Suatu perkara yang sering berlaku hampir setiap kali ada seorang Melayu menyuarakan pendapat mengenai hak dan warisan mereka di negara nenek moyang mereka, mereka cepat dipanggil 'rasis' tanpa menumpukan komentar atau kritik terhadap isi kandung. Ini seolah-olah cara mematahkan hujah orang Melayu itu dengan memberi label negatif sehingga kadangkala orang Melayu itu menjadi 'malu' untuk mengeluarkan pendapat yang sama.
Cara lain yang selalu digunakan adalah enggan memperakui, mengelakkan dan/atau cuba menahan seseorang membentangkan rasional sejarah. Perkara ini dilihat berlaku dalam rancangan Forum Astro Awani baru-baru ini antara YB Jeff Ooi dan YB Dato' Ibrahim Ali. Sejarah mahu diketepikan sebagai perkara lama yang sudah ketinggalan yang tidak perlu diulang atau ertikata sebenar mahu dilabel kolot dan hujah lama.
Sekira ini tidak berjaya, fakta sejarah yang direka-reka dan salah digunakan sebagai tipu helah untuk menafikan sesuatu fakta yang sudah diterima pakai atau tidak logik untuk dinafikan. Contoh yang ketara adalah menafikan orang Melayu sebagai penduduk asal dan menyatakan orang Melayu berasal dari wilayah yang hari ini dipanggil 'Indonesia'. Maka diketengahkan hujah orang Asli orang asal dan bukan orang Melayu, dan bukan orang Melayu, orang Asli dan kaum-kaum pribumi lain adalah juga penduduk asal. Kadang-kadang digunakan teori ilmiah yang bukan kebenaran muktamad, masih lemah dan boleh berubah-ubah.
Cara berbahas ini selalu berlaku dan berulang-ulang berdekad-dekad, jika belum hampir seabad, yang bukan ikhlas tetapi hanya berniat mahu menafikan 'dengan apa cara.' Memanggil orang Melayu rasis, menafikan hujah mereka dengan cara yang jahat dan mengembar gembur perkara yang kecil ini yang menegangkan hubungan antara kaum dalam negara ini.
Berikut adalah artikel oleh Dr Hasan Ahmad* di Utusan Malaysia 3 Sept. 2008:
Melayu Islam Bukan Bangsa Rasis
KALAU ada orang di Malaysia yang menuduh orang Melayu sebagai bangsa rasis, saya kira ini tuduhan melulu dan sama sekali tidak benar.
Kalau ada dua tiga orang politik Melayu, baik dari UMNO mahu pun mana-mana pihak yang lain dicabar oleh orang bukan Melayu kerana membuat kenyataan yang dianggap bersifat 'rasis', maka orang itulah yang salah, bukan bangsa Melayu. Mereka tidak mewakili watak Melayu yang benar.
Saya bersetuju dan menyokong pandangan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa orang Melayu tidak pernah rasis ketika beliau berucap merasmikan Forum Sambutan Merdeka - Pelaksanaan Undang- Undang Fasal 152 dan 153 anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) di Kota Bharu, Kelantan, Sabtu lalu.
Sifat 'rasis' atau 'rasisme' tidak sama dengan perasaan perkauman. Setiap bangsa mempunyai perasaan 'bangga bangsa' atau 'megah bangsa'. Perasaan ini wujud kerana adanya kesedaran bahawa anggota bangsa itu mempunyai ciri-ciri budaya dan sejarah yang sama, misalnya bahasa yang sama, asal usul sejarah dan budaya nenek moyang yang sama, dan mungkin juga agama yang sama.
Mereka akan berasa marah sekiranya orang luar ('orang asing') menghina bangsa mereka dan mereka akan bertindak balas jikalau bangsa asing menyerang mereka atau cuba menghina atau memusnahkan bahasa, agama dan budaya yang telah dimiliki bersama sejak turun-temurun, sejak nenek moyang mereka.
Tetapi sifat rasis bukan begitu. Sifat rasis atau rasisme wujud dalam minda dan sanubari sesuatu bangsa kerana mempercayai bahawa mereka adalah bangsa yang terpilih, bangsa yang 'murni', yang tidak sama dengan bangsa lain.
Kaum Yahudi, misalnya, terkenal sebagai kaum rasis. Mereka percaya bahawa mereka adalah 'kaum terpilih', yakni dipilih oleh Tuhan sebagai bangsa yang melebihi semua bangsa atau kaum lain. Mereka sering membenci kaum bukan Yahudi. Agama mereka adalah agama 'eksklusif'; orang lain sering tidak diterima menganut agama mereka.
Mereka tidak pernah atau jarang-jarang rela menyerapkan atau menyesuaikan diri dengan komuniti kaum lain yang lebih besar. Mereka hidup dalam komuniti yang terpisah daripada masyarakat lebih besar. Kerana inilah, di mana pun mereka berada, mereka sering dicurigai oleh kaum lain.
Di Eropah, kaum Yahudilah yang sering dimusuhi atau dibenci oleh orang Eropah. Contoh yang paling ketara ialah, tindakan Nazi Hitler melancarkan tindakan pemusnahan etnik terhadap kaum Yahudi.
Di Rusia juga pernah berlaku tindakan pogrom, istilah bahasa Rusia yang bermakna 'pemusnahan' atau 'rusuhan', khususnya yang dilakukan terhadap kaum minoriti. Mangsa yang selalu menjadi sasaran tindakan ini ialah kaum Yahudi, terutama di akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Di Poland juga pogrom antikaum Yahudi ini pernah berlaku. Pogrom paling terkenal ialah pogrom yang dilancarkan oleh Hitler terhadap kaum Yahudi, seperti yang tersebut tadi.
Di dunia Barat, yang sering dianggap sebagai 'dunia yang maju', perasaan rasisme, iaitu perasaan membenci kaum lain, sentiasa wujud sampai ke hari ini. Di sana ada kumpulan rasis seperti kumpulan 'Swastika' di Jerman yang berikrar dengan sumpah 'Hai Hitler' apabila anggotanya hendak menyerang kaum asing, pendatang haram, orang Islam, orang Yahudi dan sebagainya.
Di Britain ada kumpulan rasis seperti 'Skinheads' yang membenci kaum 'kulit hitam', kaum pendatang, terutama dari India dan Pakistan. Di Amerika Syarikat (AS) ada kumpulan rasis seperti 'Klu Klux Klan' yang membenci kaum kulit hitam dan kaum pendatang dari Asia dan Afrika.
Di Australia pernah ada 'dasar kulit putih' atau white policy yang anti-kaum Asia (Cina, Vietnam, India, Pakistan, Arab dan lain-lain lagi). Di AS perasaan anti kaum kulit hitam masih wujud dalam minda dan sanubari orang Amerika kulit putih hingga hari ini.
Tetapi sepanjang sejarah bangsa Melayu di Tanah Melayu atau di rantau Melayu ini, sejak dari zaman Melaka diserang oleh bangsa Portugis dan sejak mencurah-curahnya masuk pendatang dari Cina dan India dan juga dari kawasan lain di Asia, tidak pernah berlaku apa-apa serangan secara teratur, secara berkumpulan, terhadap kaum-kaum bukan Melayu itu. Tidak pernah wujud kumpulan rasis atau nasionalis ultra Melayu yang membenci kaum bukan Melayu.
Tidak ada pogrom, tidak ada 'swastika', tidak ada 'skinheads' dan tidak ada 'klu klux klan' di Tanah Melayu. Kalau pun pernah berlaku peristiwa 'pergaduhan kaum' antara orang Melayu dengan kaum lain, terus terang saya katakan (ini kebenaran, bukan ciptaan saya) bahawa yang memulakannya bukan orang Melayu tetapi ialah kaum pendatang atau kaum bukan Melayu.
Contoh yang terkenal ialah peristiwa gerombolan Bintang Tiga yang mengganas terhadap orang Melayu dalam percubaan mereka untuk merampas kuasa Tanah Melayu setelah askar-askar Jepun kalah dan sebelum British sempat kembali ke Tanah Melayu untuk meneruskan pemerintahannya.
Apabila askar-askar Bintang Tiga itu bermaharajalela melakukan keganasannya terhadap orang Melayu, misalnya di Johor, barulah orang Melayu bertindak balas menentang keganasan itu. Maka berlakulah apa yang dikatakan 'pergaduhan kaum'.
Toleransi
Orang Melayu dikatakan terkenal sebagai bangsa yang bersopan santun, bangsa yang sangat tolerans terhadap kaum lain, bangsa yang sangat suka bertolak ansur, sehingga diam tidak diam banyak hak mereka di negara ini jatuh ke tangan orang lain.
Hari ini politik perkaumanlah yang banyak merosakkan budaya dan kelakuan bangsa kita. Apabila orang Melayu bersuara untuk mempertahankan hak dan warisan mereka di negara ini mereka dianggap 'rasis' atau 'perkauman'.
Segala dasar kebangsaan yang digubal selepas merdeka, misalnya Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru, dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, semuanya sering dikritik sebagai dasar pro- Melayu dan antikaum lain. Padahal faedah semua dasar ini tidaklah dibolot oleh orang Melayu sahaja tetapi sebahagian besarnya pergi kepada orang bukan Melayu juga.
Hari ini kaum yang tidak habis-habis membahaskan tentang masalah mereka ialah orang Melayu. Mereka berkata, bahasa Melayu makin tidak penting lagi di negara ini, ekonomi orang Melayu makin tidak setara dengan kemajuan ekonomi kaum lain, kemiskinan di kalangan orang Melayu makin merebak.
Kalau hanya satu kaum sahaja yang memonopoli ekonomi negara atau maju dalam bidang pendidikan, meminggirkan kaum lain, maka itu bererti pembangunan negara tidak adil kepada kaum yang terpinggir itu, tidak kira apakah kaumnya. Maka kerajaan wajib memastikan bahawa jurang itu tidak berterusan sehingga akhirnya boleh menjadi punca berlakunya pergaduhan kaum atau menimbulkan pelbagai masalah dan krisis sosial yang rumit. Itulah tujuan dasar-dasar kebangsaan yang digubal selepas merdeka itu.
Tujuannya bukan untuk menguntungkan mana-mana kaum dan merugikan mana-mana kaum lain. Inilah matlamat yang patut difahami oleh semua rakyat. Semangat tolak ansur, toleransi, faham memahami antara kaum mesti diamalkan oleh semua kaum, tidak hanya satu-satu kaum sahaja.
Kalau ada orang Melayu atau orang Cina atau India di Malaysia yang mengeluarkan kata-kata yang boleh menimbulkan kemarahan satu kaum kerana menghina kaum itu, jangan kita jadikan itu sebagai isu besar sehingga boleh merebak menjadi api yang boleh membakar perasaan lebih banyak rakyat yang selama ini sangat memahami dan toleran terhadap keadaan, masalah dan keperluan kaum masing-masing.
Kesimpulannya, di Malaysia, sejak merdeka, tidak ada dasar negara yang dengan mudah sahaja boleh kita tuduh sebagai dasar rasis. Nah, kalau masih ada orang atau pihak atau kaum tertentu yang tidak berhenti-henti menuduh, berdasarkan sentimen perkauman, bahawa dasar-dasar itu rasis, perkauman, pro-Melayu dan anti bukan Melayu, ini boleh menimbulkan sentimen perkauman yang lebih merebak lagi, daripada seorang atau dua orang sahaja yang mengeluarkan kata- kata yang dianggap oleh orang daripada kaum lain sebagai 'rasis'.
Orang Melayu dan orang bukan Melayu yang tidak rasis akhirnya akan terpengaruh dengan debat atau tuduhan itu lalu mereka akan terdorong untuk menyebelahi pihak yang dituduh dan pihak yang menuduh. Itulah, jangan jadikan isu yang kecil itu iaitu isu yang bersifat peribadi orang berkenaan, sebagai isu negara, isu seluruh rakyat. Carilah cara yang sebaik- baiknya untuk memadamkan api yang kecil itu supaya ia tidak merebak membakar seluruh perasaan rakyat.
* Dato' Dr Hasan Ahmad adalah seorang penggiat budayawan, aktivis Melayu, Presiden Karyawan Malaysia dan bekas Pengarah Dewan Bahasa Pustaka
http://pesanan-pesanan.blogspot.com/
Anakanda Jebat: Aku bangga dengan budaya, ugama dan asal usul ku. Ingat pesan hamba "Di mana Bumi Di pijak, Di situ ISLAM Di junjung". Takbir!
Sunday, September 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment