usaha dan sikap terbuka serta keikhlasan pendukung PAS, di mana ia tidak bersifat perkauman, malah menekankan keadilan Islam kepada semua kaum dan agama.

Sokongan pengundi bukan Islam ini bukan semata-mata kerana kebencian mereka kepada Umno-BN disebabkan dasar perkauman, rasuah dan segalanya, tetapi lebih daripada itu, mereka yakin PAS mampu berlaku adil kepada semua kaum, bersih dan amanah. Ertinya bukan Melayu menerima hakikat keadilan Islam tetapi menolak perkauman yang sempit.

Ini persepsi umum pengundi bukan Melayu yang purata jumlahnya 40 peratus dan pengundi Melayu 60 peratus.

Daripada 60 peratus pengundi Melayu itu terbelah pula kepada pengundi Umno-BN dan PAS, belum lagi yang mengundi KeADILan dan DAP. Ini adalah tsunami politik, seperti kata Dr Dzul, kerana perubahan besar disebabkan, antara lain, isu Hindraf dan Bersih.

Kata Dr Dzul lagi, kita hanya akan dapat meraih kemenangan ini pada masa depan, ketika mereka percaya kepada PAS, seperti mereka mempercayai KeADILan dan DAP. Justeru, saya merumuskan di sini bahawa kita mestilah memelihara hati mereka, sensitiviti mereka.

Dengan makna yang mudah, tanpa mengorbankan dasar asas PAS, kita mestilah menghindarkan isu perkauman dan pemikiran seumpamanya.

Tetapi ketika saya mengikuti Muktamar Dewan Pemuda PAS di Perak baru-baru saya berasa cemas dan tidak selesa kerana suasana muktamar itu lebih banyak diselubungi suara dan udara perkauman, yang kadang-kadang seperti ke belakang serta menakutkan.

Mujurlah saya berasa dengan lega ucapan ketuanya, Salahuddin Ayub pada majlis perasmian dan penggulungan muktamar tersebut yang mencetuskan pemikiran cemerlangnya untuk menggarap cabaran berat masa depan.

Pemuda adalah sayap penting parti, pemimpin pelapis yang sewajarnya membuat persediaan secukupnya dari segi ilmu, kewibawaan, keterampilan, bacaan politik dan kebijaksanaan. Lebih daripada itu ia perlu memahami situasi terkini tanah air kita yang pelbagai kaum dan agama di mana, mereka adalah pengundi yang menilai kita tiap lima tahun sekali.

Al-marhum Dr Muhd Natsir, pemimpin ulung Indonesia, pernah mengingatkan Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan di Jakarta dulu supaya Anwar menerima hakikat realiti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Pada tahun 80-an, PAS berkempen menentang assabiyah, faham perkauman. Malangnya suku abad kemudian suara assabiyah itu semakin nyaring pula terdengar. Kira 'reverse' gear nampaknya. Ini tidak baik bagi sebuah parti politik kontemporari.

Memang PAS tidak pernah berkompromi dengan dasar Islamnya betapa pun terbuka dan toleransinya kita, justeru kerana syariat Islam yang menebarkan keadilan seluruh alam dapat diterima oleh rakyat pelbagai kaum.

Suasana di Malaysia berbeza dengan suasana di negara Arab, umpamanya, di mana demokrasi tidak diberi ruang untuk bernafas dan ia hanya didominasi oleh satu bangsa saja, iaitu bangsa Arab.

Justeru itu, para pemimpin Pemuda kita, yang kebanyakannya mendapat pendidikan dari negara Arab (ini adalah sesuatu yang sangat baik), sewajarnya memahami dan mendalami bacaan politik negara ini.

Saya terkesan ketika mendengar perbahasan Ucapan Dasar Presiden, di Muktamar Penuh PAS itu di mana ada pembahas yang seolah-olah tidak memahami realiti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Ada pula perwakilan yang begitu kritikal terhadap Pakatan Rakyat, di mana PAS menjadi salah satu komponennya.

Pada saya, sebarang masalah dalaman Pakatan Rakyat, yang baru berumur enam bulan itu, sewajarnya dibincangkan di peringkat dalaman oleh para pemimpin Pakatan dan masalah itu boleh diselesaikan di peringkat antara parti. Itu cara yang bijaksana, daripada 'meluahkannya' di muktamar yang demikian terbuka.

Dari semua yang berbangkit di muktamar itu, ditambah dengan isu muzakarah dan muqabalah, nampaknya kita menghantar mesej atau isyarat yang salah kepada rakyat pelbagai kaum dalam Pakatan Rakyat itu sendiri.

Ini mengingatkan saya kembali kepada pesan Dr Dzulkifly Ahmad tadi supaya kita jangan mengulangi kesilapan pasca pilihan raya 1999 dulu.

Dengan sokongan pelbagai kaum, PAS telah mencapai kemenangan pada pilihan raya umum ke-12. Justeru, sewajarnya kita menguruskan kemenangan ini dengan penuh bijaksana.

Sebarang sikap berselimut emosi, ego, sentimen, fanatik tidak menentu, menolak fakta dan kebenaran, bermakna kita tidak menguruskan kemenangan dengan bijaksana.

Ingatlah, PAS akan menemui pengundi kembali lima tahun lagi atau lebih cepat dari itu. Ketika itu pengundi akan melihat wajah dan watak PAS untuk dinilai kembali oleh mereka.

Sesungguhnya masa depan PAS bergantung kepada kebijaksanaan kepimpinan dan pendukung PAS sendiri. - Harakahdaily

No comments: