Tuesday, September 16, 2008

Pemikiran Salahuddin Ayub (Ketua Pemuda PAS) Dan Keperluan Ideologi Dalam PAS

Walaupun Muktamar Dewan Pemuda PAS di Perak baru-baru ini lebih banyak diselubungi suara dan udara perkauman, yang kadang-kadang seperti mundur ke belakang serta menakutkan, namun ucapan ketuanya, Salahuddin Ayub di majlis perasmian mencetuskan pemikiran cemerlangnya untuk menggarap cabaran berat masa depan.

Pemuda adalah sayap penting parti, pemimpin pelapis yang sewajarnya membuat persediaansecukupnya dari segi ilmu, kewibawaan, keterampilan dan kebijaksanaan.

Salahuddin yang berucap dengan tenang dan pasti mengharapkan Pemuda sebagai murabithun menjadi pemikir. Katanya, "kita sudah berupaya melahir murabithun di semua peringkat, tetapi malangnya kebolehan mereka untuk menjadi pemikir masih ditahap rendah."

Kita, katanya, tertunggu-tunggu pemimpin baru yang berupaya mencetuskan wawasan besar,berfikiran matang dan menjengkau jauh ke depan. Salahuddin mengakui, kegagalan melahirkanpemikir (qiyadah-mufakkir) telah mengakibatkan "kelesuan perjuangan kita".

Beliau mencadangkan supaya pemimpin Pemuda yang ada memulakan budaya penyelidikan melalui institusi persendirian. Terdahulu dari itu, beliau mengingatkan bahawa serentak dengan anjakan minda kita dalam mengenengahkan keanjalan (murunah) Islam, kita memerlukan pemimpin yang bersedia menganjak paradigmanya.

"Kita tidak boleh berfikir seputar tentang kalangan kita saja atau untuk kepentingan kelompok kita saja, sebaliknya kita mesti belajar berfikir mengenai rakyat seluruynya," kata beliau.

Shukur Alhamdulillah, akhirnya PAS melahirkan seorang pemimpin Pemuda yang cukup sedar akan keperluan kepimpinan pelapis sebagai tenaga pemikir, merancang dan berilmu. Inilah sebuah wawasan yang sangat berharga yang sewajarnya menerima respons baik bukan saja dari kalanganPemuda bahkan seluruh warga PAS sendiri.

Jelaslah yang diharapkan oleh Salahuddin ialah emuda mesti menyediakan pemimpin pelapis yang penuh idea, kewibawaan dan berilmu. Bahkan PAS sendiri, secara umumnya, perlu melahirkan pemimpin pelapis yang memiliki ilmu politik mendalam, kesedaran yang cukup bahawa warga PAS berada di tengah-tengah masyarakat majmuk yang menuntut penyesuaian dengan suasana terkini, namun tidak bekompromi dengan dasar perjuangan Islam yang dibawanya.

Kepada saya, untuk melahirkan pemimpin berilmu, yang mampu mencetuskan pemikiran besar, keluar dari kepompong lama yang konvensional, ia perlu bersedia mendedahkan diri kepada pelbagai situasi di tengah masyarakat. Ertinya bukan berlegar di kalangan warga PAS saja, atau dari markas ke markas, dari kuliah ke kuliah saja.

Ia mesti menyediakan waktu secukupnya untuk membaca pelbagai bahan bacaan. Dan walaupun mentelaah al-Quran dan Hadis itu hal yang wajib, tetapi bacaan tambahan yang lain - buku dan majalah dari Timur dan Barat, bahkan dari negara Arab - juga sangat penting dibaca dandimanfaatkan sebagai bahan pemikir. Lebih-lebih lagi dengan memiliki sebuah komputer yangdilengkapi internet boleh menggapai jutaan maklumat yang diperlukan.

Tidak mengapa pendukung PAS seperti ini tidak terkenal sebagai penceramah atau pendebatpopular, tetapi tulisannya, buah fikiran yang dikeluarkannya bila diperlukan, sangat berharga. Dengan itu pemimpin pelapis tersebut berpotensi menjadi ideolog parti, ataupemikir parti yang sangat diharapkan.

Di Iran, nama Dr Ali Shariati adalah di antara sekelompok pemikir negara itu yang memberikan saham besar kepada tercetusnya Revolusi Islam Iran pimpinan Ayatullah Ruhullah Khomeini. Ia menulis dan memberikan kuliah hingga begitu ramai meminati kuliah dan tulisannya. Beliau bukan pemimin politik kesohor, tetapi sebagai ideolog besar kepada negaranya.

Ini suatu contoh segar pemikir di abad Ke-20, bukan kerana ia datang dari mazhab Syiah, tetapi kerana semangat revolusioner dan kecemerlangan fikirannya. Benar kedudukan geograpi dan suasana di Iran berbeza, tetapi yang dibicarakan di sini ialah kecemerlangan pemikiranseorang insan seperti Dr Ali Shariati yang boleh kita contohi. Bahkan ramai tokoh intelektual Islam sejak zaman berzaman yang terserlah pemikiran besar mereka.

PAS telah hadir di tengah masyarakat lebih setengah abad dan telah melahirkan demikian ramai ulama berwibawa, pejuang yang gigih, istiqamah dan berani. Justeru, dengan kehidupan terkini yang serba mencabar dan pantas berubah, maka ia memerlukan pemimpin pelapis yang berilmu, befikiran terkini, anjal dan terbuka. Ditambah dengan bacaan politik dan ekonominya yang luas dan tepat.

Apa yang dicetuskan oleh Salahuddin Ayub dalam ucapannya itu sesuatu yang sangat wajar difikirkan dan Pemuda sewajarnya mengatur program wacana ilmu yang intensif, seminar dan kursus berterusan serta menggalakkan meminati ilmu.

Jika ini dilakukan secara sungguh-sungguh, tidak mustahil Pemuda akan melahirkan pemimpin berwibawa, yang luas ilmunya, berketerampilan dan terkini. Dan suatu masa nanti, dalam Muktamar PAS, khususnya Muktamar Pemuda, tidak lagi akan kedengaran suara-suara perkaumanatau suara kelompok yang mencerminkan sempitnya pemikiran pembicaranya.

Salahuddin sedang mengajak Pemuda supaya berfikiran terbuka, memahami benar-benar situasi masyarakat majmuk di tanah air kita supaya Pemuda mampu menghadapi gejolak politik yang datang. Usahanya ini wajar disokong. Dan dengan wadah Islam yang syumul yang dibawa PAS, Insya-Allah cita-citanya ini akan dapat direalisasikan.

Tahniah Salahuddin!

www.detikdaily.net

No comments: